Perbincangan sebelum ini memperlihatkan bahawa pentingnya program latihan dalam pengurusan insan yang meletakkan keutamaan terhadap aspek pembangunan rohani dalam sesebuah institusi termasuklah IPBI. Akibat pengabaian program latihan dalam aspek kerohanian ini, senario masa kini memperlihatkan wujudnya pekerja yang semakin terhakis nilai-nilai kerohanian sekali gus melakukan perkara-perkara yang boleh menghilangkan kepercayaan awam.
Antara contoh kemerosotan aspek rohani dan sahsiah adalah seperti terdapat pekerja yang melakukan rasuah, tidak berdisiplin, ponteng kerja, melakukan penipuan, merosakkan reputasi penjawat awam, terlibat dengan salah laku, pecah amanah dan banyak lagi perkara yang menggambarkan aspek kerohanian dan sahsiah pekerja semakin menurun (Muhammad Nubli Abdul Wahab, 2008:24). Bahkan, terdapat pekerja Muslim yang tidak memahami status dan peranan sebenar kewujudannya di dunia ini iaitu sebagai hamba dan khalifah Allah SWT (Nik Azis Nik Pa, 2007:31).
26
Jadual 1.1: Kedudukan 100 Negara dalam IPR Tahun 2016
Sumber: Indeks Persepsi Rasuah (2017).
Jadual 1.1 menunjukkan kedudukan 100 buah negara dunia dalam IPR pada tahun 2016 yang dikeluarkan oleh Transperancy International.10 Jadual 1.1 tersebut menunjukkan bahawa kesemua negara yang mempunyai skor 80 dan ke atas telah dimonopoli oleh negara-negara yang majoriti rakyatnya bukan beragama Islam.
Berdasarkan Jadual 1.1 tersebut, Jadual 1.2 telah dibina untuk menunjukkan kedudukan negara-negara umat Islam dalam IPR pada tahun 2016.
10 Transperancy Internasional merupakan satu pertubuhan global yang mempunyai visi iaitu mewujudkan sebuah dunia di mana kerajaan, perniagaan, masyarakat awam dan kehidupan harian manusia yang bebas rasuah. Ia telah ditubuhkan pada tahun 1993 dan kini melibatkan lebih daripada 100 buah negara. Ia bermatlamatkan untuk mencipta sebuah konvensyen anti-rasuah antarabangsa, mendakwa pemimpin-pemimpin negara yang terlibat dan terbukti melakukan rasuah dan sebagainya.
27
Jadual 1.2: Kedudukan Negara Umat Islam dalam IPR Tahun 2016
Kedudukan Negara Umat Islam Skor
1 Emiriah Arab Bersatu (UAE) 66
2 Qatar 61
3 Brunei 58
4 Malaysia 49
5 Jordan 48
6 Arab Saudi 46
7 Oman 45
8 Bahrain 43
9 Kuwait, Tunisia dan Turki 41
10 Indonesia 37
Sumber: Diolah daripada Indeks Persepsi Rasuah (2017).
Jadual 1.2 menunjukkan kedudukan terkini negara Malaysia iaitu pada tahun 2016 menyaksikan dalam kalangan negara Islam, Malaysia terletak pada kedudukan keempat terbaik iaitu antara negara Islam yang memperoleh skor yang tinggi dalam IPR di belakang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Brunei. Walau bagaimanapun, kedudukan Malaysia dan negara-negara umat Islam yang lain berbanding dengan negara-negara lain secara keseluruhannya masih berada pada tahap yang tidak begitu baik. IPR ini turut menggambarkan bahawa negara-negara Islam masih mempunyai tahap persepsi rasuah yang tinggi dalam kalangan rakyatnya yang majoriti beragama Islam.
Hal ini turut ditambah lagi dengan masalah sosial yang melibatkan pekerja Muslim di IPBI sering kali mendapat liputan dan perhatian daripada pihak media massa. Terdapat pelbagai laporan yang dilaporkan contohnya seperti isu keruntuhan akhlak dan nilai kemanusiaan yang dilihat telah menimbulkan pelbagai masalah seperti penyalahgunaan kuasa, rasuah, pecah amanah, serta jenayah dan masalah sosial lain yang dilakukan oleh segelintir pekerja di IPBI yang tersiar dalam akhbar-akhbar
28
antarabangsa dan tempatan. Di China misalnya, akhbar Uca News (2014) melaporkan pada tahun 2014, bahawa sekurang-kurangnya 13 orang pegawai yang bertanggungjawab dalam menguruskan Haji telah disiasat kerana terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa iaitu dengan mengubah senarai nama bagi mengurangkan masa menunggu untuk saudara-mara mereka.
Di Malaysia pula, kes rasuah dilaporkan menjadi antara kes jenayah paling banyak yang melibatkan pekerja dalam IPBI. Akhbar Bernama (2017) melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah menahan dua orang pegawai agama di Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) Johor Bahru kerana disyaki menerima rasuah daripada syarikat yang mencetak buku bagi Sekolah Agama Rakyat Johor. Akhbar MalaysiaKini (2008) melaporkan bahawa seorang Pembantu Hal Ehwal Islam dari sebuah pejabat agama di sebuah Daerah di Batu Pahat dihadapkan di Mahkamah Sesyen Batu Pahat atas pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM 3,750.
Akhbar Berita Harian (2012) pula melaporkan bahawa seorang pekerja rendah am di sebuah Majlis Agama Islam negeri telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Melaka atas dua pertuduhan rasuah iaitu meminta suapan wang dan perkhidmatan seks daripada seorang wanita bagi menyelesaikan satu kes khalwat, dua tahun sebelumnya.
Selain itu, akhbar Sinar Harian (2015) melaporkan kes jenayah rasuah yang melibatkan seorang pembantu pendaftar Mahkamah Syariah Pekan atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM 3,500 pada bulan Mei tahun 2014. Laporan media massa mengenai keruntuhan akhlak, salah guna kuasa dan jenayah rasuah pekerja IPBI ini sedikit
29
sebanyak memberikan gambaran buruk terhadap institusi berkenaan. Jadual 1.3 menunjukkan statistik tangkapan kes rasuah bagi tahun 2012 hingga tahun 2016.
Jadual 1.3: Statistik Tangkapan Kes Rasuah Tahun 2012 Hingga 2016 Sektor
Tahun 2012 2013 2014 2015 2016
Penjawat Awam 288 170 225 398 465
Orang Awam 413 339 327 443 474
Jumlah 701 509 552 841 939
Sumber: Diolah daripada Laman Web SPRM (2017).
Jadual 1.3 merupakan statistik tangkapan rasuah dari tahun 2012 hingga 2016 yang dikeluarkan oleh SPRM menunjukkan bahawa kes-kes melibatkan penjawat awam yang terdiri daripada kumpulan pengurusan tertinggi, kumpulan pengurusan dan profesional dan juga kumpulan sokongan serta orang awam masih mencatatkan jumlah yang tinggi dan membimbangkan (SPRM, 2017). SPRM (2014) turut melaporkan terdapat kes yang melibatkan pekerja di IPBI iaitu kes pecah amanah yang melibatkan ahli majlis tertinggi, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan dua bekas ahli PERKIM yang disabitkan dengan kesalahan di bawah seksyen 418 Kanun Keseksaan akibat perbuatan mereka menipu sebagai Pemegang Amanah kepada Projek Menaikkan Taraf Laluan B9/ FT015 dari Lapangan Terbang Subang ke Hospital Sungai Buloh (Fasa 1) yang berjumlah RM 3.612 juta. Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah Khas (Rasuah) 5, Tuan M. Bakri Abdul Majid menjatuhkan hukuman tersebut setelah ketiga-tiga tertuduh mengaku bersalah.
Selain itu, seorang bekas Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM 55,000 oleh Mahkamah Sesyen
30
pada 13 Februari 2012 selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah iaitu kesalahan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM 5,000 daripada seorang anggota polis yang disyaki berkhalwat bersama pasangannya. Rayuannya juga telah ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi pada 21 Ogos 2014 dan memutuskan bahawa Mahkamah Sesyen tidak membuat sebarang kesilapan dalam membuat keputusan tersebut dua tahun yang lalu (SPRM, 2014b). Jadual 1.4 merupakan jumlah aduan mengikut kategori bagi tahun 2012 hingga tahun 2016.
Jadual 1.4: Jumlah Aduan Mengikut Kategori Tahun 2012 Hingga 2016 Jenis Kesalahan
Tahun 2012 2013 2014 2015 2016 Kualiti Perkhidmatan Tidak Memuaskan 1837 1750 816 623 954 Kegagalan Mengikut Prosedur Ditetapkan 317 276 545 844 1053 Tindakan Tidak Adil 1406 1115 522 440 533 Salah laku Anggota Awam 222 201 169 173 217 Salah Guna Kuasa/Penyelewengan 160 148 150 156 253 Sumber: Diolah daripada Laman Web BPA (2017).
Hal ini ditambah lagi dengan kenyataan daripada Biro Pengaduan Awam (BPA) yang mendapati bahawa aduan terhadap kes salah laku membabitkan penjawat awam mencatatkan jumlah yang tinggi (BPA, 2017). Jadual 1.4 menunjukkan bahawa terdapat lima kesalahan utama yang mencatatkan jumlah aduan paling tinggi dari tahun 2012 hingga tahun 2016. Kegagalan mengikut prosedur yang ditetapkan merupakan kesalahan yang mencatatkan aduan paling tinggi pada tahun terkini iaitu 2016. Selain itu, menurut perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) (2013), pada tahun 2009, kes penipuan menyumbang jumlah tertinggi sebanyak 13, 384 kes daripada jumlah keseluruhan kes salah laku dan ia menunjukkan peningkatan yang begitu ketara pada tahun 2009. Jumlah kerugian yang dilaporkan pada tahun 2009 adalah sebanyak RM
31
1.3 bilion berbanding RM 845.5 juta pada tahun sebelumnya. Hal ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM 454.8 juta (54%). Kes penipuan dan pecah amanah merupakan jenayah yang mencatatkan jumlah kerugian terbesar iaitu sebanyak RM 1.27 bilion (98%) berbanding keseluruhan kerugian jenayah komersial pada tahun 2009 (PDRM, 2013).
Fenomena yang berlaku ini boleh menyebabkan reputasi sesebuah institusi termasuklah IPBI akan merudum dan kepercayaan masyarakat terhadap IPBI sebagai institusi yang dikatakan bertunjangkan falsafah Islam akan hilang. Kesannya, sesebuah IPBI itu hanya akan melahirkan pekerja yang cekap bekerja tetapi hilang nilai sahsiah dan nilai-nilai kemanusiaannya. Dalam sesebuah institusi, kesan yang paling utama yang terhasil ialah kemunculan pekerja-pekerja yang tidak memiliki nilai sahsiah yang layak untuk sesebuah masyarakat atau institusi itu sendiri (Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1978:14).
Dalam usaha untuk mencegah dan menyelesaikan setiap isu tersebut, yang penting bukan sahaja dapat mendakwa atau mendedahkan orang-orang yang terlibat dengan setiap salah laku tersebut, tetapi tindakan yang optimis dan positif perlu diambil untuk membasmi dan sekurang-kurangnya mengurangkan jumlah salah laku tersebut (Ramanathan, 2002:386). Hal ini sebenarnya berkait secara langsung dengan aspek latihan pekerja dalam sesebuah institusi. Menurut Ibrahim Mamat (1996:5), setiap program latihan yang dilaksanakan seharusnya berupaya memberikan manfaat bukan sahaja kepada institusi, tetapi juga kepada pekerjanya. Program latihan pekerja yang memberikan kesan yang sukar dilihat seperti program latihan untuk merubah sikap dan membentuk akhlak pekerja, biasanya tidak diberikan penekanan yang sewajarnya.
32
Kebanyakan institusi mengutamakan program latihan yang berupaya memberikan manfaat kepada institusi, lebih-lebih lagi jika manfaat program latihan itu dapat dilihat dan dirasai dengan cepatnya seperti kesan program latihan terhadap produktiviti, hasil jualan, hasil pengeluaran dan sebagainya. Sudah menjadi kebiasaan bahawa pelaburan dalam bidang program latihan dibuat berdasarkan keperluan sesebuah institusi.
Sebagai contoh, bagi syarikat swasta dari dalam atau luar negara yang bertaraf multi nasional seperti Motorola, Samsung, Perwaja Steel Sdn. Bhd., Technology Resource Industries Berhad, Transmile Group Berhad dan sebagainya sanggup mengeluarkan nilai perbelanjaan yang tinggi semata-mata untuk melaksanakan program latihan terhadap para pekerjanya. Syarikat-syarikat ini meyakini bahawa hanya dengan pelaksanaan program latihan sahaja yang dapat melahirkan pekerja yang berkemahiran tinggi sekali gus dapat melonjakkan produktiviti dan memberikan keuntungan kepada syarikat.
Walau bagaimanapun, di sebalik keuntungan besar yang diperoleh syarikat-syarikat berkenaan, masih terdapat kes-kes ketirisan, penyelewengan dan rasuah yang dilakukan oleh segelintir individu pekerja syarikat-syarikat tersebut (Sharifah Zarah Syed Ahmad, 2014:8; Juhary Ali, 2002:13). Hal ini membuktikan bahawa wujud kepincangan tertentu terhadap proses pembangunan insan yang dilakukan dan mempunyai perkaitan dengan kepincangan sistem pembangunan insan yang dijalankan seperti menolak aspek-aspek keagamaan, mengetepikan aspek kerohanian, ketuhanan, pahala dan dosa. Hal ini juga menjadi bukti kegagalan sistem tamadun Barat yang bersifat sekularisme yang diamalkan oleh sebahagian besar
institusi-33
institusi pada masa kini (Sharifah Zarah Syed Ahmad, 2014:8; Norlia Mat Norwani, Zam Zuriyati Mohamad & Ibrahim Tamby Chek, 2011:208).
Berdasarkan isu-isu tersebut, teori-teori dan praktikal berkaitan dengan program latihan konvensional dilihat mempunyai matlamat yang sama, iaitu meningkatkan kemahiran, keupayaan dan pengetahuan para pekerja dalam melakukan sesuatu tugasan dan pekerjaan sahaja. Matlamat asal ini cukup baik, tetapi sebaliknya yang berlaku apabila banyak kes salah laku yang timbul yang menjurus kepada kegagalan program latihan tersebut. Kegagalan yang paling ketara ialah kegagalan program latihan tersebut untuk membentuk akhlak dan sahsiah pekerja itu sendiri. Hal ini kerana program latihan itu tempang dari aspek pembangunan insan dari aspek kerohanian dan akhirnya gagal membentuk insan yang cemerlang dan seimbang (Masita Mt. Zin, 2014:7).
Naceur Jabnoun (2012) menyatakan bahawa, program latihan seharusnya tidak hanya mementingkan aspek pembangunan kemahiran sahaja. Ia seharusnya merangkumi pembangunan sikap dan akhlak yang baik. Program latihan juga seharusnya diterapkan dengan nilai-nilai terpuji seperti kejujuran, amanah, ketabahan, kesabaran dan sebagainya. Menurut Auni Abdullah (2010:85) dan Ab. Aziz Yusof (2007:184), sesebuah institusi juga dapat meningkatkan produktiviti melalui sahsiah pekerja yang cemerlang dengan adanya program latihan yang merangkumi amalan kerohanian.
Pekerja yang mempunyai kerohanian yang tinggi akan lebih berdedikasi, bertanggungjawab, amanah dan ikhlas. Terdapat institusi yang kurang menitikberatkan program latihan yang mementingkan aspek kerohanian di tempat
34
kerja disebabkan pihak penilaian atasan yang tidak mempunyai pengetahuan dan kesedaran betapa pentingnya aspek kerohanian ini dalam institusi.
Dengan kata lain, elemen latihan dalam pengurusan institusi konvensional hanya mengambil kira aspek-aspek luaran atau paling tidak, aspek mental iaitu melalui pemikiran pelaksana. Sedangkan menurut perspektif Islam, manusia terdiri daripada komponen luaran dan dalaman yang merangkumi elemen jasad, akal, hati dan nafsu.
Kesemua elemen ini seharusnya diberikan penekanan yang seimbang kerana setiap elemen tersebut mempunyai peranan dalam mencapai kejayaan iaitu al-fala>h{ sekiranya berfungsi secara bersepadu (Abu Hamid Al-Ghazaliy, 1973; Ibrahim Mamat, 1996:5;
Azman Che Omar, 2001:69; Auni Abdullah, 2010:47; Fadzila Azni Ahmad, 2013:95).
Masalah sosial dalam institusi seperti rasuah dan pecah amanah ini berlaku kerana iman yang lemah dan hilangnya rasa takwa seseorang itu dalam menjalani kehidupan sehariannya. Apabila iman sudah lemah dan hati sudah kosong dengan jiwa agama, sifat-sifat mazmumah mudah bersarang dalam hati seseorang itu.
Walaupun krisis sosial ini tidak boleh dikaitkan sepenuhnya dengan pelaksanaan program-program latihan yang sedia ada, hubung kait antara keberkesanan dasar dan program-program latihan tersebut dengan gejala sosial ini masih tetap relevan. Hal ini kerana masih terdapat kekurangan dari aspek falsafah dan pendekatan dalam menangani isu-isu sosial tersebut. Akibat daripada sedikit sebanyak kelemahan dan kekurangan dalam falsafah pembangunan dan pentadbiran ini telah menyumbang kepada ketidakupayaan untuk menangani kemelut sosial yang semakin menjadi-jadi (Wan Liz Ozman Wan Omar, 1996:51; Jaafar Abd. Rahman, 1996:2).
35
Menurut Wan Liz Ozman Wan Omar (1996:41), keperluan untuk merubah paradigma pengurusan ke arah Islamisasi bersepadu lebih mendesak lagi kerana sebahagian idea dan pemikiran pengurusan moden masa kini bukan sahaja tidak sesuai dengan aspirasi ummah tetapi juga mengandungi banyak kelemahan. Akibat kelemahan-kelemahan yang nyata ini, maka secara umumnya pemikiran pengurusan moden, terutamanya yang berasal dari Barat berlawanan dengan ajaran Islam. Pokok pangkal daripada ketidakserasian konsep-konsep pengurusan moden dengan Islam ialah pengurusan moden berteraskan fahaman sekularisme yang memisahkan agama dengan urusan keduniaan. Segala perilaku institusi (institutional behaviour) hanya dihubungkan dengan matlamat kebendaan atau materialisme semata-mata berbanding ajaran Islam yang menghubungkan urusan keduniaan dengan kehidupan di akhirat.
Elemen tanggungjawab sosial, akauntabiliti, akhlak dan kerohanian kurang ditonjolkan dalam konsep-konsep program latihan dan pengurusan Barat dan tidak menjadi aspek utama dalam program latihan dan kepengurusan moden masa kini (Ahmad Ibrahim Abu Sin, 1991:89; Chek Mat, 2010:79). Beza pendekatan Barat dengan Islam ialah dari aspek kerelevanan dan dampak aspek kerohanian, matlamat hidup, nilai-nilai mutlak, motivasi tauhid dan konsep ibadah terhadap bidang pengurusan insan (Wan Liz Ozman Wan Omar, 1996:41;.Yusuf Al-Qardawi, 2012:245).
Aspek-aspek program latihan berteraskan kerohanian yang berkaitan dengan nilai-nilai kemanusiaan perlu diketengahkan dan diberikan keutamaan. Perkara ini menjurus kepada hal-hal pembangunan rohani dan sahsiah seseorang. Lantaran itu, sesebuah institusi termasuklah IPBI perlu memberikan penekanan terhadap program latihan
36
dalam pengurusan insan yang selari dengan ajaran Islam terhadap pekerjanya. Dalam mendepani dan menghadapi permasalahan ini, IPBI di negara ini juga seharusnya memandang berat terhadap program latihan para pekerjanya. Dalam melaksanakan tanggungjawab mengurus IPBI, aspek pengurusan insan adalah penting bagi memastikan perkhidmatan kepada umat Islam dapat dilaksanakan dengan baik. IPBI seharusnya meletakkan tasawur PBI sebagai perkara yang paling utama dalam setiap aspek pengurusannya termasuk aspek program latihan dalam pengurusan insan para pekerjanya.
Berdasarkan perbincangan mengenai isu dan permasalahan yang berlaku, IPBI perlu mengambil berat mengenai kepentingan program latihan dalam pengurusan insan dalam diri setiap pekerjanya dengan mewujudkan program latihan dalam pengurusan insannya yang bertepatan dengan prinsip-prinsip Islam. Berkaitan dengan perkara tersebut, ILIM merupakan antara penyedia program latihan dalam pengurusan insan yang dikatakan berteraskan Islam yang terdapat di Malaysia (Supyan Hussin, 2012).
Perkara ini menimbulkan persoalan, adakah IPBI terpilih dalam kajian ini mengguna pakai program latihan dalam pengurusan insan ILIM? Jika pilihannya adalah ILIM, adakah program latihan dalam pengurusan insan ILIM ini selari dan bertepatan dengan falsafah dan prinsip pembangunan berteraskan Islam? Selain itu, antara persoalan yang timbul adalah apakah asas-asas program latihan dalam pengurusan insan berteraskan Islam? Bagaimanakah pula bentuk, kategori dan matlamat program latihan dalam pengurusan insan yang dilaksanakan di ILIM? Persoalan-persoalan ini memerlukan jawapan dan kajian selanjutnya dilaksanakan.
37
Oleh yang demikian, kajian ini berhasrat mengenal pasti asas-asas program latihan dalam pengurusan insan berteraskan Islam dan program latihan dalam pengurusan insan IPBI terpilih di ILIM. Penganalisisan terhadap program latihan dalam pengurusan insan ILIM dilaksanakan berdasarkan asas-asas program latihan dalam pengurusan insan berteraskan Islam yang telah dikenal pasti. Hal ini penting kerana ia memberikan rumusan utama mengenai program latihan dalam pengurusan insan ILIM dan kesesuaiannya untuk diguna pakai oleh semua IPBI di Malaysia.