• Tidak ada hasil yang ditemukan

TUJUAN KAJIAN

Dalam dokumen msia2.pdf (Halaman 26-36)

Amnya, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor-faktor penyumbang kepada pencapaian rendah subjek Ekonomi dalam STPM di sekolah-sekolah negeri Sabah.

21 OBJEKTIF KAJIAN

Selain dari mengenal pasti faktor-faktor penyumbang kepada pencapaian rendah dalam subjek Ekonomi STPM, kajian ini memberi tumpuan untuk mengenal pasti faktor penyumbang kepada pencapaian tinggi sekolah terpilih. Secara khusus, objektif kajian adalah seperti berikut:

1. Mengenal pasti faktor utama yang menyumbang terhadap pencapaian rendah subjek Ekonomi STPM di Sabah

2. Membuat perbandingan antara sekolah pencapaian paling tinggi dengan sekolah pencapaian yang rendah bagi subjek Ekonomi STPM di Sabah

3. Mengenal pasti hubungan antara faktor domain kendiri pelajar dengan pencapaian rendah dalam subjek Ekonomi STPM di Sabah

4. Mengenal pasti hubungan antara faktor guru dengan pencapaian rendah dalam subjek Ekonomi STPM di Sabah

5. Mengenal pasti hubungan antara faktor ibu bapa dengan pencapaian rendah dalam subjek Ekonomi STPM di Sabah

6. Mengenal pasti hubungan antara faktor sekolah dengan pencapaian rendah dalam subjek Ekonomi STPM di Sabah

Perubahan Sistem Dalam Mata Pelajaran Ekonomi STPM

Ekonomi ditakrifkan sebagai satu cabang ilmu yang mengkaji bagaimana individu dan masyarakat menggunakan sumber ekonomi yang terhad bagi menghasilkan pelbagai barang dan perkhidmatan untuk memenuhi kehendak masyarakat yang tidak terhad (Abd. Hashim dan Aw Pek Cheng, 2007). Ekonomi Asas ialah mata pelajaran elektif di peringkat sekolah menengah atas (KPM, 2000). Namun pada peringkat pascamenengah, mata pelajaran Ekonomi terdiri daripada dua bahagian iaitu mikroekonomi dan makroekonomi dengan menggunakan sukatan pelajaran baharu bermula pada sesi 2012/2013 persekolahan pascamenengah.

Pembaharuan tersebut digubal bagi membolehkan pelajar memahami dan menguasa ilmu pada tahap prauniversiti dan pada akhirnya dapat menganalisis serta membuat penilaian tentang isu ekonomi yang mempengaruhi kehidupan masyarakat dan negara dalam persekitaran yang dinamik (MPM, 2012). Mata pelajaran ini juga dibangunkan untuk membolehkan pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang Ekonomi ke peringkat yang lebih tinggi. Dalam kajian ini, mata pelajaran Ekonomi bermaksud mata pelajaran yang diperkenalkan menggunakan sukatan pelajaran baharu bermula pada sesi 2012/2013 persekolahan pascamenengah.

Dengan pelaksanaan sistem pentaksiran baharu STPM bermula tahun 2012 yang selaras dengan Program Transformasi Pendidikan (GTP), tempoh pengajian Tingkatan Enam dilaksanakan seperti pengajian di universiti yang menggunakan penggal atau semester. Tempoh pengajian ini terdiri daripada Tingkatan Enam bawah yang meliputi penggal kedua tempoh persekolahan dan Tingkatan Enam atas yang meliputi penggal pertama dan penggal kedua tempoh persekolahan. Sehubungan dengan itu, Sukatan Pelajaran Ekonomi sedia ada yang telah digunakan sejak peperiksaan Ekonomi STPM pada tahun 2003 telah digantikan dengan Sukatan Pelajaran Ekonomi yang baharu dan mula digunakan pada tahun 2012. Hal ini sekaligus menjadikan peperiksaan Ekonomi STPM pada tahun itu menjadi peperiksaan pertama yang menggunakan sukatan baharu tersebut. Penggubalan semula sukatan pelajaran ini adalah untuk memadankan perubahan hasil penambahbaikan sistem peperiksaan yang baharu oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Perkara ini merupakan salah satu langkah bagi memperbaiki orientasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) Tingkatan Enam supaya tidak jauh berbeza dengan amalan PdP di kolej dan universiti.

Penggubalan semula Sukatan Pelajaran Ekonomi ini meliputi proses pengemaskinian tajuk, kandungan dan kemahiran bagi menyelaraskannya dengan perkembangan semasa. Dengan penambahan beberapa tajuk baharu serta penekanan terhadap beberapa kemahiran pembelajaran, hal ini diharap dapat menyediakan produk calon prauniversiti yang berfikiran matang, berpengetahuan

22 luas dan mempunyai keupayaan berkomunikasi secara berkesan di samping memperolehi pencapaian cemerlang. Namun begitu, terdapat faktor-faktor tertentu yang mempengaruhi pencapaian seseorang pelajar dalam mata pelajaran ini. Kepelbagaian latar belakang, unit persekitaran serta domain yang mempengaruhi mewujudkan perbezaan pencapaian antara pelajar Ekonomi STPM di sekolah-sekolah berlainan, baik di bandar mahupun luar bandar.

Faktor Kemerosotan Mata Pelajaran Ekonomi STPM

Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi tahap pencapaian akademik seseorang pelajar seperti faktor sosio-ekonomi, tahap pendidikan ibu bapa, pendapatan keluarga, motivasi diri, gaya pengajaran guru dan juga gaya pembelajaran pelajar itu sendiri (Considine & Zappala, 2002; Fraser & Killen, 2003; Harb & El-Shaarawi, 2006). Menurut Considine dan Zappala (2002), faktor tahap sosio-ekonomi dan taraf pendidikan keluarga merupakan antara faktor yang sering dibincangkan dalam kajian prestasi akademik yang mana menjadi faktor penarik (pull factors) bagi mendapatkan prestasi akademik yang tinggi. Manakala kajian Ishak (2004) membuktikan bahawa wujudnya perkaitan di antara konsep kendiri pelajar dengan pencapaian akademik sebagai faktor penolak (push factor).

Pelbagai faktor penyebab telah dikemukakan oleh pakar dalam bidang penyelidikan bagi menerangkan kemerosotan dan permasalahan dalam pembelajaran ekonomi. Antara faktor tersebut ialah pencapaian awal, kemahiran asas, minat, sikap, motivasi dan kemahiran menyelesaikan masalah (Salawati 1998). Faktor-faktor lain ialah ketidakselarasan pendekatan pengajaran yang diterima dengan keperluan dan gaya pembelajaran pelajar di mana pelajar tidak tahu cara hendak belajar dengan berkesan (Rohani 1993). Faktor-faktor ini adalah antara faktor yang dipercayai boleh mengakibatkan berlaku fenomena kemerosotan pencapaian dalam mata pelajaran ekonomi di sekolah-sekolah.

Kemerosotan ini sering dikaitkan dengan sikap mereka seperti tidak berminat atau dengan mengatakan ekonomi itu susah. Sikap memainkan peranan yang penting untuk mencapai kejayaan di dalam sesuatu perkara atau usaha. Apabila seseorang itu gagal di dalam sesuatu perkara, ramai orang akan menyatakan dia mempunyai sikap yang salah. Di sekolah pula, guru-guru sering menyatakan bahawa kegagalan pelajar-pelajar disebabkan oleh sikap mereka yang negatif seperti malas dan tidak berminat dengan mata pelajaran ekonomi. Selain itu, kaedah pembelajaran yang salah juga menjadi ciri pelengkap dalam kendiri pelajar yang mempengaruhi kemerosotan mata pelajaran ekonomi.

Sikap ini dibentuk dari pengalaman dan persepsi seseorang terhadap sesuatu perkara atau fenomena (Robbins, 1986). Persepsi pelajar-pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran akan membentukkan sikap mereka terhadap mata pelajaran tersebut. Sikap bermula apabila seseorang pelajar berminat terhadap sesuatu perkara. Minat mempunyai kaitan dengan sikap. Apabila seseorang meminati sesuatu maka ia akan bersikap positif terhadap perkara tersebut. Hal ini akan menghasilkan sesuatu yang bermakna dan berkesan. Namun, ada kalanya minat tidak selari dengan sikap seseorang. Seseorang pelajar yang berminat dengan mata pelajaran ekonomi tetapi malas untuk membuat kajian dan penerokaan tidak akan berjaya menjadi seorang pakar ekonomi.

Minat juga berkait rapat dengan motivasi dalaman. Noraini Yusof (2008) mengatakan bahawa pembelajaran yang berkesan wujud jika ada minat dalam kalangan pelajar dan salah satu daripada cara menimbulkan minat pelajar ialah menerusi kaedah pengajaran dan aktiviti pembelajaran yang menarik. Keadaan ini dapat dibuktikan melalui ulasan yang dikemukakan oleh MPM (2008) yang menjelaskan bahawa kelemahan calon adalah dalam mengaplikasikan teori-teori ekonomi untuk menyelesaikan masalah dalam soalan peperiksaan STPM. Calon juga didapati tidak mengaitkan teori dan konsep ekonomi dengan soalan yang ditanya di samping mempunyai kelemahan dalam menjawab soalan bahagian kuantitatif yang mengandungi gabungan konsep dan elemen matematik.

Kelemahan ini berpunca daripada teknik dan kaedah pembelajaran murid. Menurut Cooper dan Foy (1996) mendapati bahawa lebih banyak masa belajar tidak semestinya memberikan kejayaan yang cemerlang. Ini mungkin kerana mereka tidak menumpukan perhatian terhadap apa yang mereka

23 baca. Ramai murid telah memberi jawapan bahawa mereka memperuntukan masa yang lama untuk mengulang kaji pelajaran tetapi hasil yang diperolehi tidak setimpal dengan usaha yang mereka lakukan. Rungutan ini ada kebenaran jika ditinjau dari kaedah pembelajaran murid. Subjek ekonomi memerlukan pelajar menggabungankan dua konsep iaitu teori dan elemen matematik. Keadaan ini memerlukan teknik pembelajaran yang sesuai bagi memudahkan pelajar menguasai sepenuhnya isi kandungan mata pelajaran Ekonomi STPM.

Selain faktor kendiri pelajar, faktor guru juga memberi kesan kepada kemerosotan pencapaian mata pelajaran Ekonomi STPM. Temubual secara rawak pada awal kajian ini terhadap beberapa bekas pelajar Ekonomi STPM di Sabah telah dilakukan dan mendapati bahawa dua faktor utama yang mempengaruhi pencapaian mereka terhadap subjek ini adalah minat dan keupayaan guru dalam menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran yang berupaya membantu pembelajaran pelajar. Menurut Awang Had Salleh (2000), daripada pemerhatian beliau, ramai guru telah dan sedang melakukan banyak 'default ‘ dalam sebahagian besar fungsi mereka. Antara beberapa 'default ‘ ialah guru tidak lagi memainkan peranan sebagai penggalak atau pemotivasi dan tidak memperdulikan sebarang bakat yang ada pada murid-murid, tidak menegur kejanggalan tingkah laku murid-muridnya atau menganggap semua murid dalam kelasnya itu homogen belaka dari segi kemampuan minda mereka.

Terdapat beberapa kajian yang berusaha mengenal pasti hubungan antara gaya pengajaran guru dengan pencapaian pelajar seperti kajian Zin (2004) dan kajian Aitkin dan Zuzovsky (1994) dan ada juga kajian yang menghubungkan gaya pengajaran guru dengan gaya kognitif pelajar (Evans, 2004). Kajian-kajian lalu terhadap penglibatan pelajar mendapati terdapat hubungan antara penglibatan pelajar dengan pengajaran guru dan juga dengan pencapaian akademik (OECD, 2000). Walau bagaimanapun, kajian mereka ini mendapati pengajaran guru bukanlah faktor utama yang mempengaruhi pencapaian akademik pelajar. Terdapat juga bekas pelajar ini yang menyatakan bahawa personaliti guru turut menyumbang dalam pencapaian mereka untuk subjek Ekonomi di Tingkatan Enam.

Dalam usaha membantu pelajar membina sikap dan amalan tingkah laku yang sihat dan positif terhadap mata pelajaran ekonomi, keluarga hendaklah memainkan peranan untuk membimbing dan mendorong pelajar ke arah sikap dan amalan tingkah laku yang positif. Maka, kajian ini akan memberi fokus kepada faktor keluarga di mana keluarga juga memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi pencapaian pelajaran akademik pelajar (Jalim, 1999; Sainah, 1996) Banyak kajian menunjukkan bahawa terdapat kesan yang besar dan berpanjangan apabila pembelajaran pelajar mendapat sokongan dan peneguhan daripada pihak ibu bapa. Namun, tanpa bukti yang jelas menunjukkan bagaimana setiap faktor ini menyumbang kepada pencapaian pelajar Tingkatan Enam dalam subjek tersebut, maka hal ini masih lagi tidak jelas.

Sebenarnya, faktor keluarga juga memainkan peranan yang sangat penting berkaitan dengan kemerosotan tersebut. Bagaimana sikap, bimbingan, ekonomi, latar belakang pendidikan dan minat keluarga terhadap pembelajaran pelajar juga amat mempengaruhi pencapaian pelajar di sekolah. Selain itu faktor sekolah juga sangat mempengaruhi pencapaian ekonomi STPM. Menurut Mok Soon Sang (1996) suasana fizikal tempat belajar yang kondusif menjadi faktor penting untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam tempat belajar. Faktor fizikal tempat belajar merangkumi suasana fizikal di dalam tempat belajar dan kawasan sekitarnya. Kegagalan pihak sekolah menyediakan kelengkapan-kelengkapan yang sedemikian mempengaruhi kemerosotan pencapaian mata pelajaran Ekonomi STPM.

Pencapaian tinggi pelajar Ekonomi dalam STPM sememangnya merupakan topik menarik yang boleh dibahas untuk penambahan pengetahuan dalam pendidikan. Namun, pencapaian rendah dalam subjek ini penting untuk dikaji dan diketahui agar mampu diselaraskan dengan jawapan mengapa sesebuah sekolah dapat mencapai prestasi tinggi bagi subjek Ekonomi dalam STPM. Dengan itu, jurang perbezaan pencapaian STPM antara sekolah dalam subjek tersebut dapat

24 diminimumkan dan jika mampu dihapus, agar masyarakat tidak menyisihkan pendidikan pascamenengah ini di sekolah-sekolah tertentu.

Faktor Guru

Guru memainkan peranan yang penting dalam proses Pengajaran Dan Pemelajaran. Adalah tidak keterlaluan seandainya dikatakan bahawa guru berperanan penting dan menjadi faktor penentu dalam kejayaan atau kegagalan proses PDP di dalam bilik darjah. Guru juga menjadi penentu dalam kejayaan dan kegagalan seseorang pelajar dalam sesuatu mata pelajaran terutamanya mata pelajaran Ekonomi yang amat memerlukan penerangan yang teliti dan berkesan dari guru untuk pemahaman para pelajar terhadap fakta ekonomi.

Sikap guru yang tidak mengambil langkah bijaksana dalam menyelesaikan masalah pelajar secara sistematik dan konsisten, turut diperkatakan sebagai punca pencapaian yang rendah dalam ekonomi. Menurut Dunn dan Dunn (1979), setiap individu mempunyai gaya pembelajaran tertentu. Oleh itu, guru perlu didedahkan kepada pengetahuan tentang gaya pembelajaran dan bagaimana menyesuaikan gaya pembelajaran pelajar dengan pengajaran guru agar dapat mencapai pengajaran dan pembelajaran yang cemerlang.

Menurut Habibah (1992) sekitar tahun 90-an, pengajaran dianggap sebagai penyampaian pengetahuan daripada guru kepada pelajar. Pola penyampaian guru lebih berupa penyampaian maklumat sehala daripada guru kepada pelajar. Guru hendaklah menyediakan pengalaman melalui pengajaran dengan menyediakan alam sekeliling dan menstrukturkan keadaan untuk merangsang tindak balas yang diinginkan daripada pelajar. Hal ini ditonjolkan dalam kajian Tyler (1973) bahawa kepentingan komponen kognitif dan afektif terhadap pembelajaran berkesan dengan mengambil kira nilai yang boleh membawa kesan kepada perubahan tingkah laku positif dalam kalangan pelajar.

Namun demikian, seringkali kita mendengar rungutan guru hari ini akibat semakin kurangnya minat dan tumpuan pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Kelemahan ini mungkin ada kaitan dengan kegagalan para guru mengambil kira perbezaan dalam gaya pembelajaran pelajar. Kejayaan pelajar sudah begitu sinonim dengan kejayaan guru mengajar. Indikator kejayaan dan kegagalan dalam pangajaran dan pembelajaran guru ekonomi adalah melalui kejayaan pelajar di dalam peperiksaan. Justeru guru seharusnya mempunyai satu perancangan yang rapi, lengkap dan bersistematik bagi menjamin proses pengajaran pembelajaran yang lancar dan berkesan. Tugas utama guru adalah menterjemahkan kandungan silibus pelajaran kepada bentuk yang mudah dan dapat difahami oleh pelajarnya (Noor Azlan, 2006).

Faktor Sekolah

Faktor sekolah sangat mempengaruhi peningkatan dan kemerosotan pencapaian di kalangan pelajar. Faktor sekolah ini dapat dicirikan kepada beberapa aspek seperti fizikal sekolah, keselamatan, pengurusan dan budaya sekolah. Kegagalan pihak sekolah mengharmonikan dan mengaplikasikan ciri sekolah berkesan memberi pengrauh kepada kemerosotan pencapaian mata pelajaran Ekonomi STPM. Peter Mortimore (1995) menyenaraikan 11 ciri sekolah berkesan seperti berikut: kepimpinan profesional, perkongsianvisi dan matlamat, kewujudan budaya pembelajaran, penumpuan terhadap pengajaran dan pembelajaran, pengajaran bermatlamat, pengharapan yang tinggi, pengukuhan yang positif, pemantauan terhadap perkembangan,(9) hak dan tanggungjawab murid, permuafakatan rumah-sekolah, dan organisasi dinamik.

Sementara itu, Abdul Shukor (2004) menyenaraikan ciri sekolah seperti berikut: mempunyai kepimpinan pengetua yang kuat dengan tumpuan pengurusan adalah terhadap peningkatan kualiti pengajaran, membina iklim persekolahan di mana tiap-tiap murid berada dalam satu tahap pencapaian yang ditetapkan terlebih dahulu dan tidak lebih rendah daripadaitu, mempunyai suasana disiplin yang

25 teratur tanpa perlunya membina peraturan ketat, tenang dan tanpa penindasan, tetapi selesa untuk suasana proses pengajaran, memberi keutamaan terhadap proses pengajaran di manasekolah berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan matlamat pengajaran dilaksanakan secara teratur dan memberi faedah, serta mengesan kemajuan murid secara sistematik, iaitu pengetua dan guru-guru mengawas kemajuan murid berpandukan kepada kehendak dan objektif pengajaran.

Menurut Hopkins (2005), kajian-kajian menunjukkan salah satu faktor penghalang kepada pencapaian sekolah ialah budaya organisasi sekolah. Justeru, reformasi pendidikan harus memberi fokus kepada budaya terlebih dahulu sekiranya mutu pendidikan hendak ditingkatkan. Sekolah-sekolah di Malaysia mempunyai persamaan daripada segi, kurikulum, bentuk bangunan, kelayakan guru, dan prasarana. Namun yang membezakan sekolah ialah unsur budaya sekolah dan unsur inilah yang dikatakan penentu pada keberkesanan sekolah (Bolman & Deal, 2013; Huberman, 1992; Sharifah Md Nor, 2000).

Memandangkan budaya dibentuk oleh warganya, maka budaya boleh berubah dan orang yang paling berpengaruh untuk mengubah dan mencorakkan budaya sekolah ialah kepemimpinan sekolah (Deal & Peterson, 1999; Sergiovanni, 2000). Dalam konteks ini, sekolah harus merancang dan melaksanakan pelbagai pendekatan, kaedah, strategi pengajaran dan pembelajaran berkesan yang dilaksanakan di dalam dan luar bilik darjah yang merupakan suatu proses eksperimen, di samping bersedia memperbaiki kelemahan untuk peningkatan motivasi pembelajaran dan peningkatan prestasi peperiksaan yang memuaskan (Othman, 2000).

Selain itu, terdapat juga beberapa perkara yang menjadi penghalang kepada pembentukan budaya yang baru di sekolah di antaranya ialah sesuatu budaya yang telah wujud memang sukar untuk diubah, disiplin penghalang besar kepada kejayaan sekolah, bekerja dengan orang yang terpaksa dan birokrasi pendidikan menghalang pendidikan awam berkembang serta terdapat guru yang menyatakan bahawa mereka telah melakukan yang terbaik di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu juga, Patterson (1986) menyatakan bahawa terdapat beberapa andaian yang selalu dilakukan oleh warga pendidik yang menjadi penghalang kepada pembentukan baru budaya di sekolah iaitu sistem sekolah dipandu oleh matlamat yang sama, kuasa dalam sistem sekolah terletak di pihak atasan (mereka menafikan perkongsian kuasa), alternatif ataupun modifikasi kepada penyelesaian masalah tidak dicari, untuk setiap masalah hanya ada satu penyelesaian dan mempercayai bahawa masyarakat tidak banyak membantu sistem sekolah dan menafikan peranan ibu bapa di sekolah. Semua andaian-andaian ini telah mempengaruhi tindakan warga sekolah dan menjadikan sekolah mundur.

Kesimpulannya, Bart (2002) menjelaskan segala inovasi dengan meletakkan budaya sebagai piawai yang tinggi tidak banyak membawa kejayaan kecuali pentadbir dan guru berusaha mengubah budaya sekolah. Segala inovasi dan piawai yang ditetapkan haruslah perlu disesuaikan dengan elemen-elemen yang telah sedia ada supaya budaya dan matlamat sekolah dapat bergerak dengan seiring selaras dengan impian sekolah.

Faktor Ibu Bapa

Menurut Tajul Ariffin (1990) ibu bapa berperanan dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang sesuai untuk anak-anak di samping membimbing mereka agar mengamalkan proses belajar yang betul. Kedudukan dan peranan ibu bapa ialah soal yang paling utama dalam pendidikan kerana keluarga dan persekitaran rumah merupakan tempat di mana pendidikan asas bermula atau berlaku.Ibu bapa berperanan penting dalam membentuk sikap yang positif dalam kalangan anak-anak mereka terhadap pendidikan. Kegagalan pihak ibu bapa menjalankan peranan memberi kesan kepada kemerosotan pencapaian mata pelajaran Ekonomi STPM.

Sebenarnya, keluarga merupakan faktor yang sangat berpengaruh kepada pembelajaran pelajar. Seperti yang telah disebut oleh Woolfolk (1998) bahawa keadaan sosioekonomi yang diukur

26 jika termasuk faktor-faktor seperti sikap ibu bapa terhadap pendidikan, aspirasi mereka terhadap anak, aktiviti-aktiviti yang merangsang perkembangan intelek dalam keluarga, akan didapati bahawa hubungan antara sosioekonomi dengan pencapaian murid di sekolah adalah kuat.

Minat keluarga adalah faktor yang paling penting berhubung kait dengan pencapaian pelajar. Sekiranyan ibu bapa berminat seperti berbincang dengan anak-anak mereka tentang pelajaran walaupun tidak secara khususnya harus memberi tunjuk ajar kepada anak mereka dalam isi kandungan mata pelajaran, pelajar akan merasakan pelajarannya diambil perhatian oleh ibu bapa. Secara langsung dan tidak langsung, ibu bapa memindahkan nilai-nilai kehidupan mereka seperti mementingkan pembelajaran dan ilmu kepada anak-anak mereka.

Kepentingan keluarga dalam pendidikan memang tidak boleh diabaikan. Oleh itu, kerja sama di antara sekolah dan keluarga amatlah diperlukan jikalau ingin mencapai tujuan dan matlamat pendidikan. Di samping itu, ibu bapa juga harus mengikis fikiran bahawa pelajaran dan pendidikan anak-anak mereka adalah di bawah tanggung jawab penuh guru-guru di sekolah. Akhir-akhir ini, kedudukan di antara guru dan ibu bapa atau penjaga sepertinya dalam keadaan bermusuhan, pergaduhan di antara guru dan ibu bapa, rayuan dan laporan kepada polis dan lain-lain lagi. Lagi pula, ramai ibu bapa yang mengambil sikap apati terhadap pelajaran anak-anak mereka kerana sibuk dengan pekerjaan mereka. Dengan begitu, jurang di antara keluarga dan sekolah semakin besar dan ia merupakan punca-punca pelbagai masalah disiplin dan akademik di sekolah.

Faktor Kendiri Pelajar

Banyak faktor kendiri yang memberi kesan kepada pencapaian rendah mata pelajaran Ekonomi STPM. Menurut Salawati (1998), pencapaian awal, kemahiran asas, minat, sikap, motivasi dan kemahiran menyelesaikan masalah merupakan antara faktor-faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku. Selain itu, faktor-faktor lain juga didapati menyumbang kepada punca kemerosotan murid dalam Matematik Tambahan seperti ketidakselarasan strategi dan pendekatan pengajaran guru dengan keperluan dan gaya pembelajaran murid di mana murid tidak tahu teknik dan cara pembelajaran yang berkesan dan efektif (Rohani, 1993).

Menurut Tajul Ariffin (1990), masalah pembelajaran di kalangan pelajar yang berpencapaian rendah dan sederhana adalah disebabkan oleh mereka tidak mengetahui kaedah dan teknik belajar yang berkesan. Menurut Abd Rahim (2001) satu kajian yang dilaksanakan di England telah mendapati bahawa ramai pelajar gagal bukan kerana tidak bijak tetapi disebabkan kekurangan kemahiran belajar yang betul.

Selain daripada cara pembelajaran, imej kendiri juga memberi kesan kepada kemerosotan pencapaian pelajar. Menurut Rosenberg (1965), bagi mereka yang mempunyai penghargaan diri yang rendah, imej kendirinya kurang stabil dan perasaan cemas dilahirkan. Individu yang mempunyai penghargaan diri yang rendah sentiasa mempamerkan perasaan palsu terhadap dunia. Ketegangan ini menimbulkan kebimbangan dan seterusnya melahirkan perasaan cemas. Penghargaan diri yang rendah juga menjadikan seseorang itu sensitif terhadap fakta kegagalannya. Kelemahan ini merangsang perasaan kecemasan dan menimbulkan pengasingan peribadi sama ada secara fizikal atau emosi daripada orang lain. Mereka yang berpenghargaan diri rendah tidak mudah mendedahkan dirinya kepada orang lain. Jadi, mereka sentiasa menempuhi kehidupan secara bersendirian. Dengan ini, kita

Dalam dokumen msia2.pdf (Halaman 26-36)