• Tidak ada hasil yang ditemukan

Kontemporari – Kajian Nilai Budaya SITI ZAINON ISMAIL

3 Perlakuan Budaya

Rumah, istana, wakaf, perahu, kapal, layang-layang, bola raga, alat senjata, kelengkapan busana, destar secara umum sudah dikenali sebagai segala peralatan hidup yang melengkapkan lagi perlakuan budaya manusia. Inilah yang dirujuk oleh pelukis terutama dengan latar Alam Melayu. Contohnya, lakaran dua dimensi Jalaini Abu Hassan yang menampilkan semangat warisan budaya kita menerusi permainan congkak dan objek-objek harian, makanan, minuman, serta beraneka tanaman dan buah-buahan. Usaha menelusuri warisan bangsa sudah bergelora di mata hati seniman kita.

i Persandingan dan Busana

Keagungan Kerajaan Melayu (Melaka) mendapat perhatian Ismail Zain melalui karya bahan campuran (akrilik/foto),

berki-sah Perkahwinan Sultan Mansur Shah (1991) [89]. Hubungan

budaya antara Melayu-Jawa menjadi tanda peristiwa kebesaran pada zamannya. Walau tiada bukti sejarah yang konkrit, tetapi menjadi lambang budaya jati diri dalam seni rupa. Kita diper-kenalkan dengan teknik dan bahan semasa, imaginasi wajah Sultan dan Permaisuri. Tentu saja pelukis sudah keluar dari pola realisme potret tradisi Barat. Hal yang sama dilakukan Redza Piyadasa dengan mengambil wajah sedia ada (gambar) perem-puan dari Istana Negeri Perak, berbaju kurung kebaya labuh, lengkap hiasan gelang tangan/kaki rantai labuh dengan teknik cetak foto meminjam gaya semasa [90].

Kedua-dua pelukis sedar tentang kesenian Tradisi Agung dengan menyingkap tabir warisan Kerajaan Melayu Lama. Keindahan busana kaya dengan seni reka tenunan bercorak, songket, kain baldu ainul banat, cindai, limar dan perhiasan emas sebagai  lambang keagungan yang diiktiraf sebagai waris kerajaan Melayu Langkasuka-Seriwijaya hingga ke Kerajaan Melayu Melaka. Citra kesenian Tradisi Agung telah digarap oleh beberapa orang pelukis tanah air yang cuba men-jawab isu DKK yang diperjuangkan sejak tahun 1971.

Nur Hanim Khairuddin pula mengangkat mitos kepahlawanan kaum etnik mewakili citra kesenian Tradisi Kecil. Pola baju, mengambil rekabentuk warisan kulit kayu, sarat dengan motif pua kumbu, keluk kerawang, bulu kambing, jalinan tali dan manik. Ide pra sejarah de-ngan motif lanjutan Donsong, telah menimbulkan contoh semangat roh seni peribumi – rakyat pedalaman Sarawak – membuktikan seni

menulis dan melukis dalam kesenian tradisional melayu: impaknya dalam seni rupa kontemporari – kajian nilai budaya siti zainon ismail

rupa Malaysia begitu kaya penampilan seni. Teks asas Nur Hanim ialah semangat cerita lisan yang memerikan kejantanan pahlawan dengan segala hiasan ukiran logam, manik dan bulu kambing (lihat siri Protector (1996) [107]).

ii Seni Bina – Arca

Apabila kita mengkotakkan semua ini dalam bingkai kajian Barat, kita semakin menyempit definisi yang sebenarnya sudah jelas da-lam kerangka kajian kesenian Tradisional Melayu. Sebuah rumah adalah cara atau gaya memerikan keindahan kesenian Melayu. Ia melibat siapa ahli pandai reka dan tukangnya, perlambangan budaya milik bersama.

“Maka Sultan Mansur Syah pun memberi titah kepada bendahara Paduka Raja, menyuruh membuat istana. Adat Bendahara pegangannya Bintan. Adapun besar istana itu tujuh belas ruang, pada seruang tiga-tiga depa luasnya; besar tiga sepemeluk, tujuh pangkat kemuncaknya... diberinya berkapa-kapa (atap), pada antara kapa-kapa itu diberinya bumbungan, melintang dan gajah menyusu, sekeliannya bersayap layang-layang, di-ukir/belalah bersagi/dicat dengan air emas. Kemuncak kaca merah.”22 Inilah lukisan seni bina istana Mahligai Hawa Nafsu kerajaan Melaka.

Teks di atas sudah jelas mengguna bahan cat, air emas, kaca dari China dan ragam hias. Begitu juga peranan pereka bentuk Ben-dahara yang berasal dari Bintan. Tradisi ini masih dapat dikesan, kerana Melaka itu luas kuasanya. Kini dalam seni rupa semasa, adalah tidak mustahil, kita dapat menangkap nilai tradisional yang sudah meluasi makna sejagat. Sistem reka bentuk yang alami (uku-ran tiga sepemeluk), gajah menyusu (ruang), cat, warna dan dengan aneka motif hias bersifat terbuka ke alam luas. Anuar Dan (rumah Perak), Haron Mokhtar (rumah Melaka, Perak-Selangor) masih mengekalkan ruang serambi, kapa-kapa dan bumbung, rumah ibu, gajah menyusu juga tebar layar, bendul, kasau.

Gubahan Arca Alam Melayu dapat ditandai dengan munculnya batu tanda, batu sudu di Pengkalan Kempas. Batu asas budaya ini makin berkembang dan ketara dengan kedatangan Islam, se-perti penemuan batu bersurat di Kuala Terengganu, dan batu nisan raja-raja Melayu, sebagai karya seni terutama dengan wujudnya kesedaran teknik dan konseptual.23

Roh Alam Melayu dapat dirasakan dalam getar jiwa Mad Anuar Ismail, Tengku Sabri Tengku Ibrahim, Ariffin Ismail dan Raja Shahriman [94, 95, 106]. Renungan bergumul antara nafsu, akal dan nurani. Mad Anuar dan Raja Shahriman, meninggalkan kesibukan kota, meredah alam desa. Nurani bertempur dengan nafsu dan akal, dengan tauhid dan hidayah. Mencari kebeningan dalam kegelapan. Dalam pencarian seniman ibarat para Sufi mencampak kemewahan, memilih takdir dan luluh hati. Maka berpuisilah Hamzah Fansuri dengan Ruba’i,

“Hamzah miskin hina dan karam Bermain mata dengan Rabbul Alam Selamnya sangat dalam

Seperti mayat sudah tertanam.”24

Inilah gaya hidup pengarca ini. Raja Shahriman masuk ke dunia kerahsiaannya, terlalu asyik dan berahi, berlidah kelu, mata bi-nar sayu namun batinnya berpencak, mengasah lok keris. Maka genggaman jemari berakar, wajah berminyak, bertarung dengan keha-ngatan api dan tukul besi hanya kerana asyik mewujudkan getaran Nafas (sepanjang tahun 2003–2004). Gerak pahlawan me-nyatu penuh semangat. Figura sudah dinyah jauh, gerak organik melentur, menjuak ke atas, bersimpul silat, menjadikan arca ber-bicara sendiri. Masuk ke dunia sunyi, mencipta fahaman peribadi. Seni bukan untuk bertelagah. Seperti seorang Salik, berjalanlah ke lembah-lembah sunyi, kau temui cinta dan Nur Ilahi. Farid pula mengakui, Bagaimana kau berani Farid/menumpah sesuatu yang buruk?/tiada lain yang ada, hanya Kau. Maka Shahriman telah menukangi besi buruk tetapi melahirkan gerak kehidupan dengan kerahsian-Nya.

Mad Anuar pun merebut batin keris. Kepala pekaka diukir dengan sisip-sisip ketajaman lok keris melayang di sisi kepala pekaka. Inilah renungan kepada nilai warisan, pencarian susur galur sejarah dan semangat telah menemukan jawabannya. Tengku Sabri, Ariffin Ismail, dengan ukiran kayu dan Raja Shahriman yang menggali roh kesucian dan renungan melangkah dengan gerak silat dengan pujaan jiwa yang berdasar ke rohani suci Ilahi.

menulis dan melukis dalam kesenian tradisional melayu: impaknya dalam seni rupa kontemporari – kajian nilai budaya siti zainon ismail

tulisan jawi garis bebas organik

Seni khat sudah diterima sejak munculnya Islam di Nusantara. Teks asal Al-Qu’ran merupakan bacaan wajib bagi umat Islam. Teks abjad Arab telah dikaji, dipelajari sejak Islam diterima sebagai agama utama di wilayah Kerajaan Melayu. Makhdum Sheikh Abdul Aziz tiba di Melaka dan bersembahyang di pantai. Inilah juga yang dimimpikan oleh Raja Kecil Besar. “Maka raja pun berguru dengan makhdum akan tertib sem-bahyang mengucap kalimah syahadah dan bergelar Sultan Muhammad Syah”.25 “Sistem berguru, menuntut ilmu, menterjemah kitab berlangsung dengan lancar. Sultan Mansur pula belajar kitab Duri’l-mazlum dengan Maulana Abu Bakar”.26 Maka makin berkembang juga tulisan Jawi yang khas dimiliki oleh Kerajaan Melayu Lama. Hingga surat-surat rasmi dan perjanjian dalam zaman penjajahan awal, dicatat dalam tulisan Jawi-Melayu. Penemuan Batu Bersurat di Kuala Trengganu, nisan-nisan milik raja-raja Melayu, membuktikan wujudnya kaligrafi selera Melayu, sebagai “titik permulaan gaya penulisan Jawi di daerah ini”.27

Kedatangan Islam turut mengembang dunia keilmuan agama, sastera, seja-rah budaya dan sains kehidupan. Tradisi menghormati para cendekiawan telah berkembang di Melaka terutama seperti peristiwa Sultan Melaka menghantar wakil ke Pasai untuk terjemahan Al-Qu’ran dan peristiwa agama. Begitu juga penulis ditugas menulis merakam buku-buku agama, sebagai bahan pendidikan dan penulis diakui digelar sebagai Pujangga diberi anugerah dan gelar. Ini dicatat sendiri oleh Tun Seri Lanang:

“Tun Muhammad namanya, Tun Seri lanang timang-timangannya, paduka Raja gelarannya, Bendahara, anak Orang kaya Tun Narawangsa, piut Benda-hara Seri MaBenda-haraja, cicit Bendahari Tun Narawangsa, BendaBenda-hara....Melayu bangsanya, dari Bukit Seguntang maha Miru, Malakat, negerinya Batu Sarwar Daru’l-salam.”28

Tun Seri Lanang ditugas menulis semula teks Sejarah Melayu yang dibawa dari Goa, dalam zaman Kesultanan Sultan Johor Lama. Teks ini konon-nya dibawa ke Aceh dan diselesaikan di sana. Betapa penting tulisan, telah menimbul semangat para pelukis seperti Ahmad Khalid Yusof yang mewarisi ketajaman ilmu bapa saudaranya Zainal Abidin bin Ahmad (ZAABA). Beliau mengekalkan abjad Arab dalam kaligrafi Thuluth (Alif Ba Ta (1971) [53])”. Berkembang dalam abjad Jawi Melayu sehingga di hujung hari beliau mengarang pantun dengan mengolah abjad Jawi den-gan pengakuan, pantun adalah himpunan semangat bangsa Melayu yang

penuh kasih sayang. Pantun menjadi ubat rindu beliau dalam meneroka kesunyiannya. Warnanya semakin sayu, kabur kerana semangat seni Melayu ialah kesederhanaan alam disatukan dengan kesenyapan bunyi. Semakin kecil, halus garisan semakin sepi jiwa penuh kandungan rohani. Dalam Ada Rasa Berisi Pandan (1966), terasa rindu wangi yang tidak terimbau, kelopak bunga bertebaran warna kasih, merah jambu – sehingga pelukis pun bergurindam,

Ada rasa berisi pandan

Hendak menganyam tikar sembahyang Tujuh syurga di dalam badan Di situlah tempat berkasih sayang.29

Abdul Ghaffar Ibrahim (AGI) aktif memperkenal konsep 3V (vokal, verbal, visual), telah memilih abjad (Jawi dan Rumi) dalam lukisan dan cetakannya [77]. Gaya ekspresionis bebasnya memerikan gerak air, angin dan kebebasan unggas, serangga dan ulat yang bergerak saling berulang ke aneka garis dan ruang. AGI juga seorang penyair dan pesilat tari pir-ing. Maka dengan keasyikan laungan puisi turut bergema ketika beliau melayangkan garis dan warna cat ke atas kertas atau cetak lino. Semua garis abjad seperti menyanyi, mengerang, merangkak, merumput di hujung lidah “tralallaaa, rumpuuutt...terbang, aung-ung-ung,ang-ang terutama gagak, gggakk, bukan untuk berlagak”.

penemuan jatidiri?

Usaha menampilkan unsur warisan budaya oleh pelukis dan pengarca di atas sudah dapat menjawab isu Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Perkara pertama mencatat betapa pentingnya unsur tempatan, menjadi pilihan utama dan bersambut dengan unsur ketiga, iaitu Islam yang mengharmoni keindahan karya. Unsur tempatan yang mendapat sorotan ialah aspek sejarah dan mitos Alam dan kuasa kerajaan Melayu yang diperikan dalam teks Sejarah Melayu dan cerita hikayat dan tradisi lisan. Selain kekagu-man kepada ikon Gunung Mahawiru, Ledang, sebagai lambang tradisi agung, pelukis juga menyorot sifat kepahlawanan Melayu dengan aksi silat dan kiraan lok keris.

Melalui seni abjad pula terjawab unsur tulisan Jawi lambang tamadun ilmu.Sehingga membawa gambaran bahawa pelukis berhasil menampil jati diri. Tetapi setelah hampir 40 tahun isu DKK, kesedaran ini bagai tersisih

menulis dan melukis dalam kesenian tradisional melayu: impaknya dalam seni rupa kontemporari – kajian nilai budaya siti zainon ismail

dibawa angin lalu. Atas kesan globalisasi, perhatian dan pandangan nilai seni lebih terbuka maka isu ini mula tidak dipedulikan oleh pelukis pelapis masa kini. Dari satu sisi mereka memang sedang meneraju kreativiti untuk menampilkan jati diri. Namun alangkah baik detik sejarah DKK turut diselongkar, dinilai dan dicatat sebagai detik yang pernah muncul sebagai akibat terjadinya peristiwa sejarah. Kerana itu salah satu penyatuan rakyat ialah dengan kesedaran terhadap akar tempatan, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Insyaallah.

1 Kongres Kebudayaan Kebangsaan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur 16–20 Ogos 1971. 2 Azmi Manaf, ‘Senilukis Islam: Pengaruhnya Terhadap Senilukis Moden’ dlm Dewan Budaya

Oktober 1981, h. 39–42.

3 Osman Bakar, ‘Falsafah Seni di dalam Konteks Masyarakat Majmuk Malaysia’ dlm kertas seminar Identiti Islam dalam Seni Rupa Malaysia: Pencapaian dan Cabaran, BSLN 14–15 Oktober 1992; lihat juga Titus Burkhardt, Mirror of the Intellect: Essays on Traditional Science and Sacred Art, terj. William Stoddart, Albany: SUNY 1987.

4 Syed Ahmad Jamal, Rupa dan Jiwa, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1990; Zakaria Ali, KeMalaysian Senilukis Malaysia: Soal Identiti, Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara 1992.

5 Mohd Taib Osman, Tradisi Lisan di Malaysia, Kuala Lumpur: KKBS 1975; Mohd Taib Osman, Seni & Kosmologi, Kosmologi Islam dalam Kesenian Melayu, Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara 1996.

6 Siti Zainon, Rekabentuk Kraftangan Melayu Tradisi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1986, h. 14.

7 Zainal Kling, ‘Konsep Kebudayaaan Kebangsaan Malaysia’ dlm Wan Abdul Kadir Yusoff & Zainal Abidin Borhan (peny.), Ideologi dan Kebudayaan Kebangsaan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1985, h. 22–23.

8 Seminar Akar-akar Kesenian Peribumi dan Perkembangan Kini, Shah Alam: Kajian Seni Lukis & Seni Reka, Institut Teknologi MARA 1979.

9 Siti Zainon Ismail, Percikan Seni, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1988/9; Syed Ahmad Jamal, Rupa dan Jiwa.

10 Zainal Kling, ‘Konsep Kebudayaan Kebangsaan Malaysia’, h. 19.

11 Mohd Taib Osman, Bunga Rampai Kebudayaan Melayu, Kuala Lumpur: DBP 1983, h. 26. 12 Ibid.

13 Zakaria Ali, The Malaysian-ness of Malaysian Art.

14 W.G. Shellabear (peny.), Sejarah Melayu, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. 1984, h. 163; C.C. Brown (terj.), Sejarah Melayu, atau Malay Annals, Kuala Lumpur: Oxford University Press 1970, h. 134.

15 Kassim Ahmad (peny.), Hikayat Hang Tuah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1966, h. 115.

16 Raja Chulan, Misa Melayu, Kuala Lumpur: Pustaka Antara 1966, h. 66.

17 Zakaria Ali, Seni dan Seniman: Esei-esei Seni Halus, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1989, h. 77.

18 Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah.

19 A. Samad Ahmad (peny.), Sulalatus Salatin, Sejarah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1983, h. 199.

20 Ibid., h. 200.

21 Menerusi temubual dengan Dalang Hamzah Awang. 22 C.C. Brown (terj.), Sejarah Melayu, atau Malay Annals, h. 77. 23 Zakaria Ali, Seni dan Seniman, Esei-esei Seni Halus, h. 77.

24 A.Hasjmy, Ruba’i Hamzah Fansuri, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1976, h. 16. 25 A. Samad Ahmad, Sulalatus Salatin, Sejarah Melayu, h. 69.

26 Ibid., h. 147.

27 Zakaria Ali, Seni dan Seniman, Esei-esei Seni Halus, h. 77. 28 A. Samad Ahmad, Sulalatus Salatin, Sejarah Melayu, h. 2. 29 Rupa Kata, Ipoh: Yayasan Kesenian Perak 1996, h. 19.

RUJUKAN LANJUTAN

Alam Seni dan Perjalanan-Pekan Seni Ipoh II, Ipoh: Yayasan Kesenian Perak 1997.

• Imbauan Ledang, Johor: Persatuan Anak Melayu Johor 1992.

• Pameran Nuansa Khat: Nuansa Muslim, Kuala Lumpur: RA Fine Arts 2007.

• Ismail R Al Faruqi, Fikiran dan Budaya Islam, terj. Masood Rashid, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1993.

• Anwar Ridhwan (peny.), Minda Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 2005. • Farid Onn dan Harun Mat Piah (peny.), Kesarjanaan Melayu, Kuala Lumpur: KKBS 1977. Ismail Zain, Seni dan Imajan (Suatu Pandangan Umum Terhadap Imajan dan Makna

Kontektuilnya), Kuala Lumpur: Muzium Seni Negara Malaysia 1980

• Mohd Fadzil Othman (peny.), Kisah Pelayaran Muhammad Ibrahim Munshi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1980.

• Moelyono, Seni Rupa Penyadaran, Yogyakarta: Yayasan Bentang Budaya 1987. • Muhammad Haji Salleh, Sajak-sajak Sejarah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka 1981.

• Muhammad Yusoff Hashim, Kesultanan Melaka, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1990.

• Mukhlis A.Hamid & AA. Manggeng (peny.), Takdir-takdir Fansuri, Banda Aceh: Dewan Kesenian Aceh 2002.

• Syed Farid Al Attas (peny.), Karya Terpilih Syed Hussein Al Attas, Intelektual Masyarakat Membangun, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 2009.

Zakaria Ali, Malaysian Art: Selected Essays 1979 – 2009, Tanjung Malim Perak: Universiti Pendidikan Sultan Idris 2010.

rahimidin zahari cerita rakyat melayu dalam seni lukis malaysia

pengenalan

Esei ini bertujuan memperlihatkan penggunaan folklore atau cerita rakyat dalam sebahagian seni rupa moden Malaysia. Cerita rakyat dalam kon-teks ini akan merujuk kepada tradisi oral atau tradisi lisan yang menjadi sumber rujukan penting kepada pelukis-pelukis moden Malaysia hari ini. Sama sebuah catan moden itu diangkat daripada mana-mana teks klasik Melayu atau hikayat, cerita wayang kulit, makyung, peribahasa, gurindam, syair, pantun, seloka, atau pepatah dan petitih – maka semua itu merupakan segala hasil khazanah cerita rakyat yang terdapat dan dimiliki oleh rakyat Malaysia sejak zaman berzaman. Tranformasi daripada tradisi oral kepada kanvas dan catan atau apa sahaja medium bahantara seorang pelukis, maka ia telah menjelma sebagai sebuah karya baru.

Dengan citra wajah yang menyumbangkan garis, bentuk dan warna baru – yang sekaligus mencerminkan taksiran dan pemikiran masa kini ter-hadap masa lampau yang diteropong melalu kanta seni seorang pelukis ataupun ahli grafis. Cerita rakyat mempunyai kepentingan yang tidak sedikit kepada pembangunan kehidupan dan pemikiran manusia hari ini. Bangsa hebat dan besar akan memiliki berjilid-jilid cerita rakyat. Tanpa cerita rakyat, sesuatu bangsa itu seperti tanpa sejarah, dan tanpa memiliki akal tradisi bangsanya.

cerita rakyat dalam karya beberapa pelukis malaysia

Terdapat ramai pelukis yang telah memanfaatkan pengalaman atau pencernaan cerita rakyat dan dipindahkan ke dalam karya seni lukis mereka. Pelukis-pelukis seperti Syed Ahmad Jamal, Nik Zainal Abidin, Yusof Abdullah, Siti Zainon Ismail, Raja Azhar Idris, Ismail Latiff, Juhari Said, Anuar Rashid, Abd. Rani Abd. Majid dan beberapa orang lagi antara pelukis yang telah memanfaatkan cerita rakyat dalam karya seni lukis mereka. Karya seni lukis yang diangkat dari karya cerita rakyat boleh dipecahkan kepada beberapa kategori seperti karya yang diangkat dari teks klasik Melayu, karya yang diangkat dari puisi tradisional seperti pantun, syair, gurindam, dan mantera, karya yang diangkat daripada kesenian rakyat, daripada tradisi lisan dan beberapa bentuk yang lain.

Cerita Rakyat Melayu