1.2 LATAR BELAKANG KAJIAN
1.2.2 Perkembangan Program Latihan dalam Pengurusan Insan
Perbincangan sebelum ini menggambarkan bahawa perkembangan IPBI di Malaysia terutamanya selepas tahun 1980-an adalah sangat memberangsangkan (Fadzila Azni Ahmad, 2013:7). Kini, semakin banyak institusi termasuklah IPBI di Malaysia memberikan penekanan dan perhatian terhadap aspek pengurusan insan para
8
pekerjanya sebagai salah satu strategi untuk menghadapi persaingan dan cabaran yang timbul hasil perubahan yang berlaku dalam persekitaran global. Pengurusan insan merupakan salah satu aspek utama dalam pengurusan sesebuah institusi termasuklah IPBI yang menumpukan program-program seperti program latihan yang merangkumi pendidikan, pembelajaran dan pembangunan diri setiap pekerja serta keseluruhan institusi yang bertujuan meningkatkan keberkesanan dan produktiviti institusi tersebut.
Pekerja merupakan penggerak utama dan merupakan aset paling bernilai dalam sesebuah institusi kerana prestasi sebuah institusi tersebut banyak bergantung kepada kualiti pekerja yang dimiliki.
Program latihan merupakan salah satu cabang yang terbesar dan terpenting dalam aspek pengurusan insan dalam sesebuah institusi termasuklah IPBI (Rossilah Jamil, 2008:1; Ab. Aziz Yusof, 2015:63). Dalam kebanyakan institusi, program latihan disediakan oleh jurulatih, pengurus, konsultan dan pekerja yang berpengalaman.
Walau bagaimanapun, terdapat institusi yang mengambil individu luar sebagai jurulatih kepada pekerja-pekerja mereka. Jurulatih ini terdiri daripada individu atau institusi-institusi tertentu seperti universiti, kolej komuniti, institut teknikal dan vokasional, penyedia produk, firma-firma konsultan, institusi profesional dan institusi kerajaan (Noe, 2010:25). Latar belakang dan perkembangan program latihan dalam pengurusan insan ini dapat dibahagikan kepada empat bahagian utama iaitu sejarah dan perkembangan awal program latihan dalam pengurusan insan, program latihan dalam pengurusan insan berdasarkan sejarah awal Islam, program latihan dalam pengurusan insan di Malaysia dan program latihan dalam pengurusan insan IPBI di Malaysia.
9
1.2.2(a) Sejarah dan Perkembangan Awal Program Latihan dalam Pengurusan Insan
Dari perspektif sejarah dan perkembangannya, program latihan bukanlah sesuatu yang baru pada abad ke-21 M, tetapi telah melalui beberapa tahap perkembangan sejak peringkat awal tamadun manusia dan telah berubah secara beransur-ansur mengikut sistem kehidupan pada masa kini. Sejarah dan perkembangan program latihan dapat dilihat melalui beberapa tahap iaitu tahap awal, tahap pertengahan dan tahap moden.
Tahap awal program latihan bermula sejak tahun 2100 Sebelum Masihi (SM). Program latihan dan pemindahan kemahiran pada zaman dahulu dilaksanakan secara tidak formal dan lebih tertumpu kepada aktiviti pertukangan melalui program perantisan.
Bagi mengawal dan menggalakkan perkembangan program latihan pada zaman tersebut, semua peraturan dan prosedur latihan termaktub dalam The Code of Hammurabi iaitu undang-undang pertama di dunia. Undang-undang ini telah digubal
semasa pemerintahan Raja Babylon VI mulai tahun 1792 hingga 1728 SM (Ibrahim Mamat, 1996:13; Clark, 2015).
Program perantisan merupakan salah satu bentuk program latihan yang digunakan secara meluas terutamanya semasa Zaman Pertengahan. Disebabkan permintaan tenaga kerja dalam bidang pertukangan yang semakin meningkat, kebanyakan kanak-kanak pada zaman ini dikerah menjadi perantis kepada pakar-pakar atau orang-orang yang berpengalaman dalam bidang pertukangan. Hal ini untuk memastikan supaya pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini dapat diperturunkan kepada kanak-kanak tersebut sebagai persediaan untuk mereka memasuki alam pekerjaan (Clark, 2015).
10
Selepas program latihan dalam bidang pertukangan berkembang dengan pesatnya, ia disusuli pula dengan program latihan dalam bidang lukisan dan ukiran untuk mencantikkan kuil-kuil purba. Bidang ini berkembang dengan pesatnya sejajar dengan perkembangan agama Kristian pada masa tersebut, terutamanya di Itali.
Perkembangan ini diikuti pula dengan program latihan dalam bidang ketenteraan.
Program latihan ketenteraan pada masa tersebut tertumpu kepada program melatih tentera dalam seni mempertahankan diri bagi mencapai hasrat memperluaskan jajahan taklukan dan mempertingkatkan aspek pertahanan negara (Ibrahim Mamat, 1996:14).
Sejarah program latihan tahap pertengahan pula bermula apabila beberapa buah universiti seperti Universiti Paris, Perancis ditubuhkan untuk melatih rahib dalam bidang keagamaan, terutamanya agama Kristian. Program latihan rahib agama Kristian mula diajar secara formal di luar universiti di negara-negara Skandinavia iaitu bermula di Denmark Folk High School di Rodding pada tahun 1844. Program ini diasaskan oleh Biskop F.S. Grundtvig. Pusat latihan di Rodding juga melatih pelajar dalam bidang koperasi. Program melatih rakyat di Denmark berkembang dengan pesatnya kerana sokongan dan aspirasi yang tinggi dalam kalangan petani yang ingin memperjuangkan nasib mereka daripada terus ditindas oleh pihak tuan tanah (Ibrahim Mamat, 1996:13; Clark, 2015).
Pandangan dan ajaran Grundtvig mengenai agama Kristian telah menarik minat yang tinggi dalam kalangan penduduk dalam pergerakan koperasi dan pertanian. Program latihan di Denmark berasaskan prinsip-prinsip agama Kristian semata-mata dan bukan berasaskan kecemerlangan akademik dan vokasional. Kebanyakan pelatih terdiri daripada golongan petani. Idea Grundtvig ini terus berkembang ke negara Sweden,
11
Norway dan Finland dengan corak latihan yang sedikit berbeza. Tumpuan program latihan lebih diberikan terhadap usaha menanamkan semangat kebangsaan, semangat koperasi dan pembentukan watak. Walau bagaimanapun, tumpuan kurang diberikan dalam aspek keagamaan Kristian (Ibrahim Mamat, 1996:13; Clark, 2015).
Perkembangan program latihan pada era moden berlaku di Amerika Syarikat dengan pesatnya apabila beberapa buah institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Oklahoma, Universiti Chicago, Michigan State dan Wisconsin menubuhkan Pusat Pendidikan Lanjutan yang dibiayai oleh Yayasan Kellogg. Kebanyakan klien pusat-pusat ini ialah institusi dan kumpulan profesional yang ingin mempertingkatkan kemampuan institusi dan kebolehan diri secara berterusan (Ibrahim Mamat, 1996:13;
Clark, 2015). Idea pendidikan lanjutan ini menjadi begitu popular pada tahun 1950-an dan 1960-an sehingga pihak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan, Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) memberikan peruntukan bagi menyebarkan konsep dan program latihan dalam pelbagai bidang ke seluruh dunia, terutamanya negara-negara membangun. UNESCO telah berjaya menubuhkan beberapa buah pusat latihan di negara-negara dunia ketiga seperti di Tsito dan di Ghana pada tahun 1962, di Senegal pada tahun 1967, di Cyprus pada tahun 1967 dan di India pada tahun 1977 (Ibrahim Mamat, 1996:13; Clark, 2015).
1.2.2(b) Program Latihan dalam Pengurusan Insan Berdasarkan Sejarah Awal Islam
Aspek pengurusan berteraskan Islam telah lama wujud iaitu sejak zaman Rasulullah SAW dan terus berkembang pada zaman Khalifah al-Ra>syidi>n, kerajaan Umayyat, kerajaan ‘Abba>siyyat sehingga zaman Turki ‘Uthma>niyyat. Kemajuan dan
12
perkembangan ilmu dalam aspek tersebut menjadi perlahan pada zaman kejatuhan kerajaan Turki ‘Uthma>niyyat. Kesempatan ini telah digunakan oleh para sarjana Barat dengan meneroka bidang pengurusan, pentadbiran dan seumpamanya hingga tampil sebagai bidang yang penting bagi setiap pengurus dan pentadbir pada masa kini (Mohd Yusri Ngah, 2004:51; Muhammad Nubli Abdul Wahab, 2008a:24).
Menurut Mohd. Nasir Omar (2005:58) dan Mohd Yusri Ngah (2004:51), perkembangan tersebut menjadikan ilmu-ilmu Islam turut dibahaskan oleh para sarjana Islam berdasarkan pandangan dan sumber-sumber rujukan Barat yang nyata tidak sesuai dengan kehendak dan matlamat Islam. Walaupun sistem pengurusan dari perspektif Barat dalam era global mendahului pengurusan berteraskan Islam, namun para sarjana Islam tetap berusaha memperkembangkan bidang pengurusan berteraskan Islam dalam setiap aspek dan fungsinya. Program latihan merupakan satu aspek penting dalam bidang pengurusan berteraskan Islam umumnya dan bidang pengurusan insan berteraskan Islam khususnya.
Perbincangan dalam bahagian ini hanya merujuk kepada sejarah dan perkembangan awal program latihan dalam pengurusan insan pada zaman perkembangan awal Islam iaitu pada zaman Rasulullah SAW dan zaman empat Khalifah al-Rasyidi>n sahaja dan tidak meneliti perbincangan mengenai program latihan dalam pengurusan selepas zaman perkembangan awal Islam tersebut. Dalam sejarah awal perkembangan Islam ini, secara umumnya, program latihan dalam pengurusan insan dilaksanakan secara tidak formal. Abderrahman Hassi (2012:1039) menyenaraikan sekurang-kurangnya terdapat empat bentuk program latihan dalam pengurusan insan yang dilaksanakan pada sejarah awal perkembangan Islam. Pertama, berbentuk kaedah komunikasi secara
13
langsung. Kedua, melalui h}alaqat. Ketiga, kaedah perantisan dan keempat, kaedah pelantikan cubaan. Dalam Islam, Allah SWT telah memerintahkan manusia supaya mengamalkan Islam secara menyeluruh dan memberikan panduan kepada manusia melalui al-Qur'an dan Hadith. Allah SWT telah memberikan penghuraian bagi perkara-perkara yang memerlukan huraian lanjut dan memberikan prinsip-prinsip umum bagi perkara-perkara yang difikirkan sendiri oleh manusia berpandukan prinsip-prinsip umum. Dalam konteks inilah individu Muslim bekerja dan berusaha. Malah pekerjaan merupakan satu fitrah dalam diri manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka, Nabi Soleh. Dia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah Allah SWT!
Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu, mintalah ampun kepada Allah SWT daripada perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepada-Nya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya” (Hu>d, 11:61).5
Nabi Muhammad SAW secara khusus merupakan model bagi manusia dalam melakukan pekerjaan. Dengan pendekatan yang digunakan Rasulullah SAW, para
5 Allah SWT berfirman, “Dan kepada Thamud (Kami utus).” Mereka adalah orang-orang yang bertempat tinggal di kota-kota Hajar yang terletak di antara Tabuk dan Madinah. Mereka hidup sesudah kaum 'Ad, lalu Allah mengutus seorang rasul kepada mereka yang juga dari kalangan mereka, saudara mereka Soleh. Lalu Nabi Soleh memerintahkan mereka agar menyembah Allah SWT semata-mata.
Kerana itu, Soleh a.s. berkata kepada mereka: “Dia telah menciptakan kalian dari tanah.” Maksudnya, Dia memulakan penciptaan kalian daripada tanah; dari tanah Dia menciptakan nenek moyang kalian, iaitu Adam. “dan menjadikan kalian pemakmurnya.” Yakni Dia menjadikan kalian sebagai para pembangun yang memakmurkan bumi dan yang menggarap pemanfaatannya. Kerana itu, mohonlah ampunan-Nya atas dosa-dosa kalian yang telah lalu kemudian bertaubatlah kepada-Nya dalam menjalani masa depan kalian, yakni janganlah kalian ulangi lagi dosa-dosa itu pada masa akan datang.
Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya). Maksud ayat tersebut sama dengan apa yang disebutkan oleh Allah SWT dalam ayat yang lain, iaitu: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. (al-Baqarat, 2:
186), hingga akhir ayat (Ibn Kathi>r, 2004).
14
sahabat Baginda SAW semuanya bekerja, malah menjadi usahawan dan ahli perniagaan berjaya seperti ‘Abdul Rah{ma>n ‘Awf dan Abu> Darda>’. Isteri Rasulullah SAW, Siti Khadi>jat r.a. pula merupakan seorang ahli perniagaan wanita yang amat dihormati (Mohd Yusri Ngah, 2004:52). Islam menitikberatkan aspek latihan terhadap pekerja yang bertujuan meningkatkan keperluan bidang kerja dan juga pembangunan diri mereka. Latihan merupakan suatu tuntutan dalam pengurusan insan yang harus ada pada setiap pekerja. Rasulullah SAW mengambil inisiatif melatih para sahabatnya dalam aspek pengurusan dan pentadbiran urusan umat Islam dengan membekalkan panduan, tunjuk ajar dan nasihat. Rasulullah SAW merupakan orang yang pertama menggalas tanggungjawab dalam menyediakan pekerja-pekerja yang berkelayakan dan berkualiti untuk memenuhi pelbagai jawatan dalam pentadbiran negara Islam Madinah (Ahmad Ibrahim Abu Sin, 1991:316). Rasulullah SAW melatih ulama fiqh sebelum dihantar ke segenap wilayah taklukan Islam bagi mengajar urusan agama kepada umat Islam yang lain berdasarkan Hadith yang diriwayatkan oleh ‘Ali> Abi>
T{a>lib yang bermaksud:
“Rasulullah SAW mengutusku ke Yaman, maka aku berkata,
“Wahai Rasulullah SAW, engkau mengutusku untuk menjadi hakim di tengah manusia sementara aku seorang pemuda dan tidak mengerti bagaimana memberikan keputusan.” Ali berkata, “Baginda SAW lalu meletakkan tangannya ke dadaku seraya berdoa”, “Ya Allah SWT, tunjukilah hatinya dan teguhkanlah lisannya.” Ali berkata, “Setelah itu aku tidak ragu-ragu dalam memutuskan antara dua perkara” (Riwayat Ibn Maja>t, No. Hadith: 2310).
Dalam aspek ketenteraan misalnya, Rasulullah SAW memberikan keizinan kepada kaum wanita untuk turut serta dalam menghulurkan bantuan dalam peperangan. Kaum wanita turut diberikan latihan yang sesuai seperti menyediakan perkhidmatan yang sewajarnya kepada pasukan tentera seperti merawat tentera-tentera yang sakit dan
15
menyediakan makanan (Mohd Yusri Ngah, 2004:54; Yusma Fariza Yasin, 2016). Pada zaman Khalifah al-Rasyidi>n, program latihan secara lebih formal dan tersusun dengan mengikut jejak langkah Rasulullah SAW telah dilaksanakan. Khalifah ‘Umar al-Khatta>b r.a. pada masa pemerintahannya sentiasa mencari peluang untuk bersemuka dengan pegawai-pegawainya dan semua umat Islam pada musim haji. Perhimpunan agung pada musim haji merupakan musim persidangan, muktamar dan program latihan kepada gabenor-gabenor dan pegawai-pegawai wilayah untuk bertukar-tukar pendapat dan pengalaman dalam menyelesaikan segala permasalahan dan isu-isu dalam pengurusan yang timbul dalam pentadbiran mereka (Ab. Aziz Yusof, 2015:64;
Mohd Yusri Ngah, 2004:54).
Selain itu, Khalifah ‘Umar al-Khatta>b r.a. pernah menggalakkan umat Islam supaya melibatkan diri dalam tiga jenis latihan berbentuk fizikal yang turut dianjurkan oleh Rasulullah SAW, iaitu berlatih memanah, menunggang kuda dan berenang. Ketiga-tiga jenis latihan ini mempunyai maksud yang mendalam terhadap keterampilan fizikal dan pembangunan jasmani. Individu yang mempunyai kemahiran memanah akan berusaha mendapatkan daya tumpuan yang baik dan mendisiplinkan dirinya supaya mampu menjadi pemanah yang mahir. Begitu juga halnya dengan kemahiran berenang dan menunggang kuda yang memerlukan kekuatan yang konsisten dan ketangkasan yang luar biasa (Ab. Aziz Yusof, 2015:64).
Khalifah Abu> Bakar al-S{iddi>q r.a., Khalifah ‘Umar al-Khatta>b r.a., Khalifah ‘Uthman Affan r.a. dan Khalifah ‘Ali> Abu T{a>lib r.a. sewaktu zaman pemerintahan mereka turut menulis surat kepada gabenor masing-masing. Antara isi utama kandungan surat tersebut ialah arahan yang berhubungan dengan aspek pengurusan dan
panduan-16
panduan latihan berkaitan dengan urusan perundangan, bertindak adil dan memberi hak yang adil kepada rakyat, menimbang segala rayuan dan memperkemaskan lagi urusan pengurusan dan pentadbiran umat Islam. Mereka turut menyeru semua gabenor agar mengamalkan konsep kesederhanaan, bersifat zuhud dalam segala tindakan, tidak menerima sebarang hadiah, memenuhi permintaan rakyat dan selalu mengunjungi orang yang sakit (Mohd Yusri Ngah, 2004:54).
Berdasarkan perbincangan dan huraian tersebut, Islam turut mengambil berat terhadap kebolehan, keupayaan dan kualiti pekerja dalam menggalas tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan tidak mengetepikan pembangunan insan terutamanya dari aspek kerohanian. Rasulullah SAW menegaskan perkara ini dalam Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. yang bermaksud:
“Jika amanah telah disia-siakan, tunggu saja kehancuran terjadi.”
Ada seorang sahabat bertanya, “Bagaimanakah maksud amanah disia-siakan?” Rasulullah SAW menjawab, “Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran itu” (Riwayat al-Bukha>riy, No. Hadith: 6015).
Kesimpulannya, program latihan dalam pengurusan insan berdasarkan sejarah awal Islam dilaksanakan secara tidak formal. Walau bagaimanapun, ia tetap dilaksanakan secara menyeluruh iaitu merangkumi aspek latihan kemahiran, pengetahuan, keupayaan, sikap dan kerohanian yang didasarkan kepada ketauhidan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
17
1.2.2(c) Program Latihan dalam Pengurusan Insan di Malaysia
Perkembangan program latihan di Malaysia pula berlaku mengikut bidang-bidang tertentu seperti program latihan dalam bidang pengurusan dan pentadbiran, kepolisan, perguruan, vokasional, pertanian dan sebagainya. Program latihan dalam bidang pengurusan dan pentadbiran misalnya telah bermula sejak zaman penjajah lagi. Pada tahun 1920-an dan 1930-an, bakal pegawai, terutama di peringkat daerah, telah diberikan program latihan pra-perkhidmatan di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MMKK). Bakal pegawai yang berkeinginan memasuki perkhidmatan Perkhidmatan Awam Malaya (MCS) pula diberikan program latihan secara ikatan (attachment) atau di bawah pembelajaran (under-study), terutama di pejabat tanah jajahan British di England (INTAN, 1979; Ibrahim Mamat, 1996:17).
Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, usaha membangunkan negara memerlukan penglibatan dan komitmen tinggi para pentadbir, memandangkan sektor perkhidmatan awam dikenal pasti sebagai jentera pelaksana utama bagi menjayakan projek-projek pembangunan. Oleh itu, peranan dan kepentingan latihan menjadi semakin kritikal untuk meningkatkan kebolehan, kemahiran dan kompetensi para pentadbir (Wan Kozil Wan Ahmad, 2012:47).
Peluang latihan terbuka dengan lebih meluas apabila Perkhidmatan Pentadbir Melayu (MAS) berpeluang memasuki perkhidmatan MCS. Begitu juga dengan graduan baru yang turut diberikan peluang mengikuti program latihan secara ikatan (attachment) untuk menjadi pegawai MCS. Penekanan program latihan tersebut lebih tertumpu kepada memenuhi keperluan politik daripada memenuhi keperluan pengurusan dan ini
18
sejajar dengan proses Malaysianisasi6 yang berlaku selepas merdeka (Ibrahim Mamat, 1996:15).
Selepas merdeka, kerajaan menyedari bahawa program latihan untuk pegawai tadbir Melayu dalam bidang pentadbiran sangat diperlukan. Bagi mencapai hasrat tersebut, sebuah pusat latihan7 ditubuhkan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada September 1959. Kursus yang ditawarkan pada masa tersebut lebih menumpukan kepada aspek pentadbiran tanah, pentadbiran kewangan dan kerajaan tempatan. Keperluan program latihan untuk pegawai tadbir Melayu terus diberikan penekanan dari semasa ke semasa sehingga tertubuhnya Dewan Latihan Pegawai-pegawai Kerajaan pada tahun 1963 yang lebih menekankan keperluan dan strategi pegawai kerajaan mendampingi kumpulan klien (Wan Kozil Wan Ahmad, 2012:47; Ibrahim Mamat, 1996:15).
6 Proses Malaysianisasi merupakan proses penggantian pegawai ekspatriat British dengan warganegara Malaya yang berlaku dalam tempoh awal kemerdekaan Malaysia (Shaari Mohd. Noor, 2014:26).
7 Bagi memperkemaskan sistem pentadbiran, pada September 1959, pihak kerajaan telah menyewa sebuah bangunan yang terletak di tepi pantai kira-kira 13 kilometer dari bandar Port Dickson untuk memberikan latihan bagi pegawai-pegawai pentadbirnya. Pada awal penubuhannya, institusi ini dikenali sebagai Dewan Latihan Pegawai-pegawai Kerajaan dan diletakkan di bawah pentadbiran Pejabat Perjawatan Persekutuan. Berkonsepkan pusat latihan berkediaman, Dewan Latihan ini dilengkapi dengan 16 buah bilik tidur, lengkap dengan perkakas, bilik mandi dan tandas. Pengetuanya yang pertama ialah B.W.B. Chapman sementara Encik Abdul Majid Mohd Yusoff ialah anak watan yang pertama dilantik menjadi Pengetua Dewan Latihan pada tahun 1962. Bahagian ini terdiri daripada dua komponen iaitu Bahagian Latihan dan Kerja-arah dan Dewan Latihan Pegawai-pegawai Kerajaan.
Secara umumnya Bahagian Latihan dan Kerja-arah melaksanakan perancangan program latihan bagi pegawai-pegawai di Jabatan Persekutuan melalui tawaran biasiswa serta kursus di dalam dan di luar negara termasuk program latihan khas bagi semua Pegawai Pentadbir dalam Perkhidmatan Dalam dan Luar Negeri. Selain itu, Bahagian ini menggubal dasar latihan dan kemajuan kerjaya serta memantau pelaksanaannya melalui Dewan Latihan Pegawai-pegawai Kerajaan dan Jabatan-jabatan Persekutuan.
Selari dengan perancangan yang digagaskan, Dewan Latihan Pegawai-pegawai Kerajaan di Port Dickson pula menganjurkan kursus-kursus jangka pendek bagi pegawai perkhidmatan awam. Dewan Latihan ini terus berkembang dan beroperasi dengan nama barunya Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) mulai Jun 1972 dan berpindah premis operasi di Jalan Elmu, Petaling Jaya. Selain INTAN, entiti yang dikekalkan di bawah Bahagian Latihan dan Kemajuan Kerjaya pada masa tersebut ialah Sekolah Bahasa Cina dan Pusat Pentadbiran Pembangunan Asia (Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), 2017).
19
Program latihan seterusnya berkembang dalam jangka masa Rancangan Malaysia Pertama. Institusi latihan, sama ada anjuran kerajaan atau swasta dikehendaki memenuhi keperluan program latihan dalam bidang kemahiran, pengurusan, perniagaan dan teknikal. Oleh itu, Pusat Daya Pengeluaran Negara (PDPN) telah ditubuhkan pada tahun 1962 untuk mengendalikan kursus-kursus pengurusan dan perniagaan. Seterusnya, Institut Pengurusan Malaysia pula telah ditubuhkan pada tahun 1966 dan Bahagian Pembangunan Latihan dan Kerjaya, Jabatan Perkhidmatan Awam pula telah ditubuhkan pada tahun 1969 (Ibrahim Mamat, 1996:15; Zol Hilmi Hamdan, 1991:22).
Strategi program latihan menjadi lebih tersusun apabila Unit Pembangunan Pentadbiran di Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan satu laporan kajian mengenai keperluan tenaga manusia pada tahun 1969. Laporan tersebut mengesyorkan penubuhan sebuah institusi yang benar-benar berorientasikan pembangunan untuk memberikan program latihan pengurusan kepada pegawai pada semua peringkat dalam pentadbiran semua agensi kerajaan. Hasil syor ini, tertubuhlah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) pada 1 September 1972. INTAN berperanan sebagai sebuah institusi latihan pengurusan dan pentadbiran yang gigih dan berkesan dalam pembangunan negara (Wan Kozil Wan Ahmad, 2012:48; Ibrahim Mamat, 1996:17; Zol Hilmi Hamdan, 1991:22).
Selain itu, beberapa buah maktab perguruan untuk melatih bakal guru dan guru sekolah vokasional telah dibina untuk menyediakan generasi muda yang berkemahiran dan berkelayakan dalam bidang pertukangan, elektrik, jentera dan pembinaan. Di samping itu, pusat-pusat latihan belia diwujudkan untuk melahirkan belia yang berkebolehan
20
dalam bidang yang berkaitan dengan perindustrian. Badan-badan berkanun juga telah menganjurkan program latihan jangka masa pendek untuk para petani, nelayan, peniaga, pengusaha kilang dan usahawan untuk mempertingkatkan kemahiran mereka.
Semua program latihan kemahiran dan vokasional ini merupakan satu strategi penting untuk memenuhi matlamat perindustrian negara (Ibrahim Mamat, 1996:15; Zol Hilmi Hamdan, 1991:22).
1.2.2(d) Program Latihan dalam Pengurusan Insan IPBI di Malaysia
Perbincangan mengenai sejarah dan perkembangan program latihan dalam pengurusan insan ini menggambarkan bahawa program latihan merupakan salah satu cabang yang terbesar dan terpenting dalam disiplin pengurusan insan dalam sesebuah institusi termasuklah IPBI di Malaysia. Secara umumnya, pengurusan insan merupakan satu proses yang bermatlamatkan mengemaskinikan, menambah baik kualiti dan membantu insan atau tenaga kerja untuk mencapai dan meningkatkan tahap
Perbincangan mengenai sejarah dan perkembangan program latihan dalam pengurusan insan ini menggambarkan bahawa program latihan merupakan salah satu cabang yang terbesar dan terpenting dalam disiplin pengurusan insan dalam sesebuah institusi termasuklah IPBI di Malaysia. Secara umumnya, pengurusan insan merupakan satu proses yang bermatlamatkan mengemaskinikan, menambah baik kualiti dan membantu insan atau tenaga kerja untuk mencapai dan meningkatkan tahap