KAEDAH PENYELIDIKAN
3.2 REKA BENTUK KAJIAN
3.3.2 Sumber Data Primer
Dalam kaedah pengumpulan data primer, pengkaji menggunakan kaedah temu bual dan kaedah pemerhatian tanpa turut serta untuk memperoleh maklumat bagi memenuhi objektif kajian. Kaedah temu bual boleh digunakan dalam kajian yang mengkaji individu atau institusi terpilih. Jenis maklumat atau data yang dikumpulkan ialah pengumpulan data primer. Kaedah temu bual boleh dijalankan sama ada dengan bersemuka, melalui panggilan telefon, melalui e-mel dan sebagainya. Kaedah pemerhatian pula dilakukan bagi menyokong data-data sekunder yang diperoleh melalui kaedah kajian dokumen.
Bogdan dan Biklen (2007) menyatakan bahawa terdapat tiga instrumen utama kajian yang biasa digunakan dalam kajian kualitatif iaitu kaedah pemerhatian, kaedah temu bual dan bukti dokumen. Satu kelebihan ketara penggunaan pelbagai kaedah pengumpulan data ialah pengukuhan data dan memperkukuhkan kesahan dalam reka bentuk kajian yang dijalankan. Dalam kajian ini, instrumen kajian yang digunakan ialah kaedah temu bual berstruktur dan kaedah pemerhatian tanpa turut serta. Kaedah temu bual berstruktur dilaksanakan bagi mendapatkan maklumat dan data primer yang berkaitan dengan program latihan dalam pengurusan insan IPBI terpilih di Malaysia.
Antara maklumat yang ingin diperoleh ialah mengenai maklumat asas IPBI terpilih di Malaysia yang mengguna pakai program latihan dalam pengurusan insan ILIM.
117
Kaedah pemerhatian tanpa turut serta pula dilaksanakan bagi menyokong data-data sekunder tentang program latihan dalam pengurusan insan ILIM.
3.3.2(a) Kaedah Temu Bual Berstruktur
Oleh sebab bilangan sampel dalam kajian ini adalah kecil iaitu sebanyak sepuluh buah institusi, kaedah temu bual berstruktur merupakan instrumen kajian yang paling sesuai dan terbaik untuk mendapatkan data-data primer kajian yang lengkap dan berkualiti.
Dengan pelaksanaan temu bual berstruktur ini, pengumpulan maklumat dapat dilaksanakan secara objektif dan lebih terfokus (Othman Lebar, 2012:124). Dalam kajian ini, kaedah temu bual berstruktur sesuai digunakan untuk mendapatkan maklumat dan data berkaitan dengan program latihan dalam pengurusan insan IPBI terpilih yang mengguna pakai program latihan dalam pengurusan insan ILIM. Kaedah ini dilakukan dengan menemu bual pihak pengurusan IPBI terpilih yang terlibat iaitu unit, jabatan atau bahagian latihan dan pembangunan pekerja mewakili pihak pengurusan.
Soalan-soalan temu bual ini telah disahkan oleh seorang pakar dan penyelia kajian pengkaji. Menurut Bogdan dan Biklen (2007), pengesahan pakar dan penyelia kajian merupakan salah satu bentuk daripada kebolehpercayaan data kerana salah satu daripada kesahan data kualitatif adalah dengan melalui pengesahan penyelia terhadap keteraturan kajian yang dilakukan. Sejurus setelah set soalan temu bual berstruktur disahkan oleh pakar dan penyelia, pengkaji melaksanakan kajian lapangan (Flick, 2009). Dalam kajian ini, pakar yang telah mengesahkan soalan temu bual berstruktur
118
yang telah dibina ialah Prof. Madya Dato’ Hj Ellias Zakaria.12 Pemilihan pakar tersebut adalah berdasarkan latar belakang akademiknya sebagai seorang ahli akademik yang mempunyai kepakaran dalam bidang syariah, psikologi dan juga pengurusan Islam. Beliau berpendapat bahawa soalan-soalan yang dikemukakan dalam set soalan temu bual berstruktur ini sesuai dan memadai untuk mencapai objektif kajian kedua kajian ini.
Soalan-soalan temu bual tersebut dibentuk secara khusus oleh pengkaji untuk mencapai objektif kajian kedua ini iaitu mengenal pasti program latihan dalam pengurusan insan IPBI terpilih di ILIM. Ia sekali gus bertujuan menjawab persoalan-persoalan kajian bagi objektif kajian kedua ini iaitu apakah pendekatan program latihan dalam pengurusan insan IPBI terpilih dan berapakah IPBI terpilih tersebut yang mengguna pakai program latihan dalam pengurusan insan ILIM. Set soalan temu bual ini juga mengambil kira maklumat yang ingin dikenal pasti dan dianalisis.
Untuk pelaksanaan kajian lapangan yang sebenar, pengkaji terlebih dahulu memohon kebenaran pihak IPBI yang terpilih untuk melaksanakan kajian terhadap institusi.
Setelah mendapat persetujuan pihak institusi tersebut, pengkaji membuat temu janji dengan pihak pengurusan institusi untuk tujuan mengadakan temu bual. Set-set soalan temu bual yang dikemukakan semasa temu bual turut disertakan. Perkara ini dilaksanakan supaya pihak pengurusan institusi dapat memahami tujuan temu bual tersebut diadakan dan memenuhi kehendak kajian. Ia juga diharapkan dapat membantu melancarkan proses temu bual dengan informan kajian. Hasil permohonan temu janji
12 Ketika kajian ini sedang dilakukan, beliau turut berperanan sebagai Pengarah Pusat Transformasi Insan (PTI), Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu sebuah pusat yang menyediakan program latihan bagi kakitangan USM. Kini, beliau telah bersara sebagai pensyarah dan mantan Pengarah PTI, USM.
119
yang dibuat oleh pengkaji, sesi temu bual ditetapkan sama ada dengan pihak pengurusan tertinggi institusi atau pihak yang bertanggungjawab mengendalikan atau menyediakan program latihan di institusi tersebut. Sesi temu bual ini dijalankan sama ada secara bersemuka, melalui e-mel dan juga melalui telefon.
Kaedah temu bual berstruktur ini dijalankan terhadap informan yang mewakili IPBI terpilih untuk mengenal pasti IPBI terpilih yang mengguna pakai program latihan dalam pengurusan insan ILIM. Informan ini terdiri daripada individu yang berautoriti dan bertanggungjawab dalam aspek pelaksanaan program latihan dalam pengurusan insan IPBI terpilih tersebut. Terdapat maklumat dan data mengenai program latihan dalam pengurusan insan IPBI terpilih yang tidak terdapat dalam bentuk dokumen yang formal, rasmi dan teratur.
Oleh itu, ia terpaksa didasarkan kepada maklumat yang disampaikan oleh informan-informan ini dalam menerangkan pendekatan program latihan dalam pengurusan insan institusi berkenaan di samping penelitian terhadap sebarang bentuk dokumen, bahan bercetak berupa berita, arahan, buletin, buku panduan, laporan tahunan dan sebagainya berhubung dengan program latihan dalam pengurusan insan IPBI terpilih tersebut.
Jadual 3.1 menunjukkan perincian setiap informan yang ditemu bual berdasarkan setiap IPBI yang diwakili.
120
Jadual 3.1: Senarai Informan Kajian
Bil. Nama Informan dan Jawatan IPBI Yang Diwakili
1
Sumber: Hasil dapatan temu bual berstruktur.
3.3.2(b) Kaedah Pemerhatian Tanpa Turut Serta
Menurut Mack, Woodsong, McQueen, Guest dan Namey (2005), kaedah pemerhatian dalam kajian kualitatif boleh dilakukan melalui tiga kaedah iaitu pemerhatian tanpa
121
turut serta, pemerhatian separa turut serta dan pemerhatian turut serta. Kesemua kaedah pemerhatian ini melibatkan pengkaji berada di persekitaran yang membolehkan peserta bertingkah laku secara semula jadi. Perkara yang membezakan ketiga-tiga kaedah pemerhatian ini ialah tahap penglibatan pengkaji dalam aktiviti yang dilakukan oleh peserta dalam kajian.
Dalam kaedah pemerhatian tanpa turut serta, pengkaji hanya memerhati dan mengutip data tanpa perlu mewujudkan sebarang interaksi dengan peserta atau persekitarannya.
Sebaliknya, kaedah pemerhatian turut serta memerlukan penglibatan pengkaji dalam persekitaran dan aktiviti-aktiviti peserta. Terdapat juga kajian yang memerlukan pengkaji menggunakan kedua-dua kaedah apabila keadaan memerlukan. Kaedah ini dinamakan kaedah pemerhatian separa turut serta. Pengkaji yang melaksanakan kaedah pemerhatian turut serta merasa berada dalam dunia dan kehidupan sebenar peserta kajian dan pada masa yang sama perlu kekal sebagai seorang pengkaji untuk membolehkannya membuat laporan secara objektif. Kaedah pemerhatian berasal daripada kajian etnografi yang bertujuan mempelajari perspektif populasi yang dikaji dalam konteks peserta sendiri. Pengkaji kualitatif perlu membuat andaian bahawa dalam sesuatu populasi terdapat pelbagai perspektif tentang sesuatu isu. Pengkaji berminat mengetahui pelbagai perspektif ini dan memahami jalinan yang berlaku antara perspektif-perspektif yang berbeza ini (Mack et al., 2005).
Terdapat tiga langkah melaksanakan kaedah pemerhatian untuk pengumpulan data kajian. Pertama, pengkaji perlu berada di lokasi kajian. Pengkaji perlu berada di persekitaran yang terdapat populasi yang dapat memberikan jawapan kepada persoalan kajian. Peserta boleh terus bertingkah laku secara natural dalam persekitaran mereka.
122
Sebagai persediaan kepada proses pemerhatian, pengkaji perlu mengenal pasti individu yang dapat memberikan maklumat terbanyak kepadanya. Dalam pemerhatian turut serta, pengkaji boleh membina hubungan dan seterusnya berinteraksi dengan individu-individu dalam persekitaran tersebut yang dapat membantu pengkaji memahami fenomena-fenomena yang diperhatikannya (Mack et al., 2005; Hill, Knox, Thompson, Williams, Hess & Ladany, 2005).
Langkah kedua, pengkaji perlu membuat catatan. Semasa berada dalam persekitaran yang dikaji, pengkaji mencatat segala maklumat yang diperoleh dalam buku nota lapangan. Maklumat ini diperoleh melalui pemerhatian tingkah laku, perbualan personal dan juga peristiwa yang berlaku dalam persekitaran tersebut. Maklumat yang diperoleh dari media massa di kawasan tersebut juga boleh dijadikan sumber data.
Kebiasaannya, data pemerhatian adalah dalam bentuk teks. Walau bagaimanapun, catatan juga boleh dilakukan dalam bentuk rajah dan peta minda yang berfungsi menggambarkan sesuatu hubungan, kronologi peristiwa, kedudukan kuasa dan sebagainya. Dalam proses ini, pengkaji perlu sentiasa berhati-hati mencatatkan pemerhatiannya secara empirikal tanpa melakukan interpretasi mengikut nilai pengkaji sendiri (Mack et al., 2005; Malakolunthu, 2001).
Langkah ketiga, pengkaji perlu mengembangkan data pemerhatian. Data pemerhatian yang diperoleh dalam bentuk nota-nota ringkas perlu dikembangkan secepat mungkin supaya dapat memberikan maklumat lengkap sebelum dianalisis. Data ini perlu dibuat dalam bentuk data naratif yang menerangkan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku, pembelajaran yang diperoleh daripada pemerhatian tersebut dan mengenal pasti soalan yang ditanya seterusnya jika data yang diperoleh belum memuaskan. Pengkaji perlu
123
menyemak semula data naratif tersebut dan memasukkan komen-komen terakhir untuk mengukuhkan data pemerhatian tersebut (Mack et al., 2005).
Data teks dan rajah daripada pemerhatian yang dilakukan boleh dimasukkan dalam komputer dan diproses untuk menghasilkan sesuatu tema. Data pemerhatian dalam pelbagai bentuk ini sentiasa dirujuk untuk menyokong satu sama lain sepanjang kajian ini. Data pemerhatian dapat membantu pengkaji memahami perspektif dan tingkah laku peserta daripada konteks budaya dan persekitaran peserta semasa dalam proses temu bual dan kumpulan fokus. Dengan merujuk data pemerhatian, pengkaji boleh mengukuhkan reka bentuk instrumen temu bual, menjimatkan masa dan mengelakkan kesilapan-kesilapan sepanjang kajian tersebut (Hill et al., 2005).
Dalam konteks kajian ini, pengkaji menggunakan kaedah pemerhatian tanpa turut serta. Memandangkan antara objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti dan menganalisis program latihan dalam pengurusan insan IPBI terpilih di ILIM, pemerhatian tanpa turut serta merupakan kaedah yang paling sesuai digunakan.
Kaedah pemerhatian tanpa turut serta ini dilaksanakan dengan memohon kebenaran dan mengadakan temu janji bersama pihak yang terlibat iaitu ILIM. Setelah mendapatkan kebenaran daripada pihak tersebut, pengkaji pergi ke lokasi persekitaran yang dilakukan pemerhatian iaitu ILIM yang terletak di Bangi, Selangor. Setelah berjumpa dengan pihak pentadbir ILIM yang turut menjadi wakil bagi pihak Pengarah ILIM, pengkaji seterusnya melaksanakan pemerhatian terhadap para peserta program latihan di ILIM tanpa menyertai program latihan yang diadakan.
124 3.3.2(c) Justifikasi Pemilihan Sampel Kajian
Secara lebih khusus, dalam kajian ini, sampel kajian hanya menumpukan beberapa IPBI terpilih di Malaysia dan IPBI terpilih yang mengguna pakai program latihan dalam pengurusan insan ILIM. Pemilihan IPBI yang utama dalam kajian ini adalah berdasarkan teknik pensampelan pertimbangan iaitu dengan menetapkan kriteria atau pertimbangan tertentu dalam memilih IPBI yang paling sesuai dijadikan sebagai sampel kajian (Sanapiah Faisal, 2005:67-68). Teknik ini sesuai digunakan kerana khusus untuk saiz populasi kajian yang terlalu besar (Syed Arabi Idid, 1992:67).
Teknik ini juga sesuai diguna pakai dalam kajian ini disebabkan tiga faktor. Pertama, kesukaran untuk mengenal pasti kesemua populasi IPBI di negara ini. Kedua, kajian ini hanya menumpukan terhadap IPBI yang telah bertapak lama dalam tempoh yang tertentu. Ketiga, kajian ini bertujuan mendapatkan maklumat yang terperinci tentang program latihan dalam pengurusan insan IPBI terpilih di ILIM (Fadzila Azni Ahmad, 2010:139).
Muhammad Nubli Abdul Wahab (2008a:24) pula menggariskan tujuh ciri utama sesebuah institusi berkenaan boleh dikatakan sebagai IPBI. Pertama, dasar institusi yang merangkumi falsafah dan prinsip ditubuhkan untuk patuh kepada Allah SWT sebagai Pencipta. Kedua, melaksanakan ibadah asas seperti solat, puasa dan zakat.
Ketiga, tidak mensyirikkan Allah SWT. Keempat, pemilikan institusi oleh orang Islam yang menerima Islam sebagai strategi pengurusan. Kelima, pelaksanaan aktiviti institusi dan aktiviti sokongan selari dengan prinsip-prinsip Islam. Keenam, aktiviti kewangan tidak terlibat dengan riba, perjudian, kecurian, pecah amanah, penipuan dan
125
sebagainya. Ketujuh, tidak terlibat dengan kesalahan besar seperti perzinaan, arak, perjudian, meramal nasib dan sebagainya.
Kajian oleh Fadzila Azni Ahmad (2010) menumpukan tentang kaedah pengurusan di IPBI terpilih di Malaysia. Pemilihan IPBI dalam kajian tersebut dibuat atas beberapa kriteria utama. Fadzila Azni Ahmad (2010:139) telah mempertimbangkan dua kriteria untuk menetapkan IPBI yang utama. Pertama, falsafah penubuhan institusi adalah tidak bertentangan dengan falsafah dan konsep asas PBI. Kriteria ini amat penting untuk dipertimbangkan supaya institusi yang dipilih dapat dipastikan memenuhi ciri-ciri sebagai sebuah IPBI. Hal ini juga penting untuk menentukan sejauh manakah komitmen institusi untuk menerapkan nilai-nilai Islam dalam setiap aspek di institusi termasuklah aspek program latihan dalam pengurusan insan.
Kriteria kedua, terdapat fakta-fakta yang mencirikan institusi sebagai IPBI yang utama berbanding dengan IPBI yang lain. Fakta yang dinyatakan merangkumi pengiktirafan atau penerimaan mandat penuh daripada pihak kerajaan untuk mengurus aspek pembangunan daripada jenisnya secara Islam atau pencirian khusus dan penganugerahan yang diterima oleh institusi untuk menggambarkan program latihan dalam pengurusan insan tertentu yang sedang dilaksanakan di institusi berkenaan; atau tempoh masa penubuhannya sebagai IPBI sudah cukup lama untuk institusi tersebut mencapai kemandirian dan kematangan dari aspek pengurusannya. Tempoh sepuluh tahun ditetapkan sebagai tempoh masa yang dimaksudkan (Fadzila Azni Ahmad, 2010:139-140).
126
Selain membuat pertimbangan terhadap kedua-dua kriteria tersebut, pengkaji dalam kajian ini turut memastikan jenis-jenis institusi utama dalam konteks PBI diwakili sekurang-kurangnya oleh sebuah institusi sebagaimana yang telah diterangkan dalam Bab 1. Selain itu, institusi yang dipilih tidak semestinya IPBI yang utama. Terdapat IPBI yang dipilih hanyalah sebahagian daripada institusi utama yang bukan berteraskan Islam sepenuhnya tetapi masih meletakkan Islam sebagai asas utama pembangunan institusi tersebut.
Dengan mengambil kira pertimbangan-pertimbangan tersebut, sebanyak sepuluh IPBI telah dipilih mengikut jenis-jenis institusi tersebut. Selain itu, setelah sepuluh IPBI tersebut dipilih, pihak penyedia program latihan pula disoroti secara ringkas pada setiap IPBI tersebut. Seterusnya, aspek-aspek utama dalam program latihan dalam pengurusan insan ILIM yang diguna pakai di IPBI terpilih ini dianalisis berdasarkan asas-asas program latihan dalam pengurusan insan berteraskan Islam. Senarai kesemua sepuluh IPBI dan justifikasi pemilihan yang menjadi sampel kajian ditunjukkan dalam Jadual 3.2.
Jadual 3.2: Senarai IPBI dan Justifikasi Pemilihan IPBI yang Menjadi Sampel Kajian
Jenis Institusi Nama Institusi/ Justifikasi Pemilihan Peribadatan Masjid Putra
• Ditubuhkan pada 1 September 1999 (18 tahun)
• Masjid model negara
• Visi: Menjadikan Masjid Putra sebagai institusi ibadah, perkembangan ilmu dan pembangunan perpaduan ummah menjelang tahun 2014
• Misi: Memastikan pengurusan masjid yang cekap dan berkesan
127 Sambungan Jadual 3.2
Pendidikan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
• Ditubuhkan pada 18 Februari 1992 (25 tahun).
• Pusat Penyelidikan dan sumber kefahaman Islam.
• Visi: Untuk menjadi sebuah institusi yang cemerlang dalam merangka dan melaksanakan perancangan kerja yang teratur ke arah peningkatan kefahaman Islam.
• Misi: Berusaha meningkatkan kefahaman Islam dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam dengan
menyerlahkan nilai sejagat dan kesemua rangkuman Islam yang benar dan berhubung kait dengan kehidupan manusia.
• Menerima persijilan MS ISO 9001: 2000 pada tahun 2004 daripada SIRIM.
Perbankan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)
• Ditubuhkan pada tahun 1983 (34 tahun).
• Bank Islam pertama di Malaysia.
• Visi: Menjadi Pemimpin Global dalam Perbankan Islam.
“Pemimpin Global” ditakrifkan sebagai panduan dan sumber rujukan utama bagi produk dan perkhidmatan yang inovatif berlandaskan prinsip Syariah.
• Misi:
o Beriltizam untuk terus membangun dan memperbaharui penyelesaian kewangan yang diterima sejagat sejajar dengan prinsip Syariah.
o Menawarkan pulangan yang munasabah dan mapan kepada para pemegang saham.
o Menyediakan persekitaran kerja yang kondusif dan menjadi Majikan Pilihan bagi mereka yang berbakat besar.
o Menghasilkan penyelesaian kewangan yang lengkap bertaraf global melalui penggunaan teknologi canggih terkini.
o Menjadi warga korporat yang bertanggungjawab dan berhemat.
• Menerima anugerah “Bank Islam Terbaik” Asia daripada The European Global Banking and Finance Awards 2015.
• Menerima anugerah “Bank Islam Terbaik Malaysia”
daripada The International Banker Asia and Australasia Banking Awards 2015.
• Menerima anugerah Penyedia Khidmat Pelanggan Terbaik Asia dalam Anugerah International Banker 2014.
• Salah seorang pekerjanya, Mohd Nazri Chik menerima anugerah Pegawai Bank Muda Berpotensi dalam Anugerah The Asian Banker 2014.
• Salah seorang pentadbirnya, Dato’ Sri Zukri Samat menerima anugerah CEO Bank Terbaik Asia dalam Anugerah International Banker 2014.
128 Sambungan Jadual 3.2
Kewangan Lembaga Tabung Haji (LTH)
• Ditubuhkan pada tahun 1962 (55 tahun).
• Institusi pengurusan dan pengendalian haji dan umrah rasmi bagi kerajaan Malaysia.
• Visi: Tonggak kejayaan ekonomi ummah, pengurusan haji terbilang
• Misi:
o Memperkasa ekonomi ummah.
o Sentiasa giat mencari pelaburan strategik global dan tempatan bagi pertumbuhan berterusan.
o Menggembleng dan memperkaya modal pendeposit.
o Memberikan perkhidmatan cemerlang yang berterusan.
o Memudah dan menyempurnakan urusan jemaah ke arah haji mabrur.
o Memberi pulangan yang kompetitif, halal dan toyyiban.
• Menerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri bagi sektor awam pada tahun 1995.
• Menerima Anugerah Kualiti Antarabangsa Asia Pasifik 1999, anugerah kualiti tertinggi bertaraf dunia berikutan keupayaannya menyediakan kualiti pengurusan keseluruhan yang cemerlang.
Sosioekonomi Pusat Pungutan Zakat (PPZ)
• Ditubuhkan pada tahun 1991 (26 tahun).
• Visi: Menjadi sebuah institusi zakat yang unggul dan menjadi salah satu teras sosioekonomi umat Islam berlandaskan:
o Perkhidmatan yang berkualiti.
o Pengurusan korporat yang mantap dan berdaya maju.
o Penggunaan teknologi terkini.
o Penggemblengan dan pembangunan sumber manusia.
o Pertalian yang erat dengan semua pihak.
• Misi:
o Meningkatkan pungutan zakat.
o Memudahkan pembayaran zakat.
o Mendidik masyarakat Islam tentang tanggungjawab berzakat.
o Memperkenalkan sistem pungutan zakat berkomputer.
o Memperkenalkan cara korporat dalam pengurusan memungut zakat.
129 Sambungan Jadual 3.2
Pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
• Ditubuhkan pada tahun 1968 (49 tahun).
• Merupakan badan rasmi kerajaan yang menggembleng usaha pembangunan dan kemajuan umat Islam di Malaysia.
• Visi: Peneraju dalam membina ketamadunan ummah yang unggul.
• Misi: Mewujudkan pengurusan hal ehwal yang cekap dan berkesan.
• Membangun dan memperkenalkan MS ISO 1500: 2004 – Piawaian antarabangsa makanan halal berkualiti dengan kerjasama Jabatan Piawaian Malaysia, IKIM dan SIRIM.
Perubatan Pusat Rawatan Islam Sdn Bhd (PUSRAWI)
• Ditubuhkan pada tahun 1984 (33 tahun).
• Hospital Islam pertama di Malaysia.
• Visi: Hospital swasta cemerlang menjadi pusat rujukan yang diutamakan, serta mampu dibiayai dan dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat.
• Misi: Sebuah hospital swasta yang memenuhi tuntutan fardu kifayah menerusi perkhidmatan cemerlang dan profesional, teknologi terkini, tenaga kerja yang berdedikasi bagi memenuhi kehendak pelanggan.
Perundangan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM)
• Ditubuhkan pada November 1998 (19 tahun).
• Penyelaras perundangan Islam, prosedur kehakiman dan aktiviti mahkamah-mahkamah syariah di seluruh negara.
• Visi: Memartabatkan institusi kehakiman Syariah dalam sistem kehakiman dan perundangan negara.
• Misi: Meningkatkan kecekapan dan keseragaman dalam sistem pentadbiran kehakiman Syariah di seluruh Malaysia.
• Menerima persijilan MS ISO 27001: 2007 pada tahun 2007 dan persijilan MS ISO 9001: 2008 pada tahun 2008 daripada SIRIM.
• Menerima Anugerah Portal Kerajaan Elektronik Terbaik dari tahun 2005 hingga tahun 2015 dalam kalangan portal dan laman web kerajaan yang lain.
Kemasyarakatan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
• Ditubuhkan pada tahun 1997 (20 tahun).
• Pengendali masalah kepenggunaan masyarakat Islam di Malaysia.
• Visi: Memelihara dan membela hak dan mengembalikan maruah para pengguna Islam melalui pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang proaktif dan berstrategi.
• Misi: Menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi umat Islam dan ekonomi Malaysia sebagai ikhtiar bagi menjana perubahan yang positif dalam kehidupan ummah.
• Membangunkan asas-asas piawaian kualiti antarabangsa Islam ISI 2020 bersama Institut Penyelidikan Piawaian Islam (RISIS).
130 Sambungan Jadual 3.2
Ketenteraan Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT)
• Ditubuhkan pada tahun 1985 (32 tahun).
• Visi: Menjadi penjana kecemerlangan pembangunan kerohanian modal insan ATM yang unggul.
• Misi: Meningkatkan tahap profesionalisme ATM melalui pendidikan Islam dan perkhidmatan keagamaan.
• Menerima persijilan MS ISO 9000: 2000 pada tahun 2008 daripada SIRIM.
• Melaksanakan Dasar Pembinaan Mental dan Kerohanian ATM (PMAT) 9/91.
Sumber: Masjid Putra (2017), IKIM (2017), BIMB (2017), LTH (2017), PPZ (2017), JAKIM (2017), PUSRAWI (2017), JKSM (2017), PPIM (2017) dan KAGAT (2017).