• Tidak ada hasil yang ditemukan

KEPIMPINAN LESTAR

Dalam dokumen BUKU PROSIDING FINAL 28.07.2016 .pdf (Halaman 108-110)

Kepimpinan Dan Pengurusan Pendidikan

KEPIMPINAN LESTAR

Kelestarian sesebuah organisasi menjadi fokus utama kebanyakan pemimpin organisasi dalam usaha memastikan organisasi yang mereka pimpin senantiasa mampu untuk berdaya saing dan berada di hadaapan. Hal ini amat berkait rapat dengan tingkah laku inovatif pengajaran guru yang diamalkan dalam sesebuah sekolah. Di Malaysia, bidang pendidikan antara bidang yang menerima peruntukan belanjawan yang terbesar setiap kali pembentangan belanjawan diumumkan. Kecenderungan itu dapat dilihat dengan jelasnya apabila sejumlah 56 bilion ringgit telah diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk belanjawan 2015 yang telah dibentangkan pada 10 Oktober 2014 oleh YAB Perdana Menteri Malaysia. Peruntukan ini adalah untuk membiayai program-program yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran di sekolah (Kementerian Kewangan Malaysia, 2014).

Sesebuah organisasi hanya akan kekal lestari dalam persaingan di peringkat global sekiranya organisasi tersebut berupaya menjana idea-idea atau inovasi baharu. Justeru, kepimpinan sekolah memainkan peranan penting untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan ia menjadi keutamaan dalam pembangunan polisi pendidikan di mana-mana negara sekalipun (Melnikova, 2012). Hal ini disebabkan oleh amalan kepimpinan di sesebuah sekolah mempunyai peranan yang kuat dalam mempengaruhi kelestarian pendidikan.

Goddard, Hoy dan Hoy (2004) menerangkan bahawa pemimpin yang berkesan tidak hanya percaya kepada keupayaan dirinya sendiri untuk membawa perubahan, malah memerlukan komitmen semua ahli dalam organisasi tersebut bagi memastikan pencapaian murid-murid meningkat. Berdasarkan kepimpinan lestari yang dikemukakan oleh Fullan (2005), terdapat lapan dimensi yang diketengahkan iaitu;

a) Berfokuskan Murid

Dalam konteks ini, murid dilihat sebagai pelanggan penting dan perlu diberi keutamaan . Hal ini kerana, kecemerlangan yang diperoleh oleh murid akan memberi impak positif kepada sekolah. Selain itu, sekolah yang berkesan dan cemerlang ialah sekolah yang memberi fokus kepada murid mereka. Faktor yang membolehkan kelestarian sesebuah sekolah itu dapat dipertahankan adalah kerana sekolah memberi tumpuan kepada murid di dalam bilik darjah. Perkara ini dipersetujui oleh Fullan (2005) dan Davies (2008) yang melihat aspek pembelajaran sebagai keutamaan.

b) Berfokuskan Matlamat Jangka Panjang dan Jangka Pendek

Kejayaan sesebuah organisasi amat berkait rapat dengan kejelasan seluruh ahli organisasi terhadap matlamat jangka panjang dan jangka pendek yang telah dipersetujui bersama (Day, Harris & Hadfield, 2001). Fokus kepada kedua-dua matlamat ini perlu berjalan seiringan. Sebagai pemimpin sekolah yang cemerlang, pengetua perlu memainkan peranan dengan lebih efektif bagi memastikan guru-guru, murid-murid serta ibu bapa jelas dengan wawasan yang hendak dicapai.

c) Menggalakkan Pembelajaran Melalui Rakan Sekerja

Menurut Mosley, Broyles & Kaufman (2014), pemimpin yang mahukan organisasinya sentiasa kekal lestari dari aspek kecemerlangan dan pencapaian akan berusaha

mewujudkan platform agar ahli-ahli organisasinya berpeluang untuk bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman. Dalam konteks sekolah, pengetua perlu memberi galakan kepada guru-guru menguasai sesuatu bidang ilmu dengan lebih mendalam agar guru dapat menyampaikan pelajaran dengan lebih berkesan di bilik darjah (Cook, 2014).

d) Mengekalkan Persekitaran Kerja yang Positif

Dalam sesebuah organisasi, sumber manusia adalah aset terpenting. Kepakaran dan ilmu pengetahuan yang ada pada setiap ahli dalam sesebuah organisasi perlu ke arah peningkatan produktiviti dan kecemerlangan individu dan organisasi secara keseluruhannya. Bagi memastikan situasi seperti ini wujud, pengetua perlu berperanan dalam memastikan persekitaran kerja dapat memberi rangsangan kepada guru-guru melaksanakan tugas sebagai pendidik di bilik darjah. Persekitaran sekolah yang kondusif , tenang dan selesa adalah sesuai bagi proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui cara ini, para guru akan merasakan segala usaha mereka untuk meningkatkan kualiti pengajaran di sekolah dihargai oleh pengetua (Garza, Drysdale, Gur, Jacobson & Merchant (2014).

e) Kedalaman Aspek Pengajaran dan Pembelajaran

Kajian yang dijalankan oleh Bush dan Glover (2012) mendapati bahawa pengetua yang cemerlang ialah pengetua yang memberikan fokus yang lebih kepada pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti di bilik darjah. Pada masa yang sama, sesi pemantauan dan perbincangan bersama guru-guru dilakukan secara berkala (Ubben, Hughes & Norris, 2001) bertujuan untul meningkatkan kualiti pengajaran guru dan kualiti pembelajaran murid-murid di sekolah (Hallinger & Lee (2013); Walker, Hu & Qian (2012).

f) Membangunkan Pemimpin Pelapis dalam Kalangan Guru

Pemimpin yang cemerlang berupaya untuk melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis dalam kalangan ahli organisasi agar sama-sama mencapai kecemerlangan. Bagi memastikan sekolah kekal lestari, kepimpinan tidak hanya bergantung kepada pengetua semata-mata. Sebaliknya kepakaran, bakat dan pengalaman daripada pelbagai peringkat ahli perlu digembleng secara bersama. Secara tidak langsung, keupayaan kepimpinan dalam diri guru-guru berupaya ditonjolkan. Pendedahan awal ini penting sebelum mereka menjadi pemimpin sebenar kelak.

g) Mengubah Konteks Kerja dan Budaya

Dalam konteks ini, Fullan (2005) menjelaskan bahawa perubahan dari segi konteks dan budaya kerja dalam sesebuah organisasi perlu dilakukan bagi memastikan perubahan dan penambahbaikan dapat dilakukan secara berterusan. Walau bagaimanapun perubahan dalam kedua-dua aspek ini memerlukan masa dan usaha yang lebih untuk melaksanakannya. Hal ini kerana melibatkan banyak pihak serta perlu memenuhi kehendak pemegang taruh iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah dan komuniti setempat.

h) Bekerja Bersama-sama Secara Bertanggungjawab

Keupayaan sesebuah sekolah berkolaborasi dengan sekolah-sekolah lain melalui pertukaran kepakaran dan sumber-sumber pengajaran turut memberi impak positif kepada kecemerlangan sekolah. Hal ini turut disokong oleh Garza, Drysdale, Gurr, Jacobson dan Merchant (2014) yang melihat gabungan antara guru-guru dan komuniti setempat membolehkan hubungan guru dan ibu bapa menjadi lebih akrab, penambahbaikan sekolah dapat dilakukan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan kecemerlangan sekolah. Pemimpin juga perlu menerapkan budaya kerjasama, kepercayaan dan saling menyokong dalam kalangan ahli organisasinya (Fleming, 2014).

Dalam dokumen BUKU PROSIDING FINAL 28.07.2016 .pdf (Halaman 108-110)