1.5 PERSOALAN KAJIAN
1.6.1 Program Latihan
Pendefinisian kata kunci program latihan telah banyak dilakukan oleh para penyelidik dan penulis sama ada global atau tempatan. Dari aspek penyelidik dan penulis global, ia telah didefinisikan oleh beberapa sarjana Barat dalam bidang pengurusan seperti Beach (1980), Jucius (1954), Flippo (1961) dan Yoder (1942). Beach (1980) mendefinisikan program latihan sebagai satu prosedur yang dilakukan untuk menjadikan seseorang berpengetahuan dan meningkatkan kemahiran dalam sesuatu bidang mengikut keperluan. Jucius (1954) berpendapat bahawa program latihan merupakan proses yang dilakukan untuk meningkatkan bakat, kemahiran dan kebolehan pekerja dalam sesuatu pekerjaan.
Menurut Flippo (1961) pula, program latihan merupakan tindakan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pekerja dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Yoder (1942) pula berpendapat, program latihan merupakan proses melengkapkan seseorang manusia dengan sesuatu kemahiran bekerja yang perlu dilakukan olehnya. Secara umumnya, pendefinisian program latihan oleh para sarjana
42
Barat ini dapat disimpulkan sebagai meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan keupayaan pekerja untuk melakukan sesuatu tugas atau pekerjaan. Dalam institusi konvensional, program latihan diperlukan untuk meningkatkan produktiviti kerja dalam kalangan pekerjanya.
Dari aspek penyelidik dan penulis tempatan pula, terdapat beberapa penyelidik dan penulis telah mendefinisikan program latihan. Menurut Md. Zhahir Kechot (2000:134), Poon (2002:78), Ab. Aziz Yusof (2006:126) dan Mumtaz Begam Abdul Kadir (2009:101), program latihan merujuk kepada usaha yang dilakukan oleh sesebuah institusi untuk menyediakan kemudahan pembelajaran kepada pekerja dalam institusi. Program latihan mempunyai matlamat berikut. Pertama, menanamkan kesedaran dalam diri individu; kedua, mempertingkatkan kemahiran seseorang pekerja dalam satu atau lebih bidang kepakaran; dan ketiga, meningkatkan motivasi seseorang pekerja supaya dapat menjalankan kerjanya dengan lebih baik.
Dalam institusi, program latihan merupakan satu proses pembelajaran yang disusun untuk mengubah sikap, mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran pekerja agar prestasi kerja mereka dapat dipertingkatkan. Oleh sebab institusi kebiasaannya menghadapi pelbagai masalah pekerja yang rendah prestasinya, fungsi utama program latihan adalah untuk cuba mengatasi masalah ini. Kebanyakan institusi merencanakan program latihan atas kepercayaan bahawa program latihan dapat mengatasi segala masalah berkaitan dengan pekerja dalam institusi (Ibrahim Mamat, 1996:3).
Menurut Rozhan Othman (1991:69) dan Ishak Mad Shah (2002:181), program latihan ialah segala usaha yang dilakukan oleh institusi untuk meningkatkan kemampuan
43
seseorang untuk melaksanakan tugasnya atau memainkan peranan yang telah ditetapkan oleh institusi. Program latihan juga boleh dikatakan merupakan aktiviti berencana sesebuah institusi untuk meningkatkan pengetahuan dan perlakuan sosial pekerjanya supaya selari dengan matlamat institusi. Aktiviti tersebut merangkumi kemahiran fizikal yang mudah sehinggalah kepada pembentukan dan perubahan sikap yang kompleks.
Walau bagaimanapun, konsep program latihan boleh dijelaskan menerusi lima ciri iaitu pertama, satu proses pembelajaran yang mempunyai isi kandungan yang khusus;
kedua, matlamatnya bersifat segera dan berorientasikan kerja; ketiga, tempohnya singkat tetapi berlanjutan; keempat, kaedah pelaksanaannya secara formal dan tidak formal tetapi berencana; dan kelima, matlamatnya adalah untuk pembangunan diri pekerja sama ada dari aspek psikologikal atau kognitif. Program latihan lebih tertumpu kepada usaha menyediakan pekerja secara khusus bagi tugas yang telah diberikan kepadanya. Dalam program pembangunan pula, perkara yang disampaikan kepada seseorang tidak diperlukan bagi tugas yang dipikulnya pada ketika itu, tetapi akan dapat memperkayakan pengetahuan dan kemahiran seseorang pekerja. Program latihan lebih berorientasikan masa kini dan pembangunan pula berorientasikan masa hadapan, iaitu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh adalah untuk penggunaan masa hadapan.
Rossilah Jamil (2008:2) pula mendefinisikan program latihan sebagai satu intervensi formal dan terancang yang dilakukan oleh institusi bertujuan membekalkan pekerjanya dengan kemahiran, pengetahuan dan keupayaan yang diperlukan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan berkesan agar matlamat institusi dapat
44
dicapai. Kemahiran merujuk kepada sesuatu kecekapan yang perlu dimiliki oleh pekerja untuk melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan mudah dan berkesan. Pengetahuan bermaksud pemahaman asas mengenai konsep atau prinsip-prinsip yang berkaitan dengan sesuatu subjek atau bidang. Keupayaan pula bermaksud kemampuan pekerja melakukan fungsi fizikal atau mental yang diperlukan dalam sesuatu tugas.
Terdapat beberapa orang penyelidik yang mendefinisikan program latihan dari perspektif Islam. Antaranya ialah Ilhaamie Abdul Ghani Azmi (2013:10) dan Abderrahman Hassi (2012:1038) yang berpendapat program latihan dari perspektif Islam merupakan kegiatan yang dilakukan selepas seseorang diambil bekerja dan tujuan utama program latihan dalam Islam bukan semata-mata untuk melatih minda, tetapi juga untuk melatih rohani dan juga fizikal. Teknik-teknik latihan dan ciri-ciri pelatih juga penting dalam Islam seperti menekankan aspek-aspek kerohanian terlebih dahulu sebelum melakukan latihan minda dan fizikal. Minda tidak dapat dilatih dengan baiknya sekiranya rohani tidak dilatih terlebih dahulu kerana kerohanian yang baik akan mencetuskan minda dan fizikal yang baik. Definisi yang dikemukakan tersebut diperkukuhkan lagi dengan pandangan Hisham Altalib (1991:9) yang menyatakan bahawa program latihan menurut Islam merupakan satu set aktiviti yang bertujuan mendidik, merangsang, meninggikan status kerohanian dan meningkatkan kemahiran para pelatih dalam kepimpinan dan penyampaian dakwah.
Mohd Yusri Ngah (2004:140) pula memperincikan definisi tersebut dengan menyatakan bahawa program latihan berteraskan Islam merupakan usaha-usaha untuk mempertingkatkan daya pengabdian seseorang pekerja kepada Allah SWT.
Usaha-45
usaha yang dimaksudkan adalah seperti kemahiran, pengetahuan, kebolehan dan sebagainya yang dituntut pada setiap individu pekerja Muslim berdasarkan dua aspek hubungan iaitu hubungan dengan Allah SWT (h}abl min Alla>h) dan hubungan dengan manusia (h}abl min al-na>s). Dalam konteks sesebuah institusi, hubungan dengan manusia (h}abl min al-na>s) dapat diertikan sebagai memegang tanggungjawab untuk organisasi, ketua dan orang bawahannya sekali gus meletakkan dirinya bersedia dengan mana-mana latihan yang diperlukan dari masa ke masa.
Nordin Ahmad (2012:58) pula menyatakan bahawa program latihan dari perspektif Islam merupakan satu proses pentarbiahan diri, pengislahan kendiri menuju ketakwaan dan pengabdian diri yang abadi kepada Allah SWT dan ia juga merupakan satu mekanisme bagi mengubah individu daripada satu keadaan kepada satu keadaan yang lebih baik ke arah membentuk ummah yang terbaik. Huraian dan perbincangan berkenaan definisi-definisi program latihan dari perspektif Islam tersebut mendapati bahawa definisi yang dikemukakan oleh Hisham Altalib (1991), Mohd Yusri Ngah (2004), Abderrahman Hassi (2012:1038), Nordin Ahmad (2012:58) dan Ilhaamie Abdul Ghani Azmi (2013:10) menepati definisi program latihan yang diguna pakai dalam kajian ini.
Oleh itu, dalam konteks kajian ini, program latihan ditakrifkan sebagai sebarang usaha latihan yang berunsurkan dan berteraskan keIslaman dan kerohanian tanpa mengetepikan aspek jasmani yang dirancang atau dilaksanakan oleh sesebuah institusi yang bertujuan membangunkan keperibadian seseorang insan atau pekerja yang dapat menghayati konsep hidup sebagai hamba dan khalifah Allah SWT.
46 1.6.2 Pengurusan Insan
Pengurusan insan adalah berbeza daripada pengurusan sumber manusia dan pengurusan modal insan kerana pengurusan insan tidak terpisah antara keperluan material dan spiritual serta merangkumi aspek yang lebih luas dalam konteks fungsi manusia dan menuju matlamat yang lebih holistik (Ismail Abdullah Siputeh, 2006).
Menurut Ahmad Shukri Mohd Nain dan Rosman Md Yusoff (2003), pengurusan insan meliputi aspek moral, spiritual, ekonomi, politik, sosial serta mementingkan kerohanian, nilai dan material yang dilaksanakan secara bersepadu. Setiap aspek pengurusan insan tersebut berasaskan tasawur Islam sama ada dari aspek prinsip, kaedah, pelaksanaan dan matlamatnya.
Lenny Luat (2013:95) mendefinisikan pengurusan insan sebagai satu proses pengemaskinian dan penambahbaikan kualiti tenaga kerja dengan ilmu, kemahiran, minda, sikap dan perwatakan yang bersesuaian dengan realiti dan perubahan yang berlaku demi kelangsungan, peningkatan produk dan daya saing dalam institusi.
Pengurusan insan seharusnya membentuk insan supaya selari dan bertepatan dengan tasawur Islam yang sebenarnya dan seimbang dari aspek pengetahuan dan pengamalan ilmu fardu ain dan fardu kifayahnya. Dalam erti kata lain, pengurusan insan mementingkan dan menyeimbangkan antara aspek jasmani dengan rohani. Dalam sesebuah institusi, keseimbangan kualiti pekerja antara ilmu, kemahiran, minda, sikap dengan perwatakan yang merangkumi aspek jasmani dan rohani amat penting bagi pengurusan insan.
47
Pengurusan insan merupakan satu aspek penting dalam pelaksanaan pengurusan berteraskan Islam kerana tahap keimanannya yang menjadi ukuran kejayaan iaitu kejayaan di dunia dan di akhirat yang menjurus kepada matlamat utama dan akhir setiap hamba dan khalifah Allah SWT, iaitu mard}a>t Alla>h atau keredaan Allah SWT (Chek Mat, 2010:79; Fadzila Azni Ahmad, 2013:58). Bagi mencapai matlamat tersebut, manusia perlu menjadikan peranan dan tanggungjawabnya dalam aspek pengurusan sebagai manifestasi untuk menunaikan tanggungjawab iaitu melibatkan tiga dimensi hubungan iaitu pertama, hubungan manusia dengan Pencipta iaitu Allah SWT (h}abl min Alla>h); kedua, hubungan manusia sesama manusia dan sumber alam (h}abl min al-na>s) dan; ketiga, hubungan mendalam yang melibatkan keseimbangan komponen-komponen dalaman manusia seperti hati, akal, nafsu dan roh (Abu Hamid Al-Ghazaliy, 1973; Muhammad Syukri Salleh, 1990:31; Fadzila Azni Ahmad, 2013:58; Ghazali Basri, 2017:31).
Berdasarkan definisi-definisi yang dikemukakan, definisi pengurusan insan yang diguna pakai dalam kajian ini ialah proses pengemaskinian dan penambahbaikan kualiti tenaga kerja dengan ilmu, kemahiran, minda, sikap dan perwatakan yang bersesuaian dengan realiti dan perubahan yang berlaku demi kelangsungan, peningkatan produk dan daya saing dalam institusi selain membentuk insan supaya selari dan bertepatan dengan tasawur Islam yang sebenarnya dan seimbang dari aspek jasmani dan rohani serta pengetahuan dan pengamalan ilmu fardu ain dan fardu kifayahnya. Pengurusan insan juga melibatkan tiga dimensi hubungan iaitu pertama, hubungan manusia dengan Pencipta iaitu Allah SWT; kedua, hubungan manusia sesama manusia dan sumber alam dan; ketiga, hubungan mendalam yang melibatkan keseimbangan komponen-komponen dalaman manusia.
48
Dalam konteks kajian ini, penggunaan istilah program latihan dan istilah pengurusan insan digabungkan dan istilah program latihan dalam pengurusan insan digunakan secara konsisten untuk menunjukkan program latihan merupakan satu cabang atau medium utama dalam aspek pengurusan insan. Oleh yang demikian, berdasarkan definisi program latihan dan definisi pengurusan insan yang telah dinyatakan dalam 1.6.1 dan 1.6.2, dapat dirumuskan definisi program latihan dalam pengurusan insan yang diguna pakai dalam kajian ini.
Definisi program latihan dalam pengurusan insan yang diguna pakai dalam kajian ini ialah semua bentuk dan kaedah latihan yang berunsurkan dan berteraskan keIslaman dan kerohanian tanpa mengetepikan aspek jasmani dan menjadi sebahagian daripada proses pengemaskinian dan penambahbaikan kualiti tenaga kerja dengan ilmu, kemahiran, minda, sikap dan perwatakan yang bersesuaian dengan realiti dan perubahan yang berlaku demi kelangsungan, peningkatan produk dan daya saing dalam institusi selain membentuk insan supaya bertepatan dengan tasawur Islam yang sebenarnya.