• Tidak ada hasil yang ditemukan

KAJIAN LEPAS DAN SOROTAN KARYA

2.2 KAJIAN LEPAS

2.2.1 Kajian Pengurusan Insan

Kajian-kajian mengenai pengurusan insan telah banyak dilakukan meliputi pelbagai aspek, sama ada secara teoretikal mahupun secara empirikal. Hasil penelitian yang dilaksanakan, kajian-kajian ini boleh dibahagikan kepada beberapa tema kajian tertentu. Pertama, kajian yang menumpukan aspek amalan pengurusan insan dari perspektif institusi. Kedua, kajian keberkesanan dan kepentingan amalan pengurusan insan dan; ketiga, kajian yang menumpukan aspek pengurusan insan dari perspektif Islam.

2.2.1(a) Kajian Amalan Pengurusan Insan dari Perspektif Institusi

Terdapat beberapa orang penyelidik yang menumpukan kajiannya terhadap aspek amalan pengurusan insan dari perspektif institusi. Adeel Sabir Khan dan Farooq Rasheed (2015) membincangkan hubungan antara amalan pengurusan insan dengan kejayaan sesuatu projek yang dilaksanakan di sesebuah institusi di Pakistan. Kajian ini mendapati bahawa amalan pengurusan insan dalam sesebuah institusi di Pakistan memberikan kesan yang sederhana terhadap kejayaan sesuatu projek. Aspek ini diperincikan lagi oleh Kok dan Uhlaner (2001) dan Iacovini (1993) dalam kajiannya dengan meneliti hubungan antara pemboleh ubah kontekstual institusi dengan amalan pengurusan insan dalam sesebuah institusi kecil. Pemboleh ubah kontekstual yang

58

diteliti termasuklah saiz institusi, terdapatnya perjanjian kerjasama, mempunyai institusi bersekutu yang besar dan stabil, sama ada sebagai pembekal, kumpulan pembeli dan orientasi strategik ke arah pertumbuhan institusi. Kajian ini mendapati bahawa memiliki sebuah institusi yang besar dan stabil merupakan sesuatu yang signifikan dengan amalan pengurusan insan. Hal ini kerana, dapatan kajian ini menunjukkan bahawa institusi yang lebih besar atau institusi yang kecil yang mempunyai hubungan yang baik atau bersekutu dengan institusi yang besar mempunyai amalan pengurusan insan yang lebih baik.

Perkara ini disokong oleh kajian Zahiah Ismail (2000) dan Onyango (2014) dengan tambahan aspek budaya dalam institusi turut memberikan kesan dan perubahan dalam institusi termasuklah dalam amalan pengurusan insan. Selain itu, aspek kepimpinan turut memainkan peranan yang penting dalam aspek pengurusan insan dari perspektif institusi. Kajian Rusmini Ku Ahmad (2000) yang meneliti aspek kepimpinan dalam pengurusan insan dalam institusi membuktikan bahawa aspek kepimpinan merupakan aspek yang turut memberikan impak terhadap hubungan antara amalan pengurusan insan dalam sesebuah institusi.

Dengan fokus dan konteks yang lebih luas, Debroux (t.t.), Amante (1993), Ali Asgari (2009) dan Md. Golam Mohiuddin (2012) meneliti amalan pengurusan insan dari perspektif institusi-institusi utama di negara-negara tertentu. Md. Golam Mohiuddin (2012) dalam kajiannya membincangkan amalan pengurusan insan dari perspektif institusi-institusi utama di Bangladesh. Debroux (t.t.) dalam aspek yang sama memfokuskan institusi-institusi utama di Jepun. Amante (1993) pula dalam kajiannya membincangkan amalan pengurusan insan dari perspektif institusi milik Jepun di

59

Filipina. Ali Asgari (2009) pula lebih melihat aspek kepimpinan dalam pengurusan insan institusi di Iran dan Malaysia. Dalam konteks kajian di Malaysia, amalan pengurusan insan dari perspektif institusi diteliti oleh Ahmad Tamerin Abd. Aziz (1999) yang membincangkan amalan pengurusan insan dalam institusi awam di Malaysia dengan kajian kes di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja negeri Kedah.

Dari aspek strategi pengurusan insan, Raduan Che Rose, Naresh Kumar dan Hazril Izwar Ibrahim (2008), dan Becker dan Smidt (2016) menilai hubungan antara strategi pembuatan, amalan strategik pengurusan insan dan prestasi institusi. Kajian dalam aspek tersebut diperincikan lagi oleh Mohamad Abdullah Hemdi dan Aizzat Mohd.

Nasurdin (2006) yang membincangkan aspek dan strategi pengurusan insan bagi pekerja-pekerja hotel. Aspek pengurusan insan pekerja-pekerja hotel ini lebih bermatlamatkan menarik minat dan mengekalkan pekerja-pekerja sedia ada supaya mereka sentiasa setia dengan pihak pengurusan hotel dan mampu bekerja dalam tempoh yang lebih lama. Bagi memastikan matlamat tersebut tercapai, pihak pengurusan hotel perlu mempunyai strategi pengurusan insan yang baik seperti dengan meneruskan program latihan dan mengadakan sistem pembangunan kerjaya yang lebih menarik terhadap pekerja mereka.

2.2.1(b) Kajian Keberkesanan dan Kepentingan Amalan Pengurusan Insan

Kajian keberkesanan dan kepentingan amalan pengurusan insan juga telah banyak dilakukan oleh para penyelidik. Dari perspektif institusi, Dowling dan Welch (2005) telah meneliti hubungan amalan pengurusan insan dan kejayaan ekonomi dari

60

perspektif Australia. Hasil kajiannya mendapati bahawa amalan pengurusan insan yang baik mampu memberikan impak yang positif terhadap institusi dari aspek kewangan dan ekonomi. Mazura Anuar, Fairus Muhamad Darus dan Syed Yusainee Syed Yahya (2006) dalam kajiannya menilai amalan pengurusan insan dalam institusi awam turut selari dengan Dowling dan Welch (2005) bahawa amalan pengurusan insan yang baik mampu memberikan kesan yang positif terhadap aspek kewangan sesebuah institusi. Lu, Chen, Huang dan Chien (2015) meneliti kesan kepelbagaian umur dan kepakaran dalam pengurusan insan dalam institusi dengan memfokuskan industri tekstil dan fesyen manakala Al-Sarayrah, Safa, Tarhini’, Ali, Obeidat, Bader Yousef, Al-Salti, Zahran dan Kattoua (2016) pula memfokuskan tentang kesan kepelbagaian budaya dalam institusi terhadap aspek pengurusan insan.

Dari perspektif pekerja pula, Zaini Ujang (2008) dan Nor Hayati Alwi (2001) dalam kajiannya membincangkan amalan pengurusan insan dari perspektif pendidikan pekerja. Mereka turut menyatakan bahawa amalan pengurusan insan yang baik turut memberikan kesan yang positif dari aspek pendidikan pekerja. Selain itu, terdapat penyelidik yang meneliti keberkesanan amalan pengurusan insan terhadap reaksi emosi, mental dan psikologi pekerja dalam sesebuah institusi. Contohnya, Sharifah Akmam Syed Zakaria dan Ahmad Shukri Yahaya (2006) meneliti reaksi emosi pekerja dari aspek pengurusan insan dalam institusi. Irwan Prayitno (2000) pula membincangkan aspek-aspek psikologi pekerja dari aspek pengurusan insan dalam institusi. Abdul Halim Abdul Majid, Nik Maheran Nik Muhammad dan Rosni Abd.

Wahid (2001) menyatakan dalam kajian mereka bahawa aspek pendidikan, emosi, mental dan psikologi dalam amalan pengurusan insan dalam institusi memberikan kesan dan pengaruh yang besar terhadap prestasi pekerja dalam sesebuah institusi.

61

Kajian mereka turut mendapati bahawa faktor konteks kerja, motivasi, pengetahuan, kemahiran, sikap, keupayaan dan bakat merupakan faktor-faktor yang tidak boleh diabaikan dalam menilai prestasi kerja pekerja dalam sesebuah institusi selepas pekerja-pekerja tersebut menjalani sesuatu program latihan.

2.2.1(c) Kajian Pengurusan Insan dari Perspektif Islam

Pengurusan insan dari perspektif Islam merupakan antara tema yang menarik minat ramai penyelidik. Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian ini masih dalam peringkat asas, konsep, penelitian-penelitian awal dan ada yang hanya menilai pengurusan insan konvensional dari perspektif Islam. Mellahi dan Budhwar (2010) dan Mohamed Branine dan Pollard (2010) membincangkan hubungan antara Islam dengan amalan pengurusan insan dalam sesebuah institusi. Kajiannya membuktikan bahawa nilai-nilai Islam yang diterapkan dalam amalan pengurusan insan memberikan kesan terhadap prestasi institusi tetapi mengakui bahawa kajian yang lebih lanjut perlu dijalankan untuk mendapatkan kefahaman yang lebih mendalam tentang peranan Islam dalam sesebuah institusi khususnya bagaimana idealisme Islam, budaya Islam, nilai-nilai Islam dan norma-norma Islam diterapkan dalam amalan pengurusan insan bagi meningkatkan lagi prestasi dan potensi sesebuah institusi. Perkara ini turut diperakui oleh Alorfi (2012), Bilal Khan et al. (2010), Hailan Salamun dan Rahimah Ahmad (2010) dan Muhammad Burdbar Khan dan Naeem Nisar Sheikh (2012). Dalam kajian masing-masing menyatakan bahawa peranan Islam dalam memenuhi aspek kerohanian yang telah diketepikan dalam amalan pengurusan insan lazim serta menekankan pengajaran yang boleh diambil daripada tradisi Islam masa lalu. Kesemua mereka mendapati bahawa aspek latihan dan pendidikan yang menyeluruh serta aspek

62

pembangunan insan merupakan aspek yang penting dalam amalan pengurusan insan dalam sesebuah institusi.

Selain itu, Syed Mohammad Hilmi Syed Abdul Rahman dan Che Zarrina Sa’ari (2008) membincangkan aspek pengurusan insan dari perspektif institusi dan memfokuskan hubungan keimanan dan kefahaman insan tentang konsep takdir. Mohd Sahar Sawiran (2008) pula menyatakan selain dari konsep takdir yang dikemukakan oleh Syed Mohammad Hilmi Syed Abdul Rahman dan Che Zarrina Sa’ari (2008), elemen akal dan nafsu juga merupakan elemen yang penting dalam aspek pengurusan insan dari perspektif Islam. Perkara ini selari dengan kajian Hairunnizam Wahid et al. (2001) dengan tambahan iaitu penghayatan terhadap konsep tauhid. Abouzar Zangoueinezhad dan Asghar Moshabaki (2011) pula menyatakan bahawa kesemua aspek seperti konsep takdir, konsep tauhid dan elemen-elemen seperti akal dan nafsu merupakan perkara-perkara yang telah dinyatakan dalam al-Qur’an secara langsung dan tidak langsung yang berkaitan dengan aspek pengurusan insan.

Ilhaamie Abdul Ghani Azmi (2010) telah membincangkan pelaksanaan amalan pengurusan insan berteraskan Islam di institusi Islam di Malaysia. Kajiannya mendapati bahawa pelaksanaan amalan pengurusan insan berteraskan Islam oleh institusi-institusi Islam di Malaysia adalah masih pada tahap yang sederhana. Walau bagaimanapun, kesannya terhadap prestasi institusi masih berada pada tahap yang memuaskan. Hal ini menunjukkan bahawa masih terdapat institusi Islam di Malaysia yang masih tidak menggunakan pendekatan pengurusan insan yang benar-benar berteraskan falsafah Islam yang sebenar. Perkara ini selari dengan kajian oleh Junaidah Hashim (2010) yang dalam kajiannya memfokuskan untuk menilai aspek pengurusan

63

insan dari perspektif Islam dan kesannya terhadap komitmen institusi dalam institusi Islam terpilih di Malaysia. Kajian ini mendapati bahawa hampir 50 peratus institusi Islam di Malaysia yang menjadi sampel kajian mengamalkan pengurusan insan yang berteraskan Islam.

Selain itu, Abbas J. Ali (2010) dalam kajiannya memfokuskan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan amalan pengurusan insan dalam institusi moden hari ini. Kajiannya mendapati bahawa Islam melihat hubungan antara pekerja dengan institusi sebagai majikan adalah saling lengkap-melengkapi dan merupakan sebahagian dari aspek dalam hubungan sesama manusia iaitu h}abl min al-na>s. Pekerja dianggap sebagai aset yang mampu memberikan pulangan dalam bentuk pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran. Aspek ihsan yang diterapkan di tempat kerja akan membentuk rangka kerja yang positif dalam sesebuah institusi. Dari aspek hubungan dengan Pencipta iaitu Allah SWT, Wan Tauraniah Yahya (2004) membincangkan asas dan konsep pengurusan insan dari perspektif Islam. Dapatan kajian beliau mendapati asas pengurusan insan dari perspektif Islam adalah berasaskan hubungan manusia dengan Allah SWT iaitu h}abl min Alla>h.

Selain itu, terdapat penyelidik yang melihat aspek pengurusan insan berteraskan Islam melalui pemerhatian dan analisis terhadap karya-karya atau kitab-kitab tulisan cendekiawan atau sarjana Islam masa silam. Contohnya, Wan Suhaimi Wan Abdullah (2008) meneliti aspek-aspek pengurusan insan dalam kitab al-Siya>sat karangan Ibnu Sina. Mohd Rosli Hussain (2003) dalam kajiannya membandingkan aspek pengurusan insan menurut al-Ima>m al-Ghazaliy dan Ibn Khaldun. Kamarul Azmi Jasmi (2002) meneliti aspek-aspek pengurusan insan mengikut paradigma al-Ima>m al-Nawa>wiy.

64

Alias Abdullah (1999) pula menilai sumbangan ilmu tasawuf dalam pengurusan insan di Terengganu. Kajian-kajian ini merumuskan bahawa aspek keilmuwan pengurusan insan sebenarnya merupakan aspek yang utama yang turut menjadi tumpuan para sarjana Islam pada masa silam.

Berdasarkan perbincangan yang dilakukan melalui penelitian terhadap kajian-kajian mengenai pengurusan insan, dua rumusan utama dapat dilakukan. Pertama, kajian mengenai aspek pengurusan insan telah menjadi perhatian ramai penyelidik yang merangkumi pelbagai tema dan subjek kajian. Kedua, pengkajian mengenai pengurusan insan dari perspektif Islam yang memfokuskan secara khusus terhadap program latihan belum lagi dijalankan oleh para penyelidik dan kajian selanjutnya perlu dijalankan bagi meneliti program latihan dalam pengurusan insan dari perspektif Islam.