• Tidak ada hasil yang ditemukan

KAJIAN LEPAS DAN SOROTAN KARYA

2.2 KAJIAN LEPAS

2.2.2 Kajian Program Latihan

Banyak kajian mengenai program latihan telah dilakukan meliputi pelbagai aspek, sama ada secara teoretikal mahupun secara empirikal. Berdasarkan penelitian yang dilaksanakan, kajian-kajian ini boleh dibahagikan kepada beberapa tema kajian tertentu. Pertama, kajian asas dan konsep program latihan. Kedua, kajian yang menumpukan aspek pengurusan dan pelaksanaan program latihan. Ketiga, kajian penilaian keberkesanan dan kepentingan program latihan dan; keempat, kajian yang menumpukan kepada program latihan dari perspektif Islam.

65

2.2.2(a) Kajian Asas dan Konsep Program Latihan

Kajian asas dan konsep program latihan merupakan kajian yang berbentuk teoretikal.

Kajian sebegini khusus dilaksanakan bagi meneliti aspek asas-asas, konsep dan komponen program latihan. Kajian mengenai asas dan konsep program latihan ini telah dilakukan oleh Rowe (1996), Garavan (1997) dan Khairunneezam Mohd Noor (2004).

Kajian oleh Rowe (1996), Garavan (1997) dan Khairunneezam Mohd Noor (2004) ini hanya tertumpu kepada asas-asas, konsep dan komponen program latihan dalam aspek jasmani iaitu kemahiran, pengetahuan dan keupayaan para pekerja dalam pekerjaannya semata-mata dan tidak meneliti secara terperinci asas-asas dan konsep program latihan dari aspek rohani para pekerja.

2.2.2(b) Kajian Pengurusan dan Pelaksanaan Program Latihan

Terdapat juga kajian yang meneliti aspek pengurusan dan pelaksanaan program latihan. Abdalla dan Al-Homoud (1995), Al-Bahar, Peterson dan Taylor (1996), Heraty (1998), Abu-Doleh (2004) dan Kougias, Seremeti dan Kalogeras (2013) telah meneliti aspek pengurusan dan pelaksanaan program latihan dalam institusi secara umum. Abdalla dan Al-Homoud (1995) meneliti aspek pengurusan dan pelaksanaan program latihan di institusi-institusi kerajaan dan swasta di Kuwait. Vine dan Matthews (1963) dan Heraty (1998) meneliti aspek pengurusan dan pelaksanaan program latihan di institusi-institusi di Eropah dengan masing-masing memfokuskan Ireland dan Britain. Kougias, Seremeti dan Kalogeras (2013) pula meneliti dalam konteks yang lebih luas iaitu aspek pengurusan dan pelaksanaan program latihan di institusi-institusi utama di Eropah. Subhadra Ganguli dan Reem Hameed Matar (2016)

66

dan Al-Bahar, Peterson dan Taylor (1996) pula lebih memfokuskan aspek pengurusan dan pelaksanaan program latihan di institusi-institusi di Bahrain dan pengaruh budaya setempat terhadap aspek tersebut. Abu-Doleh (2004) pula meneliti aspek pengurusan dan pelaksanaan program latihan di institusi-institusi kerajaan dan swasta di Jordan.

Dalam konteks pelaksanaan program latihan di negara-negara Afrika, Damoah, Ashie dan Kekesi (2016) melihat kecenderungan untuk menyertai program latihan di Ghana manakala Ndedi ( 2013), menilai cabaran dalam pelaksanaan program latihan di Afrika Selatan.

Mayfield (2011) dan Main Rindam, Wan Fazah Wan Ahmad, Mohamad Hashim Othman dan Azmi Hassan (2013) meneliti aspek pengurusan dan reka bentuk program latihan dalam sesebuah institusi secara khusus. Adamson (1996) menyatakan bahawa aspek kewangan merupakan aspek paling penting dalam pengurusan dan pelaksanaan program latihan. Horwitz (1999) memfokuskan strategi dalam mengurus dan melaksanakan program latihan. Terdapat penyelidik yang memfokuskan aspek pengurusan dan pelaksanaan program latihan dalam bidang-bidang atau institusi-institusi tertentu. Abd. Main Salimon (1989) misalnya, menumpukan program latihan dalam institusi pendidikan. Ablah et al. (2008) pula meneliti aspek pengurusan dan pelaksanaan program latihan bagi pekerja yang terlibat dalam institusi perubatan. Fadli Abdullah dan Md Sidin Ahmad Ishak (2010) dan Abrudan, Lazar dan Munteanu (2012) dalam kajian mereka meneliti aspek pengurusan dan pelaksanaan program latihan bagi pelajar-pelajar yang mengikuti program latihan industri dalam institusi.

Pengurusan program latihan yang berbentuk informal merupakan antara aspek yang telah diteliti oleh penyelidik seperti Adanan Mat Junoh, Mohd Azhar Abd Hamid,

67

Mohamad Najib Abdul Ghafar dan Zainudin Hassan (2009). Acton (2003) menumpukan perhatian terhadap pengurusan dan program latihan terhadap pekerja-pekerja yang telah berpengalaman dan mahir dalam institusi. Browell (1996) dan Md.

Faruk Abdullah (2012) pula melihat pengurusan program latihan dari perspektif undang-undang. Walau bagaimanapun, masih belum terdapat penyelidik yang mengkaji kaedah pengurusan dan pelaksanaan program latihan yang berteraskan keIslaman dan kerohanian. Kebanyakan kaedah yang dilaksanakan lebih menumpukan aspek fizikal seperti pengetahuan, keupayaan dan kemahiran pekerja dalam melaksanakan bidang tugasannya.

2.2.2(c) Kajian Penilaian Keberkesanan dan Kepentingan Program Latihan

Selain kajian mengenai pengurusan dan pelaksanaan program latihan, kajian penilaian keberkesanan dan kepentingan program latihan dalam institusi turut mendapat perhatian. Aspek penilaian keberkesanan program latihan boleh dibahagikan kepada beberapa tema kecil. Antaranya adalah aspek penilaian keberkesanan program latihan yang telah dilaksanakan oleh beberapa penyelidik seperti Suzuki (1986) yang menilai keberkesanan program latihan pekerja yang dilaksanakan di Jepun. Syaiful Nizam Ab Rahim (1993) pula telah meneliti keberkesanan program latihan di Politeknik-politeknik Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Olufemi (2009) pula telah meneliti keberkesanan program latihan pekerja dalam institusi perbankan di Nigeria.

Adamson (1996) telah menilai program latihan dari aspek kewangan. Beliau menyatakan bahawa program latihan yang terbaik adalah yang paling murah dan jimat tetapi mempunyai impak positif terhadap pekerja dan institusi yang paling tinggi.

68

Abdul Latif Abdul Kadir dan Maimunah Ismail (1997), Burden dan Proctor (2000), Wan Idrus Wan Sulaiman (2001), Zakaria Ismail, Abdullah Omar dan Khulida Kirana Yahya (2003); Azlah Md Ali et al. (2009) dan Cameron dan Grant (2017) meneliti hubungan keberkesanan program latihan dengan prestasi pekerja dalam sesebuah institusi. Secara keseluruhannya, mereka mendapati bahawa prestasi pekerja dalam sesebuah institusi dipengaruhi oleh keberkesanan program latihan yang dilaksanakan.

Walau bagaimanapun, Abdul Latif Abdul Kadir dan Maimunah Ismail (1997) menyatakan program latihan yang diadakan perlu ditambah baik supaya ia mampu menarik minat lebih ramai pekerja untuk mengikutinya. Tai (2006), Ghosh et al.

(2011), Ellström dan Ellström (2014) dan Robson dan Mavin (2014) menilai keberkesanan program latihan pekerja dan hubungannya dengan reaksi pekerja. Ghosh et al. (2012), Harris, Chung, Hutchins dan Chiaburu (2014); dan, Cameron dan Grant (2017) menilai keberkesanan program latihan pekerja dan hubungannya dengan ciri-ciri dan sifat jurulatih.

Bagshaw (1996), meneliti keberkesanan program latihan pekerja dalam membentuk hubungan yang positif antara pekerja dan institusi manakala García, Lajara, Sempere dan Lillo (2013), menilai keberkesanan program latihan pekerja dan hubungannya dengan prestasi institusi. Selain itu, dari aspek kepentingan program latihan, Bagshaw (1996) dan, Aguinis dan Kraiger (2009) meneliti kepentingan-kepentingan program latihan kepada pekerja dan institusi. Acemoglu dan Pischke (2000) pula meneliti kepentingan persijilan program latihan dan menilai keberkesanan program latihan terhadap pekerja.

69

Berdasarkan perbincangan yang telah dilakukan, aspek penilaian keberkesanan dan kepentingan program latihan telah banyak dikaji oleh para penyelidik dengan beberapa tema kecil iaitu hubungan keberkesanan program latihan dengan aspek kewangan institusi, prestasi pekerja, prestasi institusi, jurulatih dan hubungan antara pekerja dengan institusi. Hasil penelitian juga mendapati bahawa, matlamat kebanyakan institusi adalah untuk meningkatkan tahap produktiviti para pekerja bagi memperoleh keuntungan dalam aspek material secara maksimum. Oleh yang demikian, dalam kebanyakan kajian, keberkesanan dinilai melalui keuntungan atau faedah yang diperoleh oleh institusi dan dari perspektif pekerja, melalui kemahiran dan tahap produktiviti mereka dalam melaksanakan tugasan dan aspek-aspek rohani bukanlah menjadi keutamaan.

2.2.2(d) Kajian Program Latihan dari Perspektif Islam

Program latihan menurut perspektif Islam merupakan antara aspek yang turut menjadi pilihan para penyelidik walaupun jumlahnya masih sedikit. Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian ini masih dalam peringkat konsep, penelitian-penelitian awal dan yang ada hanya menilai program latihan konvensional dari perspektif Islam.

Abderrahman Hassi (2012) telah mengemukakan asas-asas dan teori program latihan pekerja menurut perspektif Islam. Seterusnya, Abbas J. Ali dan Abdullah al-Owaihan (2008), Junaidah Hashim (2009), Abbas J. Ali (2010), Bilal Khan et al. (2010), Mellahi dan Budhwar (2010) dan Mohamed Branine dan Pollard (2010) telah meneruskan penelitian terhadap program latihan dari perspektif Islam dan cabarannya dalam institusi moden masa kini. Akdere, Russ-Eft dan Eft (2006) pula melihat aspek

70

hubungan dengan Allah SWT (h}abl min Alla>h) dalam pelaksanaan program latihan pekerja dalam institusi.

Di Malaysia, belum banyak kajian dijalankan mengenai program latihan menurut perspektif Islam. Antara kajian yang telah dijalankan ialah oleh Mohd Yusri Ngah (2004) dan Ilhaamie Abdul Ghani Azmi (2010) yang telah meneliti pelaksanaan program latihan di institusi Islam di Malaysia manakala Junaidah Hashim (2010) telah meneliti hubungan antara komitmen institusi dengan program latihan pekerja dari perspektif Islam. Zulkifli Mohd Sidi dan Mohd Nor Mamat ( 2016) pula meneliti aspek pelaksanaan program latihan teknikal dan vokasional berdasarkan pensejarahan dari perspektif Islam dan merumuskan bahawa pengamalan dan praktis latihan kemahiran dan vokasional perlu berkonsepkan ilmu, iman dan amal dan bertepatan dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kajian mengenai komponen-komponen asas dalam program latihan pula telah dilakukan oleh Ab. Halim Tamuri, Muhamad Faiz Ismail dan Kamarul Azmi Jasmi (2012a) dan Ab. Halim Tamuri, Muhamad Faiz Ismail dan Kamarul Azmi Jasmi (2012b).

Melalui perbincangan yang dilakukan daripada tinjauan kajian lepas mengenai program latihan mendapati bahawa telah banyak kajian berkenaan program latihan dalam pelbagai aspek dan subjek kajian. Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian hanya memfokuskan kajian mengenai program latihan dari aspek asas dan konsep program latihan berbentuk fizikal. Selain itu, kebanyakan kajian yang menumpukan aspek pengurusan dan pelaksanaan program latihan hanya meneliti aspek program latihan yang tertumpu kepada aspek kemahiran, pengetahuan dan keupayaan semata-mata. Kajian mengenai penilaian keberkesanan dan kepentingan program latihan juga

71

kebanyakannya tertumpu kepada aspek penilaian keberkesanan dan kepentingan program latihan terhadap pembangunan fizikal pekerja dan terhadap pembangunan material institusi semata-mata. Kajian yang menumpukan program latihan dari perspektif Islam kebanyakannya masih dalam peringkat konsep, penelitian-penelitian awal dan yang telah ada hanya menilai program latihan konvensional dan berbentuk fizikal dari perspektif Islam. Oleh yang demikian, lompang kajian yang wujud ini perlu diisi dengan melaksanakan kajian selanjutnya bagi meneliti program latihan yang lebih menyeluruh yang berteraskan kedua-dua aspek fizikal dan rohani dari perspektif Islam.