• Tidak ada hasil yang ditemukan

Peringkat Ketiga: Analisis Pendekatan Terjemahan

Rajah 3.4: Aplikasi Pendekatan dan Prosedur Terjemahan

3.5.3 Peringkat Ketiga: Analisis Pendekatan Terjemahan

Bab 6 secara khususnya mengetengahkan aspek analisis pendekatan terjemahan katalog Cosway dan katalog Avon. Dalam bab berkenaan, pendekatan terjemahan fungsian Nord (1997) akan dinilai kesesuaiannya bagi menganalisis data kajian. Bagi tujuan analisis data, pengkaji hanya memanfaatkan dua pendekatan terjemahan Nord (1997), iaitu terjemahan sefungsi dan terjemahan literal. Nord (1997) dan Torresi (2010) menyatakan bahawa pendekatan terjemahan fungsian sesuai digunakan bagi menterjemahkan teks iklan dan melalui pendekatan ini, penterjemah melakukan pengubah suaian sehinggakan khalayak yang membaca teks terjemahan beranggapan seolah-olah sedang membaca teks sumber. Analisis data kajian awal membuktikan pandangan Nord (1997) benar dan pendekatan terjemahan fungsian sesuai diaplikasikan dalam penterjemahan tajuk utama. Walau bagaimanapun, wujud keterbatasan dalam pendekatan terjemahan dan aplikasi prosedur terjemahan diperlukan bagi menganalisis data secara lebih jitu. Oleh itu, analisis dilakukan pada pendekatan terjemahan (peringkat makro) dan seterusnya analisis prosedur terjemahan (peringkat mikro). Aplikasi prosedur terjemahan dilakukan pada peringkat mikro, iaitu untuk menterjemah ayat dan unit bahasa yang lebih kecil

University

seperti klausa dan perkataan. Rasional prosedur digunakan dalam analisis data adalah pendekatan terjemahan Nord (1997) sekadar memberikan gambaran umum sama ada fungsi pemujukan teks tercapai atau tidak; dan memberikan maklumat berkaitan arah penterjemahan teks, iaitu sama ada cenderung ke arah teks sumber atau teks sasaran. Selain itu, pengkaji juga berpendapat bahawa prosedur terjemahan wajar digunakan bagi menampung kekurangan pendekatan terjemahan serta memberikan penjelasan yang lebih konkrit berkaitan perubahan-perubahan yang berlaku pada peringkat perkataan apabila proses terjemahan dilakukan. Contoh penulisan data serta analisis pendekatan dan prosedur terjemahan bagi data kajian adalah seperti Contoh 3 dan Contoh 4 berikut:

Contoh 3

Data Teks Selari I Teks Selari II

C1D52 Delicious Hunger-Curbing Candy For A Trimmer You!

Gula-gula Lazat yang Mengenyangkan untuk Anda Lebih Langsing!

Analisis peringkat makro dilakukan menerusi penelitian terhadap pendekatan terjemahan yang diaplikasikan oleh penterjemah katalog. Bagi Contoh 3, penterjemah mengaplikasikan pendekatan terjemahan sefungsi dalam terjemahannya. Aplikasi pendekatan terjemahan sefungsi seperti yang diutarakan Nord (1997) jelas berlaku apabila penterjemah mementingkan fungsi pemujukan dan tidak terlalu mengikut bentuk ayat dalam TS I. Selain itu, pengubah suaian juga berlaku agar pembaca TS II merasakan seolah-olah membaca tajuk utama yang asalnya ditulis dalam bahasa Melayu dan bukannya sedang membaca hasil terjemahan daripada TS I. Contohnya tajuk utama dalam TS I membawa maksud ‘gula-gula yang dapat mengekang rasa lapar dan menjadikan individu kelihatan lebih langsing’, sebaliknya padanan dalam TS II menggunakan padanan perkataan yang berbeza tanpa mempengaruhi mesej iklan. Di samping itu, konotasi negatif yang dibawa oleh perkataan hunger-curbing (menahan

University

rasa lapar) juga bertukar menjadi positif menerusi penggunaan padanan terjemahan ‘mengenyangkan’ dalam TS II.

Contoh 4

Data Teks Selari I Teks Selari II

C1D109 The Healing Powers of Natural Black Mud Soap … from the Dead Sea

Alzara Sabun Tanah Liat Semulajadi … dari Laut Mati

Analisis peringkat mikro dilakukan menerusi penelitian terhadap prosedur terjemahan yang diaplikasikan oleh penterjemah katalog. Contoh 4 menunjukkan penterjemah mengubah suai maklumat the healing powers kepada nama produk, iaitu Alzara. Implikasinya, pembaca tajuk utama dalam bahasa Melayu tidak mendapat maklumat akan fungsi sabun Alzara yang didakwa mampu untuk menyembuhkan. Penterjemah juga secara tidak langsung telah mengubah makna yang terkandung dalam TS I. Perbezaan ketara diteliti menerusi dakwaan dalam TS I yang mengetengahkan kelebihan sabun tanah liat yang mampu untuk menyembuhkan. Sebaliknya tajuk utama dalam TS II bersifat spesifik kerana meletakkan nama produk Alzara sebagai subjek utama dan memberikan penerangan tambahan iaitu ‘sabun tanah liat semulajadi … dari Laut Mati. Seterusnya, penterjemah mengaplikasikan prosedur pengguguran apabila tidak menterjemahkan perkataan black menjadi hitam dalam TS II, dan hanya padanan terjemahan tanah liat yang diberikan bagi perkataan black mud.

Perubahan yang berlaku dalam tajuk utama versi terjemahan memberikan maklumat bahawa penterjemah katalog melakukan pengubah suaian dan tidak terikat dengan bentuk perkataan dalam TS I. Penterjemah juga melakukan kesalahan ejaan apabila perkataan ‘semula jadi (betul)’ dieja menjadi ‘semulajadi (salah)’. Kamus Dwibahasa (2002) misalnya menggunakan ejaan ‘semula jadi’ sebagai padanan terjemahan bagi perkataan natural. Wajar untuk diketengahkan bahawa dalam bab ini, analisis

University

pendekatan dan prosedur terjemahan ditunjukkan dalam contoh yang berbeza bagi memudahkan pemahaman akan cara pendekatan dan prosedur terjemahan dianalisis. Dalam analisis data di Bab 6, pendekatan dan prosedur terjemahan dianalisis secara serentak bagi setiap data. Perlu juga dijelaskan bahawa pengkaji tidak menyertakan analisis satu demi satu tajuk utama dalam bab analisis data, hanya data yang signifikan sahaja yang dihuraikan bagi mewakili pola-pola yang wujud dalam keseluruhan 2064 tajuk utama (1032 versi bahasa Inggeris dan 1032 versi bahasa Melayu). Selain itu, bilangan pendekatan terjemahan juga akan disertakan dalam bentuk jadual bagi memperlihatkan pola-pola yang wujud dalam data kajian.

3.6 Rumusan

Bab ini telah menyenarai dan menghuraikan pandangan sarjana Torresi (2010), Haugen (1972) dan Nord (1997). Pengkaji juga telah menghuraikan pandangan ketiga-tiga sarjana berkenaan serta pengubah suaian yang dilakukan terhadap pandangan mereka dalam usaha untuk membina kerangka pendekatan yang signifikan. Lanjutan daripada itu, ketiga-tiga pendekatan yang dicadangkan oleh sarjana daripada bidang yang berbeza ini akan digunakan secara eklektik untuk menganalisis ciri-ciri bahasa, unsur keinggerisan serta pendekatan penterjemahan tajuk utama dalam katalog Cosway dan katalog Avon. Selain itu, beberapa maklumat penting kajian seperti bahan kajian serta metodologi kajian juga telah dibincangkan secara kritis. Akhirnya, aplikasi penggunaan kerangka pendekatan dalam menganalisis data turut disenaraikan dan dijelaskan dalam bahagian peringkat-peringkat analisis data kajian. Walau bagaimanapun, analisis yang dilakukan sekadar bersifat pengenalan sahaja dan analisis yang lebih mendalam akan dibincangkan dalam bab seterusnya.

University