• Tidak ada hasil yang ditemukan

Pendidikan Islam: Tinjauan Metodologi Silam dan Realiti Hari In

Norsiah Sulaiman, S. Salahuddin Suyurno & Fairuzah Hj. Basri

Abstrak

Pendidikan Islam, khususnya di Malaysia telah melalui sejarah yang panjang. Berbagai metod telah digunakan yang disesuaikan dengan matlamat utama pendidikan Islam, iaitu untuk melahirkan umat Islam yang mempunyai keyakinan dan pegangan yang teguh terhadap Islam. Bermula dari matlamat ini, pengetahuan Islam yang mengandungi nilai pendidikan mula diberikan kepada para pelajar. Para ulama’ silam telah merintis berbagai-bagai metod pendidikan Islam sesuai dengan masyarakat dan zaman yang mereka hadapi. Di antaranya, mereka menggunakan metod penulisan dan mendirikan pusat pengajian yang dikenali dengan berbagai-bagai nama seperti pondok, langgar dan madrasah. Di pusat ini, metod yang lebih khusus digunakan, iaitu membaca kitab halaman demi halaman, menghafaz kaedah atau formula penting dan menjelmakan akhlak Islam dalam kehidupan seharian. Sebahagian metod ini dilanjutkan dari satu generasi ke satu generasi hingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, situasi hari ini telah jauh berbeza dengan situasi, fenomena, masyarakat, cabaran, keperluan dan zaman silam. Justeru itu, metodologi hari ini perlu disesuaikan dengan realiti hari ini. Matlamat pendidikan Islam silam tetap menjadi matlamat pendidikan hari ini, hanya metod atau cara baru yang perlu diketengahkan. Dalam memenuhi hasrat ini, kertas kerja ini akan membentangkan metodologi pendidikan Islam silam secara ringkas dan meninjau metod pendidikan hari ini dan sedikit cadangan.

Pendahuluan

Terminologi penting dalam kertas kerja ini ialah pendidikan, pendidikan Islam dan metodologi. Para sarjana pendidikan telah membahas makna pendidikan dari berbagai sudut dan menghasilkan berbagai takrif dan maksud pendidikan. John Dewey (1859-1952) yang dianggap “bapa pendidikan moden” menegaskan, pendidikan adalah satu proses masyarakat mengenal diri. Dari maksud ini, beliau menggariskan tujuan pendidikan ialah untuk mencapai kekebalan generasi muda bagi meneruskan warisan masyarakat (Dipetik oleh Dr. Tajul Ariffin Nordin. 1986. Jurnal Pendidikan Islam).

Menurut al-Ghazali (dipetik oleh A. Fattah Jalal: 46-47) mendidik bererti memperkembangkan bakat dengan jalan atau cara menghindarkan segala penghalang atau rintangan. Bakat tersebut dibentuk selangkah demi selangkah atau bertahap sehingga sempurna. A. Fatah mengulas pengertian yang diberi oleh al-Ghazali dengan menegaskan pendidikan adalah satu usaha yang berhubung dengan aspek kognitif, psikomotor dan efektif. Aspek-aspek ini ditekankan kerana sasaran pendidikan adalah manusia yang bukan hanya makhluk bersifat biologi, tetapi juga sebagai makhluk berbudaya, berakal, berfikir; mempunyai lidah yang mampu bertutur, mempunyai kehendak dan dapat menyedari masa depannya (A. Fatah Jalal: 46-47). Menurut Prof. Dr. Mohd Atiyah al-Abrashi pula, pendidikan bermaksud mempersiapkan manusia supaya hidup sempurna dan bahagia,

mencintai tanah air, tegap jasmani, sempurna budi pekerti, teratur fikiran, halus perasaan, mahir dalam pekerjaan, saling tolong menolong, manis tutur kata dan baik pada lisan dan tulisan (dipetik oleh Drs. Wan Abdullah Wan Mahmood. 1989). Prof. Dr. Hassan Langgulung (1979) pula menjelaskan, pendidikan dalam pengertian yang luas bermakna merubah dan memindahkan nilai kebudayaan kepada setiap individu dalam masyarakat. Proses pemindahan ini berlaku melalui beberapa proses, iaitu pengajaran, latihan dan indoktrinasi (meniru atau mengikut apa yang di ajar dan diperintah). Dari ketiga-tiga maksud pendidikan yang dibentangkan, kesimpulan yang dibuat oleh Prof. Dr. Hasan Langgulung (1979) amat baik untuk diperhalusi, dimana beliau menegaskan perbincangan mengenai pendidikan akan membawa kepada perbincangan budaya yang mengandungi unsur akhlak (ethics), unsur keindahan (esthetics), unsur sains dan unsur teknologi.

Abdullah al-Qari (1989, hal. 37) mengertikan pendidikan sebagai suatu usaha dan pimpinan yang teratur untuk mengembang dan memajukan segala kesanggupan (potensi) dan kemungkinan-kemungkinan yang ada pada kanak-kanak atau orang yang dididik ke tahap yang paling maksima, sama ada menyentuh aspek rohani mahu pun jasmani. Terdapat tiga istilah pendidikan yang digunakan oleh para sarjana pendidikan muslim iaitu:

1. Ta’lim - diutarakan oleh A. Fattah Jalal.

2. Tarbiyyah - diutarakan oleh Abdullah Nasih Ulwan. 3. Ta’dib - diutarakan oleh S. M. Naquib al-Attas.

Pendidikan Islam bersifat global dan merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Prof. Dr. Mohd Atiyah al-Abrashi menggaris matlamat-matlamat pendidikan Islam yang merangkumi pendidikan budi pekerti, pendidikan untuk agama dan dunia, untuk menguasai segala bidang yang dapat memberi manfaat, mempelajari ilmu untuk ilmu dan pendidikan kemahiran untuk mencari rezeki. (dipetik oleh Dr. Tajul Ariffin Nordin. 1986 Jurnal Pendidikan Islam). Ghazali Basri (Jurnal Pendidikan Islam 1986) pula menjelaskan, pendidikan Islam adalah pendidikan yang berasaskan kepada pendidikan tauhid, pendidikan caqliyyah dan ilmiah, pendidikan akhlak dan pendidikan kesihatan.

Metodologi bermaksud cara atau teknik yang digunakan dalam bidang pendidikan yang melibatkan pengajaran dan pembelajaran. Metod atau metode menurut Kamus Dewan ialah sistem atau cara melakukan sesuatu. Manakala metodologi adalah sistem yeng merangkumi kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip yang digunakan dalam sesuatu kegiatan atau usaha dan sebagainya (1993:826). Edgar Bruce Wesley (1950) mentakrifkan metod dalam bidang pendidikan sebagai urutan kegiatan terarah bagi guru yang menyebabkan timbulnya proses belajar dikalangan anak didik. Dengan kata lain, ia adalah proses belajar yang dilaksanakan secara sempurna dan ke arah pengajaran yang lebih berkesan (dipetik oleh Ahmad Mohd. Salleh. 1997:192). Sebahagian ahli pendidikan secara khusus mendefinisikan metod sebagai: “Suatu cara dalam melaksanakan pendidikan, atau suatu bentuk langkah-langkah yang dilalui untuk menyajikan satu pengajaran kepada anak didik, yang cara (langkah-langkah) itu sengaja dipilih dan sesuai untuk satu-satu mata pelajaran tersebut dan bahan yang disajikan berdasarkan prinsip-prinsip ilmu pendidikan (secara psikologi)”

Dalam metod pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam, tidak ada satu metod khusus yang dianggap terbaik untuk dilaksanakan melainkan metod Rasulullah salla’Llah calayh wa sallam. Oleh itu, untuk melaksanakan kembali metod pendidikan pada zaman Rasulullah salla’Llah calayh wa sallam pada hari ini, Islam menerima pelbagai metod pengajaran selagi tidak bercanggah dengan matlamat dan dasar-dasar Islam sama ada dari segi jenis mata pelajaran, status mata pelajaran (umum atau khusus), kurikulum, mahu pun sifat pendidikan.

Bagi keberkesanan metod pembelajaran yang diaplikasikan, perkara penting yang perlu dilihat dan diperhatikan adalah:

Norsiah Sulaiman et.al. / 53 • Tujuan mata pelajaran.

• Latar belakang pelajar.

• Situasi dan kondisi pengajaran dan pembelajaran.

• Peribadi dan kemampuan guru.

• Insfastruktur / kemudahan.

Dalam membincangkan tajuk pendidikan Islam, tokoh pemikir pendidikan Islam harus dilihat sebagai suatu yang penting kerana mereka banyak memberi sumbangan pemikiran, saranan dan mengembangkan dasar pendidikan Islam yang telah dirakam oleh al-Qur’an al- karim dan al-hadith al-nabawiyy. Pemikir yang paling unggul setelah Rasulullah salla’Llah calayh wa sallam dan para sahabat ialah Imam al-Ghazali (1111M) yang merupakan seorang guru di Universiti Nizamiyyah, Baghdad. Karya beliau yang menjadi sumber bidang pendidikan ialah Ihya’ ulum al-din. Ini disusuli oleh Ibn al-Khaldun (1332 - 1406 M) dengan karya beliau yang terkenal iaitu Muqaddimah dan Ibn Tufayl dengan karya beliau yang menjadi sumber pendidikan khususnya kanak-kanak iaitu Hayy ibn yaqazan (Hasan Langgulung, 1979).

Berdasarkan kepada fahaman Islam sebagai al-Din, dapat ditegaskan pendidikan Islam merangkumi dua bahagian (Norsiah. 2002: 267-279):

Bahagian yang mengatur cara-cara perhubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia. Bahagian yang mengatur sumber- sumber kehidupan manusia dalam soal-soal yang berhubung dengan ekonomi, kesihatan politik dan sebagainya (Abdullah al-Qari: 57).

Secara ringkas, pendidikan Islam adalah usaha mengembangkan fitrah manusia dengan menggunakan kaedah agama Islam, agar terwujud kehidupan manusia yang makmur dan bahagia di dunia dan akhirat. Untuk mencapai hasrat ini sudah tentu pendidik Islam perlu berpegang kepada dasar ideal pendidikan Islam, iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah. Di samping itu, tujuan pendidikan Islam dilaksanakan adalah untuk mempersiapkan diri manusia sebagai khalifah agar dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai pemakmur (khalifah) alam ini.