Secara keseluruhanya, kajian ini dijalankan untuk mengkaji tahap kesediaan guru dalam mengajar mata pelajaran Sejarah di sekolah rendah. Tahap kesedian guru dalam kajian ini ditinjau dari segi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam mengajar mata pelajaran baharu. Selain itu, tinjauan juga berkisar dengan sikap dan minat guru dalam mengajar mata pelajaran sejarah serta keupayaan mereka dalam menjalankan tanggungjawab mengajar subjek Sejarah. Berikut adalah objektif kajian ini:
1. Meninjau tahap kesediaan guru terhadap pengajaran mata pelajaran Sejarah di sekolah rendah daripada aspek pengetahuan.
2. Meninjau tahap kesediaan guru terhadap pengajaran mata pelajaran Sejarah di sekolah rendah daripada aspek kemahiran.
3. Mengenal pasti tahap kesediaan guru untuk mengajar mata pelajaran Sejarah di sekolah rendah daripada aspek sikap.
4. Mengenal pasti tahap kesediaan guru untuk mengajar mata pelajaran Sejarah di sekolah rendah daripada aspek minat.
5. Mengkaji masalah dominan yang menjadi penghalang dalam pengajaran Sejarah di sekolah rendah.
Kepentingan Pengajaran Sejarah Diajar Di Sekolah Rendah
Pengakuan tentang kepentingkan Sejarah diajar di sekolah rendah telah diakui sendiri oleh Hallam. Hallam (1969) yang menganalisis penyelidikan Peel berpendapat pendidikan sejarah perlu diperkenalkan lebih awal, iaitu pada usia kurang daripada 16 tahun dengan syarat pembelajaran mestilah bersesuaian dengan skema murid. Beliau menyusuli penyelidikan Peel mendapati melalui proses pembelajaran berkesan, kanak-kanak boleh mengalami pecutan sehingga satu tahap tertentu dalam perkembangan peringkat 0perasi formal (Hallam, 1972, 1979).
Sejarah dapat menyemaikan bibit-bibit semangat perpaduan dan patriotik di kalangan pelajar. Penyemaian tersebut sekali gus dapat mendedahkan pelajar kepada sejarah pembangunan negara bermula daripada peringkat umur rendah. Pelbagai unsur patriotisme boleh diselitkan dalam sukatan Sejarah agar melalui proses pengajaran dan pembelajaran Sejarah boleh memupuk semangat patriotisme yang tinggi dalam diri pelajar. ‘Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Begitu besar harapan bangsa pada generasi muda hari ini. Maka adalah penting bagi mereka mempelajari
35 nilai-nilai patriotisme kerana mereka masih dalam proses menuju dewasa. Patriotisme mengajar remaja mendisiplinkan diri. Generasi berdisiplin dan produktif adalah kemudi pembangunan kepimpinan negara pada masa akan datang (Mahathir dan Belia; dalam Saifuddin: 2002).
Jadi apabila nilai-nilai patriotisme disemai dalam jiwa setiap rakyat Malaysia maka kita tidak mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur asing yang mempamerkan budaya dan acuan lain yang jauh beza daripada ciri-ciri Malaysia. Rata-rata generasi muda hari ini memiliki kehidupan yang serba senang dan mudah. Situasi ini merupakan satu faktor yang dikhuatiri mengurangkan semangat patriotisme dalam kalangan mereka. Pelbagai kemudahan sosial, kemajuan ekonomi, kehadiran berbagai-bagai barangan dan perkhidmatan di pasaran, beraneka bentuk hiburan, semua ini boleh melekakan dan mengalpakan generasi muda daripada hal-hal yang lebih serius seperti soal kedudukan dan kemajuan bangsanya atau peranan dan tanggungjawabnya terhadap masyarakat dan negara. Era globalisasi dan liberasi melihatkan ledakan maklumat melalui kemajuan teknologi yang semakin hari semakin canggih. Apabila remaja selesa menikmati kehidupan sebegini semangat patriotisme jelas akan menipis.
Seterusnya Sejarah juga mengajar kita agar mengelakkan diri daripada mementingkan diri dan bersikap etnosentrisme. Sikap etnosentrisme ialah sikap yang mementingkan kelompok etnik sendiri. Sikap seperti ini akan menjejaskan hubungan dengan kaum-kaum lain di negara ini. Remaja perlu menghayati dan mengamalkan Gagasan Satu Malaysia yang menekankan aspek perpaduan secara tuntas ke arah pembentukan sebuah negara yang progresif. Remaja perlu menerima segala perbezaan yang wujud antara kaum di negara ini dengan hati yang terbuka. Mereka hendaklah mengamalkan sikap ‘di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung’. Jika semangat ini dapat diamalkan oleh setiap remaja, nescaya negara kita akan terhindar daripada sebarang malapetaka akibat perpaduan yang rapuh.
Pembelajaran Sejarah bukan setakat kita memperoleh ilmu tentang sejarah negara kita, malah berupaya memberi ikhtibar dan pengajaran kepada kita agar menjadikan sejarah lampau yang melanda negara tidak berulang kembali. Jika kita mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang ‘sejarah’ yang telah berlaku, sudah tentu kita berupaya mengubah ‘sejarah’ yang bakal berlaku. Ahli falsafah George Santayana (1918) mengatakan orang yang melupai sejarah akan melakukan kesilapan yang sama. Oleh itu remaja hari ini hendaklah diterapkan dengan pengetahuan sejarah secara lebih serius. Dengan mempelajari, memahami, menghayati, dan mengambil ikhtibar daripada sejarah, maka mereka akan menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab, rasional, dan berhemah tinggi dalam kehidupan di dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.
Pendidikan Sejarah Dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah KSSR
Pada peringkat lokal, persoalan patriotis dan kewarganegaraan mendesak pendidikan dengan Sejarah dijadikan teras pada peringkat rendah. Kementerian Pelajaran Malaysia bertanggungjawab menggubal kurikulum tersebut dalam bentuk mata pelajaran tersendiri dan penyerapan dalam matapelajaran yang lain. Dalam mata pelajaran Sejarah sekolah rendah terdapat 3 bahagian kandungan yang diberikan fokus;
1. Kewarganegaraan 2. Patriotisme
3. Perlembagaan negara.
Kewarganegaraan merujuk kepada pembentukan bangsa Malaysia dari kepelbagaian etnik yang ada. Pemupukan semangat kekitaan dan persaudaraan sebagai warganegara Malaysia diberi penelitian. Manakala patriotisme pula berfokus kepada pembinaan perasaan dan semangat cintakan negara Malaysia dan bersama-sama mempertahankan kemerdekaannya, kedaulatannya dan memartabatkannya. Unsur Perlembagaan Negara merujuk kepada rasa tangungjawab terhadap memelihara keharmonian dan kesejahteraan negara yang berlandaskan piagam yang diterima bersama oleh setiap rakyat Malaysia.
Kurikulum KSSR telah menjadikan sejarah sebagai item Tunjang Kemanusiaan. Tunjang ini memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dan amalan tentang kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan global, serta penghayatan semangat patriotisme dan perpaduan. Disiplin ilmu
36 yang terdapat dalam Tunjang Kemanusiaan ialah Sejarah yang diperkenalkan mulai Tahap II persekolahan.
Dalam kurikulum sejarah sekolah rendah, fokus utama lebih kepada semangat cintakan negata. Antara topik yang diberi tumpuan ialah “Perlembagaan Persekutuan serta kemerdekaan tanah air”. Objektif topik tersebut adalah bagi menyuntik semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda. Muris murid diberi pendedahan di peringkat awal dan ini akan membantu mereka menanam petrotisma dengan lebih mendalam. Selain itu, pengenalan sejarah di peringkat sekolah rendah juga dapat membantu pelajar bersedia dengan lebih awal sebelum mereka melangkah kepada pengajaran sejarah diperingkat menengah. Situasi ini dapat membantu murid murid menguasi bidang sejarah pada peringkat awal.
Kepentingan Pengkajian Terhadap Kesediaan Guru Dalam Pengajaran Mata Pelajaran Sejarah
Pendidikan Sejarah sangat penting namun usaha terhadap pelaksanaan Sejarah oleh guru lebih penting. Guru merupakan perantara dalam bidang pendidikan untuk menyampaikan semua ilmu pengetahuan kepada pelajar. Guru sebaik mungkin akan menyampaikan ilmu dengan sempurna agar murid-muridnya memahami apakah tujuan pembelajaran tersebut. Albaugh (1997) menyatakan bahawa guru-guru biasanya ragu-ragu dengan idea-idea baru dan terkini kerana mereka merasa selesa dengan apa yang selama ini mereka telah lakukan. Hanya apabila mereka yakin bahawa idea-idea dan inovasi baru telah terbukti dapat meningkatkan keberkesanan dalam pengajaran pembelajaran mereka barulah mereka bersedia untuk mengubah cara kerja mereka. Situasi ini berbeza jika setiap guru sentiasa mengamalkan kaedah pengajaran berkesan apabila berada di dalam bilik darjah.
Menurut Lee Pau Wing (1998) mengatakan bahawa untuk menjadi guru Sejarah yang berjaya, seseorang itu mesti memiliki tiga keperluan iaitu seseorang guru perlu mempunyai pengetahuan yang mencukupi dalam mata pelajaran Sejarah yang diajar, menguasai teknik dan kaedah pengajaran yang berkesan bagi penyampaian mata pelajaran Sejarah dan mempunyai sifat-sifat peribadi yang murni. Guru Sejarah yang memiliki sifat-sifat ini merupakan guru yang berjiwa pendidik kerana sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk melengkapkan diri demi keperluan profesionnya. Hal ini membolehkan dirinya menjadi seorang guru yang berkesan sehingga dapat mencapai kejayaan dalam profesion perguruan.
Menurut Sufean Hussin (2004) pula, keberkesanan dalam profesion perguruan berkait rapat dengan keupayaan dan usaha guru yang gigih untuk menyempurnakan tanggungjawab terhadap pelajar, sekolah dan masyarakat. Antara tumpuan keberkesanan dalam profesion ini ialah keberkesanan daripada aspek pengajaran, pengetahuan bidang serta sikap guru untuk mengajar di sekolah. Kesediaan juga merupakan satu kaedah atau situasi yang wujud untuk memungkinkan peluang menjalankan sesuatu aktiviti atau gerak kerja dengan baik (Thorndike, 1932). Dengan ini, kejayaan dalam mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dapat dicapai sekiranya golongan guru sedar dan bersedia untuk mengajar mata pelajaran yang akan diajar. Hanya warga profesion perguruan sahaja yang berkemampuan memberi perkhidmatan pendidikan terbaik kepada masyarakat yang mana memberi kesan yang besar terhadap perkembangan personaliti, mental dan fizikal setiap insan (Noran Fauziah dan Ahmad Mahdzan, 1993).
Justeru itu, kepentingan dari aspek kesediaan dan keupayaan guru terhadap pengajaran mata pelajaran sejarah di sekolah rendah serta modul pembelajaran dan pengajaran sangat mempengaruhi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran sejarah di sekolah rendah kelak. Kesediaan merupakan suatu tahap yang mesti dicapai oleh seseorang guru untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan atau tugas yang berkesan dimana ianya bergantung kepada faktor pengetahuan, kemahiran, pengalaman, sikap dan minat guru. Pendapat yang sama turut diketengahkan oleh Phillip Van Hooser (1998) yang mendapati terdapat tiga elemen penting yang menjadi asas kesediaan guru mengajar iaitu ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap.
Kesediaan Guru Mengajar Mata Pelajaran Sejarah Dari Aspek Pengetahuan
Menurut Brown dan McIntyre (1993), aspek pengetahuan dan kemahiran adalah penting dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan inovasi. Ini disebabkan penguasaan guru dalam aspek tersebut memandu mereka untuk melaksanakan tugas dengan berkesan. Wiles dan Bondi (1998) pula
37 berpandangan tanpa pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi akan menjejaskan tahap kesediaan guru untuk melaksanakan sesuatu inovasi.
Pendapat ini turut disokong oleh Hashweh (1985) yang mendapati penguasaan, pengetahuan dan kemahiran guru terhadap isi kandungan yang hendak diajarkan akan mempengaruhi proses transformasi kurikulum yang dilakukan oleh guru-guru di dalam kelas, ini dapat dilihat daripada segi pengubahsuaian bahan atau isi kandungan yang tercatat dalam buku teks serta perwakilan-perwakilan yang guru-guru gunakan dalam menerangkan sesuatu konsep dan prinsip.
Shulman (1987) dan Lilia (1997) pula menjelaskan kepentingan seseorang guru dalam menguasai pengetahuan pedagogi berkaitan dengan subjek yang hendak diajarkan. Pengetahuan pedagogi akan membantu guru-guru mengubah suai kefahaman mereka mengenai isi kandungan tersebut kepada bentuk-bentuk pedagogi yang baik serta bersesuaian dengan kebolehan dan latar belakang pelajar. Pengetahuan jenis ini juga dikatakan bertindak sebagai “peta konseptual” atau panduan kepada guru-guru dalam membuat keputusan tentang pengajaran, ini termasuk objektif yang hendak dicapai, pemilihan kaedah pengajaran yang sesuai dan jenis latihan yang harus diberikan dalam sesuatu pengajaran.
Justeru itu, perlu untuk memastikan bahawa guru-guru sekolah rendah mempunyai kesediaan daripada segi pengetahuan. Sekiranya guru tidak dapat menguasai aspek pengetahuan terhadap mata pelajaran Sejarah, hal ini mendorong kepada kegagalan guru menterjemahkan perubahan kurikulum yang akan dihadapi kelak.
Kesediaan Guru Mengajar Mata Pelajaran Sejarah Dari Aspek Kemahiran
Kemahiran boleh diertikan sebagai kecekapan, penguasaan dan kepakaran dalam melakukan sesuatu. Namun, dalam bidang pendidikan, kemahiran yang dimaksudkan adalah lebih kepada kemahiran pedagogi dan kemahiran makro dan mikro seperti kemahiran mengajar, kemahiran lisan dan arahan, serta kemahiran berfikir (Salhah, 2005). Kemahiran yang dimaksudkan bukannya kemahiran yang bersifat teknikal seperti pengendalian mesin dan sebagainya. Seorang guru yang berkualiti boleh menguasai serta merealisasikan segala kemahiran, pengetahuan dan kepakaran yang ada pada diri sendiri sebagai alat meningkatkan keberkesanan pengajaran. Perubahan dalam aspek kemahiran boleh dibahagikan kepada tiga iaitu kemahiran pedagogi, kemahiran melalui pengalaman dan kemahiran kreatif dan inovatif.
Seorang guru seharusnya memiliki kepakaran, kemahiran dan kesediaan dalam mengajar murid-murid di sekolah. Guru yang berkemahiran tinggi adalah guru yang memiliki kepakaran dalam pelbagai pendekatan pedagogi dan bidang perkhidmatan yang luas (Usman 2006). Beliau juga menambah bahawa seorang guru yang pakar bererti dirinya juga telah memiliki kompetensi dan profesionalisme yang tinggi. Oleh itu, seseorang guru harus bersedia dan bersikap positif untuk menerima perubahan kurikulum yang diarahkan oleh kementerian. Pengenalan mata pelajaran Sejarah harus disambut baik oleh setiap guru walaupun opsyen subjek yang mereka m bukan opsyen Sejarah. Ini bersesuaian dengan profesionalisme dan kemahiran ikhtisas yang mereka miliki.
Oleh itu, kemahiran seseorang guru adalah elemen pelengkap kepada kejayaan sesebuah perubahan. Guru yang berkemahiran mengambarkan pendidikan yang bermutu dan cemerlang. Apabila semua guru mempunyai kemahiran yang tinggi dalam dunia pendidikan, ini secara lansung akan mempercepatkan proses trasfomasi dalam pendidikan.
Kesediaan Guru Mengajar Mata Pelajaran Sejarah Dari Aspek Sikap
Menurut kajian Woofolk, Rosoff dan Hoy (1990) mengenai keberkesanan diri guru mendapati keberkesanan diri guru mempunyai hubungan yang erat dengan sikap dan kelakuan mengawal kelas. Guru yang mempunyai tahap keberkesanan diri yang tinggi mempunyai sifat lebih yakin terhadap mata pelajaran yang diajar dan mempunyai penguasaan kelas yang baik. Seterusnya, keadaan dalam kelas lebih tenang dan wujud hubungan mesra antara guru dan pelajar. Oleh itu, sikap dan keyakinan guru terhadap pengajaran amat penting untuk diberi perhatian kerana anjakan kepercayaan secara paradigmatik akan merubah gaya pengajaran guru (Wan Zah, 2000).
Sikap guru sudah pasti akan dipengaruhi oleh pendidikan guru yang ada dalam diri setiap pendidik. Dengan memegang amanah sebagai seorang pendidik, maka guru akan sentiasa ingat bahawa sikap-sikap yang positif perlu ditampilkan kepada khalayak umum agar profesion keguruan tidak dipandang remeh dan di rendah-rendahkan. Guru sebagai seorang yang berpendidikan tinggi
38 tidak seharusnya mengamalkan sikap-sikap negatif. Setiap guru seharusnya berpegang kepada Falsafah Pendidikan Guru (FPG) agar sentiasa berada dalam landasan yang terbaik untuk tampil sebagai seorang yang positif. Pengalaman guru pula mempengaruhi sikap guru dalam jangka masa panjang.
Justeru itu, kesediaan terhadap sikap adalah elemen terpenting untuk diketengahkan apabila terdapat perubahan yang melibatkan pengenalan mata pelajaran baru dalam kurikulum. Sikap yang dimiliki oleh guru boleh dijadikan kayu pengukur dalam mengetahui kesediaan guru terhadap sesuatu subjek. Sikap positif memberi perubahan yang cepat kepada perubahan kurikulum dan sebaliknya sikap negatif membawa kepada pelaksaan yang lambat terhadap perubahan kurikulum.
Kesediaan Guru Mengajar Mata Pelajaran Sejarah Dari Aspek Minat
Minat adalah perkara terpenting menjadikan guru berjaya dalam kerjaya. Hal ini kerana minat itulah yang membawa mereka untuk memilih bidang pendidikan sebagai kerjaya. Namun, minat ini masih boleh ditingkatkan semasa guru sudah bertugas. Kebiasaannya guru hanya bekerja dan menunggu gaji di hujung bulan, namun ada juga guru yang mempunyai minat yang tinggi hingga merasakan tugas sebagai guru adalah bukan sekadar kerja, namun lebih kepada hobi, minat dan kepuasan yang tinggi untuk mereka. Kepuasan yang tinggi ini membawa kepada pengajaran yang efektif.
Kajian yang dilakukan oleh Ryan (1960) dalam Ornstein dan Miller (1980) menunjukkan guru-guru yang efektif menunjukkan tingkah laku seperti berminat terhadap pelajar dan pengajaran, bersemangat tinggi, terbuka, riang dan member galakan kepada pelajar. Wiseman et al., (1998) merumuskan bahawa seorang guru yang baik perlu memiliki ciri-ciri seperti berminat terhadap pembelajaran murid, mempunyai pengetahuan tentang subjek yang diajar serta mengetahui kaedah pengajaran yang terbaik untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar, berkebolehan untuk mengurus dan mengawas pembelajaran murid, mempelbagaikan kaedah-kaedah pengajaran dan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti sekolah selain mengajar. Pendekatan-pendekatan ini memberi pengalaman baru kepada guru.
Sehubungan dengan itu, seseorang guru seharusnya menguasai pelbagai pendekatan pedagogi, psikologi pendidikan, kaedah pengajaran pembelajaran dan penyediaan bahan pengajaran pembelajaran (Badrul, 2010). Keupayaan dalam penguasaan pendekatan pedagogi, psikologi dan penyediaan bahan pengajaran pembelajaran untuk proses pembelajaran adalah merupakan kompetensi yang amat penting bagi seorang guru. Walaupun di peringkat permulaan agak sukar, namun kompetensi dan profesionalisme yang tinggi mampu memandu guru menyelesaikan masalah dalam proses pengajaran di bilik darjah.
KESIMPULAN
Kesediaan merupakan suatu tahap yang mesti dicapai oleh seseorang guru untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan atau tugas yang berkesan dimana ianya bergantung kepada faktor pengetahuan, kemahiran, pengalaman, sikap dan minat guru. Segala pandangan menurut dimensi guru boleh dijadikan pelengkap dalam menjayakan pembangunan pendidikan yang diimpika oleh segenap lapisan masyarakat. Secara keseluruhanya, perbincangan berkaitan tahap kesediaan guru berdepan pengajaran subjek sejarah sangat menarik untuk diketengahkan memandangkan matapejaran sejarah bakal diajar pada masa akan datang.
RUJUKAN
Abd. Rahim Abd. Rashid (2000). Model dan pendekatan pengajaran Sejarah KBSM. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Artikel Bahagian Pembangunan Kukirikulum (BPK): Pencapaian Malaysia Dalam Indeks Persaingan Global Dalm Bidang Pendidikan; 18 May 2012
Brophy, Jere (1998). Motivating Students To Learn. United States of America: Mc Graw Hill Company.
Kamus Dewan (1997). Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka. Kementerian Pendidikan Malaysia. 1992. Buku Penerangan KBSM.
Manzaidi Mohd Amin ( Selasa, 4 April 2006 ). “ Guru Patut Bersedia Martabat Pendidikan Negara ke Taraf Dunia “. Berita Harian. Dimuat turun dari http://opac.psz.utm.my :800
39 Muhd. Yusof Ibrahim (1997). Ilmu Sejarah, Falsafah, Pengertian dan Kaedah. Dewan Bahasa dan
Pustaka.1997.
Muhd.Yusof Ibrahim (1986). Pengertian Sejarah: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 1986 Sapian Ismail. (1997). Sikap guru guru sekolah rendah terhadap pusat kegiatan guru. Tesis sarjana
sains pembangunan sumber manusia. Unimas, Sarawak
Siti Asma Morad (2000). “ Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Persediaan Guru-Guru Pelatih UTM Tahun Tiga STP ( Perdana ) Sebelum Menjalani Latihan Mengajar “. Universiti Teknologi Malaysia : Tesis Ijazah Sarjana Muda.
Yaakub Isa (1996). Almanak Pendidikan. Berita Publishing Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
Wan Nur Izzati Binti Wan Ab Hamid (2011).Tahap Keyakinan Dan Sikap Guru Terhadap Pengajaran Kemahiran Hidup Di Sekolah Menengah Zon Skudai Dan Nusajaya, Johor Tesis.
Wan Zah Wan (1998). Konsep Pengajaran Dan Pembelajaran Di Abad Ke 21:Masalah Pendidikan Jilld 21,1998.
40 KEPIMPINAN PENGAJARAN GURU BESAR HUBUNGANNYA DENGAN KOMITMEN
DAN KEPUASAN KERJA GURU DI SEKOLAH RENDAH