ASAS-ASAS PROGRAM LATIHAN DALAM PENGURUSAN INSAN BERTERASKAN ISLAM
4.4 PRINSIP-PRINSIP PROGRAM LATIHAN DALAM PENGURUSAN INSAN BERTERASKAN ISLAM
4.4.5 Penekanan Nilai-nilai Islam dalam Program Latihan dalam Pengurusan Insan Berteraskan Islam
Nilai didefinisikan sebagai kepercayaan yang mendorong seseorang atau institusi untuk bertindak mengikut pemilihan yang berasaskan nilai-nilai utama masyarakat.
Sesuatu tingkah laku atau asas pemikiran manusia yang bertepatan dengan sistem nilai Islam diterima sebagai perbuatan yang Islamik. Jika dilihat sistem nilai-nilai murni dalam skop syariat Islam, ia berasaskan akidah tauhid yang menjadi acuan kepada falsafah sistem nilai (Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz, 2011:42; INTAN, 1991).
Penekanan unsur nilai menurut Islam sememangnya telah banyak dibincangkan oleh para sarjana dan para ilmuwan Islam terdahulu. Aspek nilai dalam PBI lebih menyeluruh dan sempurna berbanding nilai-nilai konvensional. Hal ini bertitik tolak daripada tanggapan bahawa setiap perkara yang dilakukan oleh manusia dikira sebagai ibadah termasuklah ketaatan dan tanggungjawab kepada Allah SWT, ketua, keluarga, institusi dan negara. Kesempurnaan nilai dalam PBI terletak pada asas dan sumbernya.
Asasnya ialah akidah, syariah dan akhlak. Sumbernya pula ialah al-Qur’an dan Hadith.
Hal ini juga bermakna, nilai dalam PBI mempunyai kekuatan rohaniah yang paling kukuh (Mustafa Daud, 1994:146). Nilai-nilai tersebut hanya benar-benar dapat
171
dihayati sekiranya dihubungkan dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Sekiranya ia tidak dapat dihubungkan dan disepadukan, hal ini bermakna nilai-nilai tersebut tidak dapat berfungsi dengan baik (Shaharom TM Sulaiman, 1997:19).
Walaupun secara umumnya, penekanan nilai tidak ditonjolkan dalam prinsip-prinsip PBI, ia tetap menjadi salah satu aspek penting khususnya dalam konteks program latihan dalam pengurusan insan berteraskan Islam. Melalui sorotan yang telah dilakukan terhadap beberapa karya-karya oleh sarjana-sarjana Islam, terdapat beberapa nilai yang menjadi prinsip dalam PBI yang telah dikenal pasti. Antaranya ialah nilai ihsan, nilai keadilan, nilai amanah, nilai kesederhanaan, nilai toleransi dan nilai muhasabah diri yang meletakkan akidah tauhid sebagai teras utama. Nilai-nilai ini dikaitkan dengan amalan sifat-sifat mahmudah atau sifat-sifat terpuji yang bertentangan dengan sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat terkeji.
Nilai-nilai Islam begitu penting sekali ditekankan dalam program latihan dalam pengurusan insan. Hal ini membolehkan kebajikan awam umumnya dan para pekerja khususnya lebih terjamin. Sebagai contoh, nilai amanah dalam menguruskan masa, harta dan wang rakyat. Pekerja yang melengahkan kerja membawa kepada pembaziran masa dan wang masyarakat. Penekanan nilai-nilai Islam mementingkan kualiti umat Islam sendiri yang bakal menjadi contoh dan teladan kepada golongan lain. Dalam konteks program latihan dalam pengurusan insan berteraskan Islam, aspek kemahiran, keupayaan dan pengetahuan dalam pekerjaan perlu dilengkapkan, malah perlu dimulakan dengan pembinaan dan penekanan nilai-nilai Islam yang berpaksikan akidah tauhid terlebih dahulu agar insan atau pekerja yang dilahirkan menjadi lebih unggul dan berkualiti. Huraian mengenai setiap nilai adalah seperti berikut:
172 4.4.5(a) Nilai Ihsan
Ihsan dari satu aspek membawa maksud bahawa Allah SWT melihat segala perbuatan manusia sama ada secara terang atau sulit (Al-Nawawiy, 1983; Mustafa Daud, 1994:148). Oleh itu, seseorang pekerja perlu meyakini bahawa setiap perbuatan pengurusan dilihat oleh Allah SWT. Dari aspek yang lain pula, ihsan berkaitan dengan sifat belas kasihan, baik hati dan bertimbang rasa dalam pengurusan institusi. Allah SWT telah menjanjikan syurga kepada hamba-Nya yang mempunyai sifat-sifat ini. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya” (Yu>nus, 10:26).22
Nilai ihsan yang terdapat dalam al-Qur’an ini juga diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam beberapa Hadith. Antaranya, sabda Rasulullah SAW dalam Hadith Jibra>’i>l ketika baginda SAW ditanya oleh Malaikat Jibra>’i>l a.s. yang bermaksud:
“Kemudian Dia (Jibra>’i>l) bertanya lagi: Wahai Rasulullah SAW, apa itu ihsan? Baginda SAW menjawab: “(Ihsan itu) ialah kamu menyembah Allah SWT seolah-olah kamu melihat-Nya. Sekiranya kamu tidak dapat melihat-Nya, sesungguhnya Dia (Allah SWT) pasti melihat kamu” (Riwayat al-Bukha>riy, No. Hadith: 48).
22 Maksudnya, pahala amal yang baik itu dilipatgandakan menjadi sepuluh kali ganda kebaikan sehingga tujuh ratus kali ganda, bahkan lebih daripada itu. Balasan kebaikan itu mencakupi semua kenikmatan yang diberikan oleh Allah SWT kepada ahli syurga di dalam syurga, berupa gedung-gedung, bidadari-bidadari yang bermata jeli, reda Allah SWT kepada mereka, dan apa yang disimpan oleh Allah SWT buat mereka berupa hal-hal yang menyejukkan hati dan pandangan mata dan yang paling utama di antara semua nikmat syurga itu ialah memandang Zat Allah SWT Yang Maha Mulia. Sesungguhnya nikmat ini jauh lebih besar daripada semua yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada mereka dan mereka sebenarnya tidak berhak mendapatkannya kerana amal perbuatan mereka, melainkan berkat kemurahan dan rahmat daripada Allah SWT semata-mata (Ibn Kathi>r, 2004:265).
173
Oleh yang demikian, ihsan adalah apabila roh dan akal sedar bahawa Allah SWT sedang melihat. Merasakan Allah SWT sedang melihat, sedang mendengar, sedang menilai dan merasai Allah SWT Maha Berkuasa mentadbir dan mengurus manusia.
Ihsan dapat dibahagikan kepada dua skop utama iaitu ihsan dalam peribadatan dan ihsan dalam muamalah. Ihsan dalam peribadatan ialah manusia beribadah kepada Allah SWT dengan penuh khusyuk dan ikhlas seolah-olah ketika itu dia sedang berhadapan dengan Allah SWT. Ihsan dalam muamalah pula mempunyai dua pengertian. Pertama, ihsan merupakan kurniaan nikmat, maslahah iaitu penjagaan kepentingan tertentu yang dimiliki atau sepatutnya dimiliki oleh pihak-pihak tertentu dan mempertingkatkan kualiti dalam pekerjaan. Pengertian ini dapat dilihat melalui aktiviti kekeluargaan dan kemasyarakatan Islam (Azman Che Omar, 2001:62; Hassan Ahmad, 2008:209; Mohamad Zamri Mohamed Shapik, 2014).
Bagi maksud kedua, ihsan dilihat dalam konteks pekerjaan dan pengurusan institusi.
Ihsan bermaksud mempertingkatkan kualiti kerja, ilmu pengetahuan yang menyeluruh dan keterampilan kemahiran yang mantap dan dibangunkan sepenuhnya (Mohamad Zamri Mohamed Shapik, 2014). Muhammad Nubli Abdul Wahab (2008a:24) pula secara khusus menjelaskan makna ihsan iaitu memberikan lebih banyak daripada tugasan yang diminta, bekerja lebih baik daripada kerja yang ditugaskan, lebih masa daripada masa yang ditetapkan dan memberikan perkhidmatan terbaik dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Akhirnya, pengurus atau pekerja tersebut akan menjadi pekerja yang dapat memenuhi tanggungjawabnya sebagai pekerja dan dalam masa yang sama, mendapat ganjaran hasil ibadah yang dilakukan kerana Allah SWT.
174
Berdasarkan pernyataan tersebut, pengamalan konsep ihsan akan menghasilkan pekerja yang mempunyai sifat-sifat yang disukai Allah SWT seperti bersungguh-sungguh, amanah, menepati waktu dan sebagainya, kerana mereka tahu bahawa mereka bekerja kerana Allah SWT. Mereka merasakan bahawa segala perkara yang dilakukan merupakan ibadah, maka segala amalannya akan diperhatikan oleh Allah SWT walaupun tidak dapat melihat Allah SWT. Hal ini bermakna, ihsan bukan sahaja dalam aspek peribadatan semata-mata bahkan dalam aspek-aspek kehidupan yang lain sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah SWT semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab Neraka” (A>li-‘Imra>n, 3:191).23
Aplikasi nilai ihsan dalam kehidupan merupakan penterjemahan nilai tersebut dalam kehidupan seharian. Penekanan nilai ini dalam konteks pengurusan insan pastinya bermula dengan program latihan berteraskan Islam. Mohamad Zamri Mohamed Shapik (2014) menyatakan bahawa terdapat empat komponen utama yang perlu diberikan penekanan iaitu ilmu pengetahuan, kefahaman dan kesedaran, pelaksanaan dan penghayatan.
23 Allah SWT menjelaskan ciri khas orang-orang yang berakal, melalui firman-Nya. Mereka adalah,
“Orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring”. Mereka tidak pernah terputus daripada berzikir mengingati-Nya dalam semua keadaan mereka. Lisan, hati dan jiwa mereka semuanya selalu mengingat Allah SWT. “Dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi”. Mereka memahami semua hikmah yang terkandung di dalamnya yang menunjukkan kepada kebesaran Penciptanya, kekuasaan-Nya, pengetahuan-Nya, hikmah-Nya, pilihan-Nya, dan rahmat-Nya (Ibn Kathi>r, 2004:209).
175
Para pekerja khususnya dalam konteks pekerja di IPBI hendaklah diberikan pengetahuan berkenaan konsep ihsan dalam kehidupan seharian termasuk aktiviti di tempat kerja. Hal ini kerana, secara realitinya, ideologi sekularisme masih menebal dalam kehidupan masyarakat Islam. Pengetahuan yang berkaitan ihsan hanya dikaitkan dengan urusan ibadah semata-mata dan tidak mempunyai kaitan dengan kehidupan seharian. Tanggapan ini perlu diperbetulkan melalui proses latihan, pendidikan, pembelajaran, pembacaan dan pemerhatian.
Selain itu, kefahaman dan kesedaran harus ditingkatkan juga dalam kalangan para pekerja ini. Setelah mendalami konsep ihsan maka para pekerja perlu didedahkan dengan amalan nilai ihsan di tempat kerja. Sebagai contoh, memulakan kerja harian dengan bacaan basmalah, bacaan doa harian, bacaan al-Qur’an, bacaan Surah al-Kahf pada hari Jumaat, galakan solat berjemaah, mengadakan tazkirah di pejabat dan sebagainya. Selain itu, kempen secara menyeluruh perlu diadakan oleh ketua jabatan supaya semua pekerja menyedari amalan nilai ihsan di tempat kerja. Kesedaran ini amat penting dalam mempertingkatkan kefahaman sedia ada berkenaan nilai ihsan kepada amalan seharian khususnya di pejabat. Persekitaran yang mengingatkan para pekerja kepada Allah SWT akan meningkatkan rasa bertuhan dalam kalangan pekerja agar ia menjadi amalan harian dan akhirnya menjadi satu budaya dan kebiasaan (Sidek Baba, 2012).
Komponen yang seterusnya ialah pelaksanaan. Sewajarnya, nilai ihsan ditetapkan sebagai satu amalan dan keperluan dalam sesebuah institusi khususnya IPBI. Nilai ihsan hendaklah mengungguli kesemua sistem dan standard yang diamalkan di pejabat. Apabila rasa bertuhan diwujudkan dalam sistem dan standard yang diamalkan,
176
maka para pekerja sentiasa peka dengan peringatan bahawa Allah SWT sentiasa melihat dan mengawasi pergerakan mereka pada setiap pekerjaan mereka. Komponen yang keempat iaitu penghayatan memerlukan komitmen yang tinggi oleh ketua jabatan dan para pekerja (Sidek Baba, 2012).
Sekiranya nilai ihsan menjadi dorongan dalam bekerja dan menginsafi bahawa Allah SWT sentiasa bersama-sama dengan manusia, maka proses pelaksanaan pekerjaan akan sentiasa dalam pedoman Allah SWT. Seseorang insan merasa takut melakukan penipuan kerana sekiranya perbuatan itu tidak diketahui oleh orang lain, seseorang insan percaya bahawa Allah SWT Maha Mengetahui perbuatan tersebut. Sekiranya seseorang insan ingin melakukan jenayah rasuah dan salah guna kuasa walaupun tidak diketahui orang lain, namun sekiranya seseorang insan itu insaf bahawa Allah SWT Maha Mengetahui perbuatan seseorang insan dan balasan-Nya juga amat pedih, diri manusia akan sentiasa berwaspada tentang amalan yang tidak baik tersebut (Sidek Baba, 2012; Izzaty Ulya Munirah Abd Aziz, Ahmad Irdha Mokhtar & Zulkefli Aini, 2015). Malah, jika seseorang insan ingin berlaku zalim kepada orang lain kerana sebab-sebab tertentu, kezaliman yang sama akan dibalas oleh Allah SWT dan ia mengingatkan insan tentang pembalasan pada hari akhirat kelak. Hal ini merupakan asas ihsan yang sangat penting dan perlu ada pada diri setiap insan dan pekerja supaya setiap pekerjaan yang dilakukan olehnya sentiasa dalam lingkungan ibadah (Sidek Baba, 2012).
177 4.4.5(b) Nilai Keadilan
Dari segi bahasa, adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Adil juga merujuk kepada keseimbangan dan pemberian hak kepada yang berhak (Ibn Miskawayh 1961; Syed Othman AlHabshi, 1998:214). Dari segi istilah, adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya berdasarkan ketetapan akidah, syariah dan akhlak bersumberkan al-Qur’an dan Hadith (Abu Hamid Al-Ghazaliy, 1973;
Mustafa Daud, 1994:148). Allah SWT telah menekankan kewajipan untuk sentiasa menegakkan keadilan dalam setiap perkara dan keadaan melalui firman-Nya yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah SWT, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan” (al-Ma>’idat, 5:8).24
Keadilan tidak bermaksud persamaan. Sebagai contoh, hasil daripada perbezaan jantina lelaki dan perempuan, maka dengan sendirinya terdapat pekerjaan yang sesuai
24 Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kalian jadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah SWT.” Yakni jadilah kalian orang-orang yang menegakkan kebenaran kerana Allah SWT, bukan kerana manusia atau kerana harga diri.
“Menjadi saksi dengan adil.” Maksudnya menegakkan keadilan, bukan kezaliman. “Dan jangan sekali-kali kebencian sekali-kalian terhadap sesuatu kaum mendorong sekali-kalian untuk berlaku tidak adil.” Ertinya, jangan sekali-kali kalian biarkan perasaan benci terhadap sesuatu kaum mendorong kalian untuk tidak berlaku adil kepada mereka, tetapi amalkanlah keadilan terhadap setiap orang, baik terhadap teman ataupun musuh. Kerana itulah disebutkan dalam firman Allah SWT selanjutnya, “Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” Yakni sikap adilmu lebih dekat kepada takwa daripada kamu meninggalkannya. Kemudian Allah SWT berfirman, “Dan bertakwalah kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan.” Maksudnya, Dia kelak akan membalas kalian atas apa yang telah Dia ketahui daripada amal perbuatan yang kalian kerjakan. Jika amal itu baik, maka balasannya baik dan jika amal itu buruk, maka balasannya akan buruk pula (Ibn Kathi>r, 2004:45).
178
untuk suatu pihak dan tidak sesuai untuk pihak yang lain. Oleh yang demikian, keadilan sentiasa dikaitkan dengan kesaksamaan. Keadilan dalam Islam diukur melalui al-Qur’an dan Hadith dan bukan ditafsirkan mengikut hawa nafsu manusia.
Nilai yang adil mempunyai kesan yang positif. Ia dapat mencegah daripada berlakunya penyelewengan dan akan meluaskan sifat amanah, adil dan saksama. Ia merupakan salah satu nilai yang sesuai dengan fitrah insan yang suka diberikan layanan yang adil dan dapat mengurangkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli institusi. Dalam bidang pengurusan, keadilan itu meliputi semua hal dan bidang dari aspek peraturan, undang-undang, nilai, etika, latihan dan sebagainya. Dalam konteks program latihan dalam pengurusan insan, setiap program latihan seharusnya diberikan kepada pekerja yang layak dan berhak. Berkaitan dengan hal ini, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah SWT menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah SWT dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat” (al-Nisa>’, 4:58).25
25 Allah SWT memberitahu bahawa Dia memerintahkan agar amanah-amanah itu disampaikan kepada yang berhak menerimanya. Di dalam Hadith Al-Hasan, daripada Samurah, disebutkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Sampaikanlah amanah itu kepada orang yang mempercayaimu, dan janganlah kamu berkhianat terhadap orang yang berkhianat kepadamu.” Hadith riwayat Imam Ahmad dan semua pemilik kitab sunan. Makna Hadith ini umum mencakupi semua jenis amanah yang diharuskan bagi manusia menyampaikannya. Amanah tersebut antara lain yang berkaitan dengan hak-hak Allah SWT terhadap hamba-hamba-Nya, seperti solat, zakat, puasa, kifarah, semua jenis nazar dan sebagainya yang dipercayakan kepada seseorang dan tiada seorang hamba pun yang melihatnya. Ia termasuklah hak-hak hamba-hamba Allah SWT terhadap yang lain. Maka Allah SWT memerintahkan agar hal tersebut ditunaikan kepada yang berhak menerimanya. Barang siapa yang tidak melakukan hal tersebut di dunia, maka ia akan dituntut pada hari kiamat dan diazab kerananya (Ibn Kathi>r, 2004:336).
179 4.4.5(c) Nilai Amanah
Amanah merupakan sesuatu yang wajib dipelihara dengan sebaiknya dan menyerahkan sesuatu kepada yang berhak menerimanya. Apabila seseorang gagal melaksanakan amanah, maka dia telah berlaku khianat kerana matlamat amanah adalah untuk mencapai keadilan. Adil yang mutlak hanya menjadi hak milik Allah SWT. Walau bagaimanapun, manusia tetap diwajibkan berikhtiar untuk amanah.
Amanah menghasilkan keamanan dan kemakmuran kepada masyarakat (Abu Hamid Al-Ghazaliy, 1973; Haron Din, 2015a:72; Rusli Ahmad, 2011:82).
Amanah juga dikaitkan dengan bersih dan cekap. Bersih yang dimaksudkan adalah bersih dari aspek moral, akhlak dan etika dalam menjalankan tugas, tidak menyalahgunakan kuasa, tidak sombong dan tidak terlibat dengan salah laku jenayah dan rasuah. Bersih dari aspek fizikal pula ialah seperti mempunyai tubuh badan yang sihat, cergas dan terurus. Cekap pula berkaitan dengan aspek prestasi kerja yang cemerlang dan berkualiti. Amanah ialah nilai dalam pengurusan institusi yang amat diutamakan dalam Islam. Islam menegaskan bahawa perancangan dari atas ke bawah mesti amanah, jujur dan adil dalam pengurusan sesebuah institusi termasuklah IPBI.
Selain itu, berani dalam memberi teguran secara berhikmah termasuk dalam sifat amanah (Mustafa Daud, 1994:149).
Nilai amanah yang diterapkan dalam pengurusan ini juga akan dapat mendidik dan memperkukuhkan akidah serta memelihara jiwa manusia agar sentiasa patuh dan tunduk kepada Allah SWT dalam setiap perkara, keadaan atau pekerjaan yang dilakukan (Ahmad Ibrahim Abu Sin, 1991:316). Amanah merupakan sifat yang sangat
180
penting dalam menentukan kebahagiaan hidup manusia di dunia dan akhirat. Setiap insan seharusnya menyedari bahawa mereka sentiasa berada dalam lingkungan amanah yang disanggupinya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya.
(Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia ialah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan” (al-Ah}za>b, 33:72).26
Dalam konteks institusi, Islam memandang sesuatu pekerjaan sebagai suatu amanah (Ahmad Ibrahim Abu Sin, 1991:316). Setiap jawatan yang disandang bukanlah satu kelebihan bahkan ia merupakan amanah yang akan dipertanggungjawabkan terhadap setiap individu dan akan dipersoalkan di akhirat kelak. Dalam konteks pengurusan insan, setiap pengurus dalam sesebuah institusi seharusnya menyedari bahawa setiap pekerja di bawah seliaannya juga merupakan amanah daripada Allah SWT yang tidak boleh dikhianati (Azman Che Omar, 2001:56; Nor ‘Azzah Kamri, 2006:88). Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT berkaitan dengan aspek amanah yang bermaksud:
26 Al-Aufi telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa yang dimaksudkan dengan amanah adalah ketaatan. Allah SWT menawarkan amanah itu kepada mereka sebelum menawarkannya kepada manusia, tetapi ternyata mereka tidak kuat. Lalu Allah SWT berfirman kepada Adam, "Sesungguhnya Aku telah menawarkan amanah ini kepada langit, bumi, dan gunung-gunung, tetapi mereka tidak mampu memikulnya. Apakah kamu mahu memikul amanah ini berikut segala akibatnya?" Adam bertanya, "Apa saja konsekuensinya itu, wahai Tuhanku?" Allah SWT. menjawab, "Jika kamu berbuat baik, maka kamu diberi pahala. Dan jika kamu berbuat buruk, kamu diseksa. Lalu amanah itu diambil oleh Adam. Yang demikian itu disebutkan oleh firman-Nya: dan dipikullah amanah itu oleh manusia.
Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh (Ibn Kathi>r, 2004).