• Tidak ada hasil yang ditemukan

2.1 Pendahuluan

Bab dua membincangkan sorotan kajian lepas serta pandangan sarjana-sarjana yang signifikan dengan kajian yang dijalankan. Sehubungan dengan itu, bab ini dipandu berdasarkan tema terjemahan, media, dan bahasa. Bagi mengelakkan tinjauan kajian menjadi terlalu meluas, tema kajian dihubung jalin bagi membina beberapa topik khusus seperti kajian penterjemahan, kajian penterjemahan teks media, serta kajian bahasa dalam teks media. Akhirnya, topik analisis sorotan kajian dibina bagi mensintesis idea dan membuktikan bahawa wujud kelompangan (gap) dalam kajian terdahulu.

2.2 Kajian Penterjemahan

Bahagian ini mengulas beberapa kajian terdahulu yang mendasari disiplin ilmu terjemahan sama ada peringkat antarabangsa dan kebangsaan. Beberapa kajian yang meliputi skop teori terjemahan, latihan penterjemah, penilaian kualiti terjemahan, permasalahan khusus seperti budaya dalam terjemahan, serta terjemahan teks bidang seperti bidang sains dan sastera akan dibincangkan secara kritis.

Nida (2001) mengatakan tiada satu teori terjemahan khusus yang diterima pakai oleh komuniti penterjemah di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, beliau menambah bahawa teori terjemahan wujud sekiranya takrif teori didasarkan kepada sekumpulan prinsip yang membantu bagi memahami sifat terjemahan atau bagi membina kriteria penilaian bagi teks terjemahan. Takrifan teori terjemahan Nida mengkhusus kepada prinsip-prinsip yang terlibat bagi menghasilkan terjemahan yang memadai, berbanding takrifan teori sebagai satu set idea yang dapat menjelaskan sesuatu fenomena. Usaha untuk menjelaskan fenomena terjemahan sememangnya sukar dilakukan kerana

University

terjemahan merupakan satu fenomena yang kompleks. Tambahan pula, terjemahan melibatkan disiplin ilmu yang berbeza seperti linguistik, sosiolinguistik, sosiologi, teori komunikasi, kritikan sastera dan antropologi budaya.

Nida (2001) mencadangkan agar teori terjemahan didasarkan kepada tiga disiplin utama, iaitu filologi, linguistik dan semiotik. Pertama, teori terjemahan dibina berdasarkan perspektif filologi. Kajian filologi merupakan kajian serta penilaian teks bertulis seperti teks sastera. Asas bagi teori dan amalan terjemahan berkait rapat dengan teks kesusasteraan kerana teks sastera cenderung untuk diterjemahkan. Antara perdebatan hebat yang mencorakkan aliran terjemahan terdahulu ialah pandangan Cicero dan Horace berkaitan isu terjemahan literal lawan terjemahan bebas. Dua pandangan yang bertentangan itu membentuk aliran terjemahan ke arah dua pola yang berbeza, iaitu sama ada cenderung ke arah teks sumber atau teks sasaran. Kedua, teori terjemahan dibina berdasarkan perspektif linguistik. Beliau menjelaskan terdapat sarjana linguistik yang mengkaji permasalahan terjemahan dari sudut perbezaan linguistik antara bahasa sumber dan bahasa sasaran. Vinay & Darbelnet (2000) merupakan contoh sarjana penting yang menjalankan kajian perbandingan antara bahasa Inggeris dan bahasa Perancis bagi membina kaedah dan prosedur terjemahan.

Ketiga, teori terjemahan dibina berdasarkan perspektif sosiosemiotik. Disiplin ilmu ini nyata mempunyai kelebihan kerana kajian sosiosemiotik merangkumi penterjemahan kod dan simbol, misalnya Jakobson yang mengelaskan semiotik sebagai salah satu daripada kategori pendekatan terjemahan. Huraian Nida (2001) memberikan justifikasi ke arah tindakan mengangkat pendekatan sarjana sebagai teori terjemahan, misalnya pendekatan semantik dan komunikatif oleh Newmark diangkat sebagai Teori Semantik dan Komunikatif. Langkah ini diambil berteraskan alasan bahawa Teori Semantik dan Komunikatif mengandungi prinsip-prinsip yang membantu bagi memahami sifat

University

terjemahan. Walaupun kedua-dua teori berkenaan tidak berjaya menjelaskan fenomena terjemahan, aplikasinya dalam kegiatan penterjemahan mampu menghasilkan terjemahan yang dianggap sebagai memadai.

Terdapat sarjana terjemahan seperti Gutt (1991) yang mengaplikasikan teori daripada bidang linguistik ke dalam bidang terjemahan. Berteraskan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Teori Relevans, Gutt membina pendekatan terjemahan langsung dan terjemahan tidak langsung. Pendekatan terjemahan yang dibawa Gutt (1990) mencetuskan polemik dalam bidang terjemahan kerana beliau secara terang-terangan menolak teori terjemahan yang lain, di samping berpendirian bahawa kedua-dua pendekatan yang diperkenalkannya mampu menyelesaikan segala permasalahan dalam bidang terjemahan. Walaupun Teori Relevans yang mantap diterapkan dalam pendekatan terjemahan Gutt, masih wujud kelemahan dalam pendekatan terjemahan beliau. Gutt (1991) mengulas bahawa sukar untuk seorang penterjemah berkongsi klu komunikatif yang sama dengan penulis teks asal, misalnya penulis membayangkan buku berwarna merah sewaktu menulis perkataan ‘buku’. Sebaliknya penterjemah mungkin mentafsirkan perkataan buku yang bersifat umum sebagai buku berwarna biru yang nipis. Faktor seperti geografi, ideologi, agama, jantina, umur dan pengalaman yang berbeza antara penulis dan penterjemah memungkinkan tafsiran yang berbeza berlaku, sekali gus mewujudkan kelemahan pada pendekatan terjemahan Gutt.

Pym (2010) turut memperkatakan isu teori terjemahan dalam bukunya yang bertajuk Exploring Translation Theories. Walaupun buku beliau diterbitkan dalam tempoh hampir sembilan tahun selepas terbitan buku Nida (2001), isu yang sama masih diperkatakan, iaitu permasalahan teori dalam bidang terjemahan. Pym (2010) menjelaskan perkataan theory dalam bahasa Inggeris berasal daripada perkataan theā yang bermaksud melihat (to see). Oleh itu, perkataan teori boleh difahami sebagai

University

tindakan untuk melihat pada pandangan tertentu sewaktu penterjemah melakukan kerja-kerja menterjemah. Berbanding Nida yang berpendirian spesifik dengan membahagikan teori terjemahan berdasarkan tiga disiplin utama, Pym memulakan penulisannya dengan dakwaan bahawa setiap penterjemah berteori (theorizing) sewaktu melakukan kerja-kerja penterjemahan. Beliau seterusnya menjelaskan tidak semua teori yang terhasil akan diterima umum. Perdebatan dan pengiktirafan para sarjana akan menentukan sama ada sesuatu teori diiktiraf atau ditolak dalam komuniti penterjemah. Pym (2010) berpandangan tidak wajar melabel sesuatu teori terjemahan sebagai salah atau betul. Penterjemah bebas untuk memilih teori terjemahan yang bersesuaian dengan jenis teks yang diterjemahkan. Penterjemah juga bebas untuk tidak setia dengan satu teori terjemahan sahaja kerana terdapat pelbagai teori yang sesuai diaplikasikan. Tambahan pula, pelbagai jenis teks memerlukan penyelesaian terjemahan yang pelbagai. Pym (2010) mencadangkan agar penterjemah tidak terlalu fokus kepada teori terjemahan yang sedia ada kerana setiap penterjemah boleh menghasilkan teori. Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mengenal pasti sesuatu masalah dan mencari idea-idea yang boleh menyelesaikan permasalahan. Ringkasnya, penterjemah bebas untuk mencipta dan memilih teori yang memadai dengan terjemahan yang diusahakannya.

Kajian berkaitan teori terjemahan bergerak seiring dengan amalan penterjemahan. Senario ini disebabkan teori dibina bagi menjelaskan sesuatu fenomena yang berlaku dalam bidang terjemahan. Sehubungan dengan itu, perlu diketengahkan fenomena sebenar bidang terjemahan. Konteks pertama yang perlu diteliti ialah individu yang menjalankan kerja-kerja menterjemah atau khususnya penterjemah. Kussmaul (1995) merupakan antara sarjana di Jerman yang mengkaji isu latihan penterjemah. Kussmaul (1995) menjelaskan dalam konteks pengajaran penterjemah, isu yang sering ditimbulkan ialah pakar bidang seperti doktor yang memiliki kemahiran dwibahasa serta mempunyai kamus yang baik mampu untuk menterjemah. Oleh itu, pemberatan diberikan kepada

University

usaha untuk melatih pakar bidang menjadi penterjemah, berbanding menumpukan usaha untuk melatih penterjemah menjadi penterjemah profesional yang mampu menterjemah teks pelbagai bidang. Pada hakikatnya perlu dibezakan antara pengetahuan bidang serta pengetahuan kaedah menterjemah. Golongan pakar bidang mempunyai kemahiran dalam bidang khusus, tetapi tidak semestinya mereka berkemahiran untuk menterjemah sesuatu konsep ke dalam bentuk tulisan. Penterjemah terlatih pula memiliki kelebihan kerana mereka terdedah dengan pelbagai kaedah terjemahan yang menyebabkan mereka bersikap objektif dan mempertimbangkan faktor peristilahan, budaya, bahasa dan konvensi teks bidang. Tambahan pula, langkah menterjemahkan sesuatu perkataan ke dalam bahasa yang berbeza merupakan satu proses yang kompleks. Penterjemah perlu memahami makna perkataan, seterusnya memilih sama ada mengekalkan perkataan sumber ke dalam bahasa sasaran, memberikan padanan terjemahan literal, menggunakan nota kaki bagi menjelaskan makna, atau menggantikan perkataan sumber dengan perkataan sinonim dalam bahasa sasaran. Oleh itu, seorang penterjemah terlatih perlu memiliki ilmu dalam teori dan kaedah terjemahan bagi menghasilkan terjemahan yang berkualiti (Kussmaul, 1995).

Gile (2011) membincangkan konsep asas dan model dari perspektif melatih penterjemah. Beliau menjelaskan fenomena yang berlaku dalam pengajaran penterjemah berdasarkan pengalamannya mengajar kursus penterjemahan teks saintifik dan teknikal daripada bahasa Jepun ke dalam bahasa Perancis. Nilai signifikan yang membezakan penulisannya dengan penulisan sarjana lain adalah disebabkan idea-idea utama yang diutarakan beliau dari aspek latihan penterjemah. Gile (2011) menggariskan seorang penterjemah mesti memiliki kemahiran bahasa yang baik serta pengetahuan dunia yang mencukupi. Dua komponen tersebut lebih ditekankan Gile (2011) berbanding kepentingan penguasaan prinsip dan teknik penterjemahan. Aspek teori dan amali jelas ditekankan oleh beliau bagi memastikan penterjemah pelatih

University

memahami pengajaran secara optimum serta mengaplikasikannya selepas menamatkan pengajian. Gile (2011) juga menjelaskan bahawa latihan penterjemah bukan keperluan yang mutlak. Buktinya, masih wujud penterjemah yang menterjemah tanpa menerima sebarang pendedahan atau latihan terjemahan. Walau bagaimanapun, individu yang menerima latihan penterjemahan sekurang-kurangnya mampu untuk mengenal pasti kesalahan serta memperbaiki kekurangan yang wujud dalam tugasan terjemahannya.

Bagi seseorang penterjemah, tindakan menghantar tugasan yang telah disiapkan dan menerima bayaran merupakan langkah yang terakhir. Namun, terhasilnya sesuatu produk terjemahan tidak bermaksud bahawa segalanya selesai. Produk terjemahan sebenarnya turut dinilai sama ada berkualiti atau sebaliknya. Peri pentingnya untuk menilai terjemahan telah membuka jalan ke arah kajian berkaitan kualiti terjemahan. House (1997) merupakan sarjana bidang terjemahan yang terkenal dalam kajian penilaian kualiti terjemahan. Model penilaian terjemahan yang diutarakan oleh House (1997) bertujuan untuk menganalisis situasi dan fungsi teks sumber, serta penilaian padanan terjemahan. Perbandingan yang dilakukan pula terbahagi kepada dua bahagian, iaitu pertama, dimensi pengguna bahasa yang melibatkan asal usul geografi, kelas sosial dan masa. Kedua, dimensi penggunaan bahasa. Dimensi ini melibatkan medium, iaitu bentuk perantaraan teks (mudah atau kompleks), penyertaan (mudah atau kompleks), peranan perhubungan sosial, sikap sosial yang berkait dengan maklumat yang cuba disampaikan dan wilayah yang diliputi oleh teks. Pembahagian kepada dua dimensi serta beberapa subkategori membantu penterjemah secara khususnya sewaktu menterjemah. Selepas semua subkategori berkenaan dikaji dan dipertimbangkan, barulah kualiti sesuatu hasil terjemahan dapat ditentukan.

University

Kajian terjemahan juga melibatkan aspek makna perkataan. Rasional pernyataan ini dibuat berteraskan alasan bahawa aktiviti terjemahan melibatkan penterjemahan perkataan dalam pelbagai bahasa. Setiap perkataan pula mempunyai makna, sama ada makna secara tersurat atau tersirat. Larson (1984) ialah sarjana perintis bagi kajian makna dalam penterjemahan. Corak aliran kajian Larson yang bertunjangkan makna jelas kelihatan dalam buku beliau yang bertajuk Meaning-Based Translation. Kajian beliau bertujuan untuk membuktikan bahawa penterjemahan melibatkan pemindahan makna daripada teks sumber ke dalam teks sasaran. Penterjemah dicadangkan agar mengekalkan makna yang terkandung dalam teks sumber di samping diberi kelonggaran untuk tidak mengekalkan bentuk. Larson (1984) juga memberikan panduan untuk mengekalkan makna sewaktu menterjemah. Pertama, penterjemah wajar mengkaji leksikon, struktur tatabahasa, situasi komunikasi dan konteks budaya bagi bahasa sumber. Kedua, penterjemah menganalisis keempat-empat faktor yang dinyatakan bagi mengenal pasti makna perkataan. Akhirnya, penterjemah membina semula makna yang sama dengan menggunakan leksikon, struktur tatabahasa, situasi komunikasi dan konteks budaya bahasa sasaran. Ringkasan bagi panduan proses menterjemah oleh Larson (1984) adalah seperti Rajah 2.1 di bawah.