• Tidak ada hasil yang ditemukan

Enam Aspek Terjemahan Iklan oleh Kamaruddin Husin (1995) yang diubah suai diubah suai

Tindakan Keterangan

Sebelum menterjemah

Memberikan perhatian kepada kaedah retorik dan makna dalam iklan sumber.

Semasa menterjemah

Memastikan kaedah terjemahan yang digunakan tidak merosakkan mesej iklan.

Menggunakan ungkapan menarik yang tidak merosakkan mesej iklan. Selepas

menterjemah

Memastikan terjemahan iklan mampu menyampaikan mesej iklan sumber. Mengelak daripada melakukan terjemahan yang tidak tepat.

Menggunakan istilah yang tepat.

Selain itu, Maserah Shabudin & Idris Aman (2012) mengkaji ideologi tersirat dalam wacana iklan berbahasa Jepun yang berasaskan gabungan ciri-ciri teks, semiotik dan sifat kewacanaan. Kajian dilakukan kepada 24 iklan produk kosmetik yang dipaparkan menerusi majalah wanita Non-no yang diterbitkan dari tahun 2008 sehingga tahun 2010. Dapatan kajian menunjukkan praktis oksidentalisasi kecantikan, iaitu anggapan bahawa kecantikan wanita Oksidental, khususnya Euro-Amerika dianggap sebagai simbol budaya dunia dan kecantikan universal. Dalam penulisan mereka, dapat diteliti tentang aspek semiotik yang memainkan peranan terhadap membentuk ideologi dalam sesuatu teks periklanan, misalnya menerusi penggunaan latar pemandangan Barat, model-model Barat dan sebagainya yang memberikan gambaran cara hidup unggul, berprestij dan hebat. Maserah Shabudin & Idris Aman (2012) memperihalkan pengaruh Barat jelas kelihatan menerusi penamaan nama-nama produk kecantikan yang keseluruhannya memanfaatkan kata serapan Inggeris, Perancis dan Itali. Unsur kejepunan hanya wujud

University

dalam sistem ortografi ‘katakana’, iaitu sekadar transliterasi sebagai panduan untuk menyebut nama-nama produk dalam bahasa asing mengikut sistem fonologi bahasa Jepun. Contoh sebenar iklan produk kecantikan juga jelas menunjukkan ideologi yang wujud dalam penulisan sesuatu iklan. Walaupun data kajian merupakan iklan produk kecantikan buatan Jepun, ditulis dalam bahasa Jepun dan dipasarkan bagi pasaran domestik Jepun, pengiklan masih mengagungkan nilai-nilai Barat berbanding mengutamakan nilai tempatan.

Pada tahun berikutnya, Maserah Shabudin & Idris Aman (2013) membincangkan mekanisme interdiskursiviti yang terkandung dalam iklan kecantikan produk kecantikan berbahasa Jepun. Istilah mekanisme interdiskursiviti merujuk wacana iklan yang terdiri daripada gabungan beberapa genre, gaya, atau stail. Data kajian mereka terdiri daripada 24 iklan produk kecantikan yang diambil daripada majalah wanita Jepun berjudul Non-no yang diterbitkan dari tahun 2008 sehingga 2010. Analisis dilakukan dengan mengenal pasti sama ada data kajian terdiri daripada satu genre atau kombinasi beberapa genre wacana. Berdasarkan analisis data yang dijalankan, didapati bahawa wacana iklan merupakan gabungan beberapa genre wacana. Gabungan genre wacana dijustifikasikan menerusi gaya bahasa iklan untuk menarik minat serta memujuk bakal pembeli. Seperkara yang menarik, dapatan kajian Maserah Shabudin & Idris Aman (2013) juga menunjukkan iklan produk kecantikan menggunakan istilah dan jargon saintifik dalam bahasa Inggeris. Dengan pengaplikasian kata serapan asing bagi istilah saintifik dan nama produk, pengiklan dinyatakan mampu menimbulkan rasa kagum masyarakat Jepun terhadap teknologi dan pengaruh Barat. Selain itu, penggunaan kata serapan bahasa Inggeris (Japanized English) dalam wacana iklan juga memberikan aura kredibiliti produk, di samping memberikan nilai prestij terhadap produk kecantikan yang diklankan dalam majalah.

University

Nor Shahila Mansor et al. (2014) mengetengahkan isu ketidaksantunan bahasa sebagai strategi pujukan dalam iklan berbahasa Sepanyol. Perkataan ketidaksantunan merujuk fenomena komunikasi yang berkait dengan konflik dan bentuk ujarannya adalah seperti makian, memberikan tekanan dan mempersendakan. Data kajian ini terdiri daripada 21 iklan bercetak berbahasa Sepanyol yang diambil daripada majalah, suratkhabar dan Internet. Model Ketidaksantunan Culpeper digunakan bagi mengelaskan data kepada lima kategori ketidaksantunan, iaitu ketidaksantunan secara langsung, ketidaksantunan positif, ketidaksantunan negatif, penggunaan sindiran dan menahan kesantunan. Berdasarkan analisis data, Nor Shahila Mansor et al. (2014) menghujahkan pengiklan di Sepanyol sebenarnya menggunakan ketidaksantunan bahasa bagi menarik perhatian pelanggan sasaran. Walau bagaimanapun, ujaran ketidaksantunan yang digunakan dalam iklan tidak bertujuan untuk mengejek atau mempersendakan. Sebaliknya, strategi ini digunakan untuk mempengaruhi emosi pembeli. Pernyataan ini dijelaskan menerusi tiga peringkat iklan yang digunakan, iaitu menggunakan strategi ketidaksantunan untuk menarik perhatian dan menimbulkan minat. Seterusnya memaklumkan kehebatan produk yang diiklankan, dan akhirnya mendorong khalayak untuk membeli produk yang diiklankan. Tambahan pula, emosi khalayak sekali lagi dipengaruhi apabila pengiklan menggambarkan kegembiraan yang dicapai setelah masalah yang dihadapi berjaya diselesaikan menerusi penggunaan produk. Berdasarkan dapatan kajian, jelaslah bahawa ketidaksantunan merupakan strategi pujukan emosi yang terbukti berkesan dalam bahasa Sepanyol.

Heah (1989) mengulas tentang pengaruh bahasa Inggeris terhadap pembentukan kata dalam bahasa Melayu. Dalam penulisan bukunya, beliau menjelaskan berkaitan bahasa Inggeris yang mula bertapak di Malaysia disebabkan oleh gabungan beberapa faktor. Secara keseluruhannya, terdapat enam faktor yang digariskan oleh beliau sebagai pemangkin ke arah penggunaan bahasa Inggeris secara meluas di Malaysia, iaitu faktor

University

dasar negara, dasar pendidikan negara, peranan media massa, strategi pembangunan oleh kerajaan Malaysia, peranan institusi dan status bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. Ringkasan serta penjelasan bagi faktor-faktor yang mempengaruhi kemunculan penggunaan bahasa Inggeris di Malaysia adalah seperti Jadual 2.4 berikut:

Jadual 2.4: Faktor Kemunculan Bahasa Inggeris di Malaysia oleh Heah (1989)

Faktor Keterangan

Dasar negara Dasar negara Malaysia membenarkan bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa rasmi dan juga digunakan dalam bidang khusus seperti bidang perundangan.

Dasar pendidikan negara

Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa kedua bagi bidang pendidikan di Malaysia. Dasar kerajaan yang menggalakkan pembelajaran ilmu bidang sains dan teknologi juga menyebabkan wujud keperluan untuk mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Terdapat sektor pekerjaan yang mensyaratkan penguasaan bahasa Inggeris sebagai kriteria dalam urusan kenaikan pangkat.

Peranan media massa

Bahasa Inggeris digunakan secara meluas dalam media penyiaran seperti filem, rancangan televisyen dan radio, serta media bercetak seperti akhbar. Ruangan berita dunia juga dikenal pasti sebagai ruangan yang mendedahkan para pembaca dengan perkataan serta istilah dalam bahasa Inggeris. Media pengiklanan turut menunjukkan pengaruh bahasa Inggeris yang ketara. Para pengiklan menggunakan istilah bahasa Inggeris terutama pada slogan sesuatu iklan bagi menunjukkan imej antarabangsa, serta meyakinkan masyarakat bahawa produk yang diiklankan bersifat global dan hebat.

Strategi pembangunan oleh kerajaan Malaysia

Perkembangan dari aspek pembangunan negara telah menyebabkan masyarakat Melayu luar bandar mula berhijrah ke bandar. Masyarakat bandar lebih terdedah dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam medium berkomunikasi.

Peranan institusi Institusi seperti British Council mempromosikan bahasa serta kebudayaan bahasa Inggeris kepada masyarakat awam di Malaysia. Kemudahan seperti perpustakaan dan aktiviti yang dianjurkan oleh institusi berkenaan juga menyumbang ke arah penggunaan bahasa Inggeris.

Status bahasa Inggeris sebagai bahasa

antarabangsa

Keperluan untuk menggunakan bahasa Inggeris sewaktu berurusan dengan masyarakat dunia telah mewujudkan kepentingan untuk mempelajari bahasa Inggeris.

University

Terdapat juga kajian peringkat tempatan yang mengkaji aspek keinggerisan dalam media di Malaysia. Wan Halizawati Wan Mahmood (2011) menganalisis unsur keinggerisan yang wujud dalam dialog alih bahasa program kartun di Malaysia. Berlandaskan takrifan keinggerisan sebagai ciri-ciri bahasa Inggeris yang wujud dalam bahasa Melayu, beliau menganalisis bentuk keinggerisan dalam rancangan Spongebob Squarepants, Fairly Oddparents dan Supa Strikas. Dapatan kajian beliau membuktikan perbezaan linguistik, budaya dan norma merupakan antara faktor kekangan bagi penterjemahan dialog alih bahasa program kartun daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Impak keinggerisan dalam data kajian juga dinilai dari dua perspektif. Pertama, kesan negatif unsur keinggerisan terhadap bentuk-bentuk dialog alih bahasa. Bentuk-bentuk dialog yang diterjemah secara literal menyebabkan kesan dialog kelihatan kaku, sekali gus mengundang perbezaan pada maksud sebenar dalam dialog sumber. Tindakan penterjemah yang terlalu setia dengan bentuk dialog dalam bahasa Inggeris juga menyebabkan gaya pertuturan watak kartun kelihatan tidak mesra dengan cara dan norma pertuturan masyarakat Melayu. Situasi berkenaan seterusnya menimbulkan isu sama ada bahasa sasaran, iaitu bahasa Melayu kekurangan padanan perkataan bagi perkataan sumber dalam bahasa Inggeris. Perspektif kedua ialah kesan positif keinggerisan dapat dinilai pada perkembangan perkataan pinjaman, neologisme, dan slanga dalam program kartun berbahasa Melayu. Sifat bahasa Melayu yang dinamik dan situasi masyarakat berbilang kaum di Malaysia membenarkan variasi bahasa digunakan mengikut situasi perbualan serta status penutur dialog berkenaan.

Dalam penulisan tesisnya, Wan Halizawati Wan Mahmood (2011) mengkhususkan data kajian kepada program kartun Supa Strikas sahaja. Kajian yang dijalankan berfokus kepada isu anglicism atau unsur keinggerisan dalam dialog alih bahasa, manakala pandangan sarjana Barat, iaitu Haugen (1950) dimanfaatkan bagi mengelaskan bentuk-bentuk keinggerisan kepada bentuk-bentuk kata pinjaman (loanwords), bentuk-bentuk kata pinjaman

University

gabungan (loanblends) dan bentuk pinjam ubah (loanshifts). Wan Halizawati Wan Mahmood (2011) menghujahkan unsur keinggerisan wujud dalam istilah-istilah bidang seperti teks teknikal dan teks perundangan di Malaysia. Faktor konsep dan istilah bidang yang dicipta berdasarkan norma dan konvensi di negara-negara Barat mencetuskan fenomena peminjaman istilah-istilah asing ke dalam bahasa Melayu. Sifat bahasa Melayu yang dinamik pula memudahkan penyerapan istilah-istilah yang bersifat keinggerisan menerusi kaedah peminjaman atau penyesuaian berdasarkan sistem ejaan dan sebutan dalam bahasa Melayu. Pemilihan program kartun Supa Strikas dalam kajian beliau secara tidak langsung mengisi kekosongan penyelidikan bagi unsur keinggerisan dalam bidang alih bahasa di Malaysia dan pada masa yang sama mencetuskan persoalan berkaitan pengaruh unsur keinggerisan terhadap penonton rancangan kartun bola sepak berkenaan, iaitu golongan kanak-kanak.

Dapatan kajian Wan Halizawati Wan Mahmood (2011) menunjukkan prosedur peminjaman sering digunakan sehingga menghasilkan bentuk keinggerisan yang ketara dalam program kartun, misalnya penggunaan perkataan Yo! (Yo!), tekan ‘enter’ (press enter), Pakcik Harry Houdini (Harry Houdini), bro (bro), dan coach (coach). Selain itu, terdapat juga perkataan bahasa Inggeris yang dipinjam dan disesuaikan dengan sistem ejaan dan sebutan bahasa Melayu seperti skor (score), kapten (captain), teknologi (technology) dan sebagainya. Walau bagaimanapun, beliau mengutarakan pandangan bahawa bentuk-bentuk asing berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai satu masalah kerana sejarah telah memperlihatkan penerimaan perkataan atau istilah bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Pada peringkat awal, bentuk-bentuk keinggerisan dianggap baharu kepada penutur bahasa Melayu, namun lama-kelamaan bentuk ini menjadi sebati dalam masyarakat awam menerusi penggunaan kerap dan berulang kali.

University

2.5 Analisis Sorotan Kajian

Tiga subtopik terdahulu dalam bab ini menghurai serta membincangkan kajian-kajian penting pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Pengkaji ingin menekankan bahawa bab ini disusun mengikut tema perbincangan dan tidak disusun mengikut tahun. Oleh itu, perbincangan yang dibuat tidak mencakupi pola perubahan yang berlaku dari tahun ke tahun berikutnya. Bagi mengelakkan perbincangan menjadi terlalu meluas, pengkaji mengehadkan analisis perbincangan mengikut tema kajian seperti terjemahan, bahasa, dan media. Pengkaji juga mengetengahkan kajian terdahulu yang menggunakan elemen tajuk utama, katalog, keinggerisan dan medium bercetak sebagai salah satu daripada komponen kajian. Empat kata kunci berkenaan tidak digunakan sebagai tajuk subtopik kerana bersifat terlalu khusus. Penggunaan tajuk yang terlalu khusus akan menyebabkan tinjauan kajian menjadi terhad. Perlu juga ditekankan bahawa pengkaji telah menjelaskan setiap kata kunci yang terdapat dalam tesis, iaitu terjemahan, tajuk utama, iklan, keinggerisan, dan katalog bercetak dalam Bab 1. Berdasarkan pembacaan dan tinjauan kajian, terdapat beberapa isu dan idea yang disintesis serta akan dikaitkan dengan kajian yang dijalankan oleh pengkaji.

2.5.1 Aspek Penterjemahan di Malaysia

Disiplin ilmu terjemahan di seluruh dunia sentiasa berkembang mengikut isu semasa dan kehendak pasaran. Tinjauan kajian terdahulu membuktikan berkaitan kajian-kajian awal dalam bidang terjemahan lebih bersifat falsafah dan menangani permasalahan teori terjemahan serta kaedah penterjemahan. Beberapa kajian sarjana terdahulu yang dibincangkan juga membuktikan bahawa kajian bidang terjemahan tidak terhad kepada skop yang kecil sahaja, sebaliknya merentasi pelbagai disiplin ilmu seperti bidang bahasa, media, sastera, sains, dan kajian budaya. Kajian dalam bidang terjemahan juga merangkumi kajian ke atas proses terjemahan, produk terjemahan, kualiti terjemahan, latihan penterjemah, dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, subtopik Kajian

University

Penterjemahan (Rujuk subtopik 2.2) diwujudkan bagi menjustifikasikan kajian terjemahan mencakupi konteks yang luas. Berdasarkan sorotan kajian, sejarah awal penterjemahan di luar negara dimangkin menerusi kegiatan penterjemahan teks sastera. Menurut Nida (2001), asas bagi teori dan amalan penterjemahan bermula daripada penghasilan teks kesusasteraan. Hal ini disebabkan teks kesusasteraan cenderung untuk diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Senario yang sama juga berlaku di Tanah Melayu apabila karya kesusasteraan dari Arab, India dan Parsi dialih bahasa ke dalam bahasa Melayu. Terdapat juga karya sastera tempatan yang diterjemahkan ke dalam bahasa asing. Contohnya Siti Hawa Salleh (1991) menjelaskan masyarakat Barat menggunakan manuskrip bahasa Melayu selaku bahan untuk terjemahan, dan tindakan itu menjadi permulaan bagi kegiatan penterjemahan karya sastera di Tanah Melayu.

Pada masa kini, Anwar Ridhwan (2014) misalnya mengangkat peranan penterjemahan sebagai wadah untuk memperkenalkan sastera Melayu serta mempromosikan sasterawan negara di pentas global. Beliau menyarankan agar karya pengarang tempatan diterjemahkan ke dalam bahasa utama dunia seperti bahasa Inggeris, bahasa Mandarin, dan bahasa Jepun agar karya anak tempatan yang indah tidak hanya tersimpan untuk kebanggaan masyarakat Melayu sahaja. Dalam erti kata lain, kebolehterjemahan sesuatu karya sebenarnya merupakan antara prasyarat bagi kemasyhuran seseorang pengarang. Status selaku pengarang antarabangsa boleh dicapai sekiranya karya tulisan mereka telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Secara tidak langsung, senario ini juga memperakui peranan dan sumbangan bidang terjemahan bagi membina kerjaya individu pengarang, serta memangkin perkembangan bidang kesusasteraan. Senario semasa memperlihatkan pihak ITBM berperanan ke arah penterjemahan karya sastera tempatan. Pelbagai karya sastera mula diterjemahkan ke dalam bahasa asing seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis, dan bahasa Jerman. Tinjauan pengkaji juga mendapati terdapat karya pengarang dari luar negara yang

University

diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu untuk pasaran tempatan. Antara hasil karya terjemahan teks sastera adalah seperti Jadual 2.5 berikut: