ASAS-ASAS PROGRAM LATIHAN DALAM PENGURUSAN INSAN BERTERASKAN ISLAM
4.4 PRINSIP-PRINSIP PROGRAM LATIHAN DALAM PENGURUSAN INSAN BERTERASKAN ISLAM
4.4.2 Ibadah Sebagai Perkaedahan dalam Program Latihan dalam Pengurusan Insan Berteraskan Islam
Sebagai hamba Allah SWT, manusia mesti sentiasa mengabdikan dirinya kepada Allah SWT dengan beribadah kepada-Nya. Beribadah kepada Allah SWT bermaksud memusatkan penyembahan kepada Allah SWT semata-mata dengan menjalani segala aspek kehidupan di dunia ini sesuai dengan kehendak syariat, baik dalam hubungan
157
dengan Allah SWT (h}abl min Alla>h) mahupun dalam hubungan sesama manusia (h}abl min al-na>s). Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku” (al-Dha>riya>t, 51:56).16
Ibadah mempunyai skop yang luas dan tidak hanya terhad kepada perkara-perkara ritual agama, tetapi juga merangkumi setiap aspek kehidupan manusia pada setiap ketika termasuk dalam aspek pembangunan. Dalam aspek pengurusan IPBI, ia tidak mungkin menjadi ibadah kecuali mengikut kaedah-kaedah yang telah ditetapkan oleh syarak (Fadzila Azni Ahmad, 2013:73; Mohd Shukri Hanapi, 2013:204).
Secara umumnya, ibadah boleh dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu ibadah khusus, amalan-amalan utama dan ibadah umum. Ibadah khusus merupakan ibadah-ibadah yang wajib dilaksanakan oleh setiap manusia seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Amalan-amalan utama pula merupakan amalan-amalan yang tidak wajib dilaksanakan, tetapi sangat digalakkan oleh Islam seperti membaca al-Qur’an, berzikir dan bertasbih (Muhammad Syukri Salleh, 2003a). Menurut Ahmad Kilan@ Ahmad Kilani Mohamed dan Yahaya Jusoh (2013:263) dan Ilhaamie Abdul Ghani Azmi (2013:158), kaedah latihan melalui amalan-amalan utama yang boleh diterapkan
16 “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku.” Maksudnya, Allah SWT mencipta jin dan manusia dengan tujuan untuk menyuruh mereka beribadah kepada-Nya, bukan kerana Allah SWT memerlukan mereka. Mengenai firman Allah SWT yang bermaksud, “Melainkan supaya mereka beribadah kepada-Ku,” Ali bin Abi Thalhah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas, “ertinya, melainkan supaya mereka mahu tunduk beribadah kepada Allah SWT, baik secara sukarela mahupun terpaksa” dan itu pula yang menjadi pilihan Ibnu Jarir. Sedangkan Ibnu Juraij menyebutkan, “Yakni, supaya mereka mengenal Allah SWT.”
Masih mengenai firman-Nya, “melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku.” Al-Rabi’ bin Anas menyatakan, “maksudnya tidak lain kecuali untuk beribadah.” As-Suddi mengemukakan, “di antara ibadah itu ada yang bermanfaat dan ada pula yang tidak bermanfaat” (Ibn Kathi>r, 2004:546).
158
adalah seperti solat berjemaah, berzikir, membaca al-Qur’an, melalui tazkirah dan qiamullail. Kaedah-kaedah ini dapat mengisi kekosongan rohani seseorang pekerja.
Hati mereka akan dapat dibersihkan daripada kekotoran akibat dosa yang telah dilakukan. Menurut Nor ‘Azzah Kamri (2015:83), kesemua ini adalah bertujuan membentuk akhlak dan peribadi mulia serta kualiti diri para pekerja Muslim.
Ibadah khusus dan amalan-amalan utama membawa kepada pembangunan dalam aspek rohani. Ibadah umum pula membawa kepada pembangunan dalam aspek jasmani dan fizikal. Ibadah umum merupakan ibadah-ibadah yang bersifat fardu kifayah seperti, politik, pengurusan, perubatan, perundangan, pembangunan dan sebagainya. Pembangunan dalam aspek rohani ini merupakan kesan daripada pengamalan dalam ibadah khusus atau amalan-amalan utama dan pembangunan jasmani merupakan kesan daripada pengamalan dalam ibadah umum (Muhammad Syukri Salleh, 2003a; Mohd Shukri Hanapi, 2013:205).
Menurut Shaharom TM Sulaiman (1997:36), melalui ibadah khusus, seseorang pekerja Muslim akan mempunyai saluran komunikasi yang baik dengan Allah SWT untuk membersihkan hatinya daripada kekotoran harta iaitu melalui zakat, haji dan puasa, pengorbanan masa iaitu melalui solat, haji dan puasa, pengorbanan ego, pangkat dan jawatan iaitu melalui solat dan haji, pengorbanan kepentingan diri iaitu melalui ibadah secara keseluruhannya dan disiplin sosial melalui solat berjemaah, zakat dan haji.
Berdasarkan ibadah umum pula, seseorang pekerja meluaskan perkembangan dirinya dalam pelbagai bidang seperti pengurusan, pentadbiran, perekonomian dan sebagainya dengan menjaga hukum-hukum, peraturan-peraturan dan akhlak yang ditetapkan oleh Islam.
159
PBI merupakan gabungan kedua-dua aspek rohani dan jasmani dan sebenarnya merupakan kesan daripada pengamalan kesemua bentuk ibadah tersebut (Muhammad Syukri Salleh, 2003a; Mohd Shukri Hanapi, 2013:205). Kesan daripada penghayatan dan pengamalan kesemua ibadah tersebut juga akan terlihat melalui tingkah laku dan sikap tegas terhadap sebarang pelanggaran hukum, peraturan, perbuatan haram, percakapan yang sia-sia, perancangan yang merugikan, rasuah, salah guna kuasa, pembaziran, ketidakadilan dan sebagainya (Shaharom TM Sulaiman, 1997:37).
Bagi memastikan setiap ibadah yang dilakukan itu diterima oleh Allah SWT, ia mesti mengikut kaedah pelaksanaan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Bagi ibadah khusus dan amalan-amalan utama yang membawa kepada pembangunan dalam aspek rohani, ia tidak terlepas daripada tauhid, fiqh dan akhlak yang merupakan ilmu-ilmu fardu ain dan ketiga-tiga perkara ini mesti dilaksanakan secara bersepadu (Muhammad Syukri Salleh, 2003a). Rasa ketauhidan kepada Allah SWT diletakkan sebagai paksi utama, fiqh menggariskan peraturannya dan tasawuf pula menimbulkan rasa kelazatan dalam beribadah (Mohd Shukri Hanapi, 2013:206).
Bagi ibadah umum yang membawa kepada pembangunan dalam aspek jasmani pula, kaedahnya ditentukan melalui lima syarat utama yang perlu dipenuhi. Pertama, ia dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah SWT dan dengan harapan untuk mendapat keredaan daripada Allah SWT. Kedua, setiap isi kandungan usaha dan tugas yang dilakukan tidak bertentangan dengan syariat Islam. Ketiga, pelaksanaannya mengikut syariat Islam yakni selaras dengan prinsip-prinsip Islam seperti amanah, bertanggungjawab, adil dan sebagainya. Keempat, natijah atau hasilnya juga tidak bercanggah dengan syariat; dan kelima, setiap usaha dan tugas yang dilaksanakan itu
160
tidak melekakan mereka daripada menunaikan ibadah-ibadah khusus (Muhammad Syukri Salleh, 2003a:54; Sidek Baba, 2012; Mohd Shukri Hanapi, 2013:208; Zakiah Omar, 1999:66).
Secara lebih khusus, dari perspektif pengurusan, Sidek Baba (2012) menetapkan empat kriteria utama bagi menentukan sesuatu pekerjaan atau pengurusan sebagai ibadah. Kriteria tersebut ialah niat, objektif, proses dan natijah. Keempat-empat perkataan tersebut menjadi prasyarat untuk menghubungkan pekerjaan atau pengurusan sebagai ibadah. Menurut Islam, pekerjaan tidak hanya dilihat sebagai suatu usaha yang sekadar untuk mendapatkan gaji, pangkat dan pelbagai kemudahan yang lain. Pekerjaan boleh dikaitkan sebagai sumber ibadah sekiranya memenuhi syarat-syarat asas yang mendukung maksud keihsanan dan keinsanan. Dimensi pekerjaan yang boleh memenuhi kriteria ibadah ialah bekerja atau mengurus kerana Allah SWT dan berhikmah sesama manusia.
Dalam konteks program latihan dalam pengurusan insan berteraskan Islam pula, keempat-empat kriteria tersebut perlulah diletakkan sebagai kriteria utama bagi menentukan sesuatu program latihan dalam pengurusan insan berteraskan Islam tersebut sebagai satu ibadah. Kriteria yang pertama ialah niat. Niat merupakan perkara paling asas dalam kemahuan melakukan sesuatu urusan atau pekerjaan. Niat dihubungkan dengan tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu pekerjaan dengan seikhlas dan sebaik yang mungkin. Ia mesti jelas, tidak bertentangan dengan syariat Islam dan baik dan bermanfaat untuk institusi dan pekerjanya. Niat turut dihubungkan dengan hubungan dengan Pencipta (h}abl min Alla>h) dan hubungan sesama manusia (h}abl min al-na>s). Niat bukan sahaja terdetik di hati atau dilafazkan dalam permulaan
161
langkah pekerjaan, tetapi membawa keazaman yang tinggi bahawa ia ingin dilakukan sebaik-baiknya, mempunyai manfaat yang sebanyak mungkin dan mendapat keredaan Allah SWT.
Sebagai contoh, niat bekerja dengan ikhlas untuk membantu pelanggan, niat bekerja untuk peningkatan kualiti dan produktiviti, niat untuk menepati masa, niat untuk tidak melakukan pembaziran, niat untuk menggunakan seluruh ilmu dan kepakaran untuk manfaat institusi, niat untuk jujur dan ikhlas terhadap visi dan misi institusi dan sebagainya. Semua ini bukan sahaja berada dalam hati yang ikhlas semata-mata bahkan turut dihubungkan dengan Allah SWT kerana Allah SWT Maha Mengetahui setiap perkara tersimpan di hati manusia (Muhammad Syukri Salleh, 2003b:54; Sidek Baba, 2012).
Kriteria yang kedua ialah objektif. Niat yang terbit di hati mestilah dihubungkan dengan objektif dalam pekerjaan. Niat dan objektif perlu saling melengkapi dan tidak boleh bertentangan. Objektif dalam institusi bukan sahaja yang termaktub dalam pernyataan visi dan misi institusi tetapi turut meletakkan objektif khusus. Objektif yang selari dengan niat mestilah sesuatu yang bermanfaat dan baik. Ia tidak bertentangan dengan syariat dan selari dengan ajaran Islam. Ajaran Islam menekankan kepentingan amalan-amalan baik dalam setiap perkara yang dilakukan. Objektif institusi biasanya dihubungkan dengan hala tuju yang ingin dibawa oleh pihak pengurusan ke arah kecemerlangan institusi secara keseluruhannya. Objektif khusus pula biasanya dihubungkan dengan peranan setiap pekerja terhadap sesuatu perkara dan program yang disepakati bersama. Sebagai contoh, niat seorang pekerja ingin menjimatkan air supaya objektif tidak melakukan pembaziran air dapat dicapai. Niat
162
penjimatan atas objektif mengelakkan pembaziran merupakan sesuatu yang baik, bermanfaat dan selari dengan ajaran Islam (Muhammad Syukri Salleh, 2003b:54;
Sidek Baba, 2012).
Kriteria yang ketiga ialah proses. Secara umumnya, niat dan objektif mestilah selari dengan proses. Aspek proses biasanya amat sukar dilaksanakan berbanding dengan aspek niat dan objektif. Proses merupakan sesuatu yang berkaitan dengan cara, kaedah atau metodologi mencapai niat dan objektif institusi. Proses mestilah sesuatu yang tidak bertentangan dengan syariat. Dalam konteks program latihan dalam pengurusan insan berteraskan Islam, wujud niat dan objektif institusi untuk menjalankan sesuatu program latihan yang berteraskan ibadah. Prosesnya ialah dengan mengadakan atau melaksanakan program latihan yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Meskipun niat dan objektifnya baik dan mulia tetapi prosesnya yang tidak menepati syarak dan tidak memberikan natijah ibadah atau amal soleh. Sebaliknya, dengan niat dan objektif yang sama, prosesnya ialah dengan meletakkan aspek-aspek syariat Islam sebagai aspek utama dalam program latihan tersebut akan menepati maksud niat dan objektif tersebut (Muhammad Syukri Salleh, 2003b:54; Sidek Baba, 2012).
Kriteria yang keempat yang menentukan sesuatu pekerjaan dan pengurusan umumnya dan khususnya, program latihan dalam pengurusan insan berteraskan Islam sebagai ibadah ialah natijah. Natijah merupakan hasil daripada pelaksanaan niat, objektif dan proses. Niat, objektif dan proses jika dilaksanakan secara selari dan tidak bertentangan dengan syariat Islam, ia menghasilkan natijah yang baik, bermanfaat dan menjadi sebahagian daripada ibadah dan amal soleh. Persoalan mengenai natijah ini amat penting kerana ia menjadi kayu pengukur kepada hasil kerja seseorang atau institusi.
163
Aspek natijah ini dari perspektif pengurusan institusi dilihat berkaitan dengan visi dan misi institusi kerana natijah itulah yang boleh menentukan keberkesanan, kejayaan dan kecemerlangannya (Muhammad Syukri Salleh, 2003b:54; Sidek Baba, 2012).
Berdasarkan perbincangan mengenai keempat-empat kriteria tersebut, program latihan dalam pengurusan insan berteraskan Islam perlulah didasarkan kepada kriteria-kriteria tersebut bagi melahirkan para pekerja yang meletakkan pekerjaan sebagai suatu bentuk ibadah dalam kehidupan mereka. Keempat-empat kriteria ini mestilah diterapkan ke dalam program latihan dalam pengurusan insan berteraskan Islam secara langsung mahupun tidak langsung. Sekiranya kriteria-kriteria ini dipenuhi dan dimasukkan ke dalam program latihan dalam pengurusan insan berteraskan Islam, program latihan tersebut juga dapat dikatakan sebagai salah satu ibadah umum kepada Allah SWT (Muhammad Syukri Salleh, 2003b:54; Sidek Baba, 2012).
Keempat-empat kriteria ini dapat dijadikan panduan bagi menentukan sama ada setiap pekerjaan yang dilakukan itu hanya sekadar pekerjaan biasa atau ada hubungannya dengan ibadah dan amal soleh. Sekiranya pertimbangan niat, objektif, proses dan natijah menjadi landasan dalam setiap perkara termasuklah dalam aspek program latihan dalam pengurusan insan berteraskan Islam, asas ini dapat mengekalkan seseorang insan berada dalam keadaan fitrah dan membantu matlamat menjadikan program latihan dalam pengurusan insan berteraskan Islam tersebut sebagai sumber ibadah kepada Allah SWT (Muhammad Syukri Salleh, 2003b:54; Sidek Baba, 2012).
Berdasarkan perbincangan tersebut juga, dapat dirumuskan bahawa ibadah merupakan salah satu aspek penting dalam kehidupan manusia dan termasuklah dalam aspek pembangunan. Dalam konteks program latihan dalam pengurusan insan berteraskan
164
Islam, ibadah mestilah diletakkan sebagai salah satu komponen atau aspek utama dalam pelaksanaannya. Ketiga-tiga bentuk ibadah tersebut haruslah diterapkan ke dalam setiap program latihan yang dilaksanakan kerana ibadah juga merupakan perkaedahan PBI dan sekali gus menjadi salah satu komponen penting dalam IPBI.
Jika usaha pelaksanaan program latihan dalam pengurusan insan dilakukan melalui empat kriteria tersebut, manakala pelaksanaan program latihan dalam pengurusan insan dijana melalui ibadah-ibadah asas dan amalan-amalan utama, maka terbentuklah program latihan dalam pengurusan insan yang seimbang dan selari dengan hasrat membangunkan insan yang holistik yang seimbang dari aspek fizikal dan kerohaniannya.
4.4.3 Sumber Alam Sebagai Peralatan dalam Program Latihan dalam