Kepimpinan Dan Pengurusan Pendidikan
SOROTAN LITERATUR
Undang-undang didefinisikan sebagai alat untuk mempertahankan hak setiap individu yang hidup dalam satu kelompok masyarakat (Institut Aminuddin Baki, 2009). Menurut Webster Dictionary pula, undang-undang merujuk kepada semua peraturan yang berkaitan dengan tingkah laku yang dibentuk mengikut autoriti atau adat sesuatu kaum. Sekolah merupakan sebuah organisasi pendidikan yang diselenggarakan oleh golongan pendidik yang berinteraksi melalui suatu proses berstruktur untuk mencapai hasrat dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Semakin masyarakat khususnya ibu bapa, terpelajar, semakin tinggi ruang dan peluang untuk mereka bertindak dengan pelbagai cara mendakwa sekolah, pentadbir dan guru, walaupun pada hakikatnya, pihak pentadbir dan guru tidak bersalah. Masyarakat pada masa kini bijak dan rajin berusaha agar mereka mencapai kemenangan dalam sesuatu litigasi. Usaha mereka bertambah mudah apabila pentadbir sekolah dan guru-guru kurang pengetahuan perundangan pendidikan dan/atau hanya menyerah kalah. Kesedaran dan pengetahuan tentang perundangan pendidikan adalah sangat penting dan harus difahami agar pentadbir sekolah dan guru tidak mudah dieksploitasikan dengan pelbagai dakwaan yang tidak berasas. (Institut Aminuddin Baki, 2009).
Pada umumnya, pihak sekolah boleh dibawa ke mahkamah atas dakwaan kecuaian yang menyebabkan murid tercedera akibat kemalangan yang berlaku di sekolah, selain daripada kes-kes hukuman yang melampau oleh guru. Untuk melindungi pihak sekolah dari dakwaan tersebut, pentadbir sekolah perlu memastikan beberapa perkara. Antaranya adalah seperti yang berikut:
i) semua guru dan staf tahu dan patuh kepada peraturan, prosedur dan arahan yang terkandung dalam Akta, Ordinan dan Surat Pekeliling Ikhtisas.
ii) pihak sekolah mengenalpasti setiap aspek tugasan yang mereka bertanggungjawab untuk melindung (identify areas of duty of care).
iii) pihak sekolah mengambil langkah-langkah penjagaan yang sesuai (exercise reasonable care) untuk mengelakkan kemalangan yang dapat dijangka. (iv) semua pihak memahami prosedur dan sentiasa bersedia untuk menangani
kemalangan yang mungkin berlaku.
(v) merekodkan semua peristiwa dan segala insiden yang berlaku dengan tepat dan sempurna.
(vi) guru-guru perlu memastikan segala tindakan disiplin yang dikenakan ke atas salah laku murid dilakukan mengikut peraturan `Punca Kuasa Pentadbir Dan Guru’.
Pentadbir bertanggungjawab secara langsung terhadap semua yang berlaku di sekolah dan yang dilakukan oleh warga sekolah terhadap pelajar. Dalam kes
`Guru/Pentadbir Didapati Bersalah: 200 Pelajar Direndam Dalam Kolam Kotor’, seramai 200 pelajar SMK Assan Sibu telah didenda dengan berendam, selama lebih kurang satu jam dalam kolam sedalam 0.6meter, ketika hujan lebat kerana terdapat tuala wanita yang dibuang ke dalam mangkuk tandas. Ketika kejadian berlaku, seorang orang luar sempat merakam situasi kejadian. Beliau diugut oleh guru tersebut supaya berdiam diri. Beberapa hari selepas kejadian tersebut, pelajar yang terlibat mengalami gatal-gatal, naik ruam dan demam.
Contoh kes kedua: `Pengetua Buang Pelajar Tanpa Notis Secukupnya’ di mana seorang pelajar dari sebuah sekolah menengah di Seremban, telah dibuang sekolah kerana melanggar disiplin sekolah. Pihak defendan memohon kepada mahkamah untuk memutuskan agar tindakan yang diambil oleh pengetua sekolah sebagai terbatal dan tidak sah. Ini adalah kerana tuduhan dibuat ke atas pelajar tersebut tidak mengikut undang- undang keadilan asasi. Pelajar menyatakan beliau tidak diberi peluang yang mencukupi untuk mempertahankan diri. Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan bahawa dengan hanya memberi amaran yang pelajar akan dibuang tidak memadai. Justeru itu, mahkamah berpendapat pengetua gagal memberi notis secukupnya kepada pelajar dan ini melanggar kehendak undang-undang keadilan asasi. Keputusan yang diambil oleh pengetua dibatalkan dan pelajar tersebut diterima semula untuk sambung belajar di sekolah tersebut.
Jika diteliti kedua-dua kes tersebut, ia melibatkan salah laku guru dan pentadbir sekolah itu sendiri. Dalam kes (i), guru mengenakan hukuman yang melampau sehingga memudaratkan kesihatan pelajar dan hukuman tersebut tidak tersenarai dalam peraturan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Dalam kes (ii) pula, pengetua sekolah mengenakan hukuman buang sekolah tanpa mengikut prosedur yang sepatutnya bagi kesalahan disiplin pelajar. Pada masa kini, sekolah dikehendaki mematuhi prinsip-prinsip perundangan yang betul dan peka terhadap peraturan yang sedia ada sebelum membuat keputusan disiplin yang berkaitan dengan pelajar (Mohd Ismail Othman, 2008). Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.7/1995: Tatacara Mengenakan Tindakan Dan Hukuman Terhadap Pelajar-Pelajar Sekolah, turut mengingatkan para pengetua, guru besar dan guru-guru, agar tindakan yang diambil hendaklah berdasarkan panduan-panduan seperti, Panduan Am Disiplin Sekolah, Panduan Tatacara Disiplin Untuk Guru Besar & Guru dan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.8/1983 bertarikh 17 November 1983, iaitu mengenakan hukuman biasa terhadap pelajar yang melakukan perbuatan salah laku yang tidak dinyatakan dalam peraturan pelajaran. Selain daripada itu, Surat Pekeliling Ikhtisas 9/1975 bertarikh 4 November 1975, menjelaskan bahawa pelajar sepatutnya dikenakan hukuman mengikut kesalahan – sama ada yang berat atau ringan (Mohd.Ismail Othman, 2008).
METODOLOGI
Kajian ini dijalankan melalui kaedah kualitatif menggunakan kajian kes. Penyelidikan kualitatif berusaha untuk menjelaskan sesuatu fenomena seperti yang dialami oleh peserta kajian sendiri (Gay & Airasian, 2003). Sesuatu kajian kualititif akan membantu kajian tersebut dijalankan secara lebih mendalam bagi menjelaskan sesuatu proses.
Sampel kajian adalah dari dua orang guru besar dan dua orang pengetua dari Kedah Darul Aman. Kaedah persampelan dilaksanakan secara persampelan bertujuan (purposeful sampling). Pengumpulan data ialah melalui temubual. Temu bual bersama responden telah
mengggunakan protokol temu bual yang telah disediakan dan masa yang telah digunakan ialah 1 jam 30 minit. Temubual merupakan sumber data yang sangat penting dalam menjalankan pendekatan kajian kes kerana ia dapat menyatakan pendapat dan fakta dari peserta kajian (Yin, 2009). Temubual juga membolehkan pengkaji menilai sejauh mana jawapan responden menunjukkan realiti dan pentafsiran dapat dibuat berdasarkan pengalaman mereka (Airasian & Gay, 2003, Chick and Baker, 2005, Gerring, 2004). Temubual yang dijalankan ialah temu bual separa terbuka yang dapat membolehkan responden memberi huraian tentang semua aspek berkaitan.
Soalan-soalan yang diberikan kepada responden kajian dibahagikan kepada tiga bahagian: soalan pengenalan, soalan transisi dan soalan kunci. Soalan pengenalan adalah untuk mendapatkan maklumat awal berkaitan dengan responden dari aspek pengalaman sebagai pengetua dan maklumat sekolah yang dikaji. Soalan transisi merupakan soalan yang diberikan untuk mendapatkan gambaran awal tentang pengetahuan pengetua mengenai undang-undang dalam pendidikan dan pengalaman responden tentang isu-isu berkaitan. Soalan kunci merupakan soalan-soalan utama yang diberikan bagi menjawab objektif kajian. Semasa temubual dijalankan, responden diminta berfikir dan menjawab soalan berdasarkan objektif kajian.
DAPATAN KAJIAN