• Tidak ada hasil yang ditemukan

Ringkasan Pendekatan Terjemahan Nord (1997)

Kategori pertama bagi pendekatan fungsian ialah terjemahan instrumental (instrumental translation) yang berfungsi sebagai instrumen atau alatan yang berperanan untuk menyampaikan maklumat budaya pembaca teks sumber kepada pembaca teks sasaran. Dalam konteks ini, beberapa aspek dalam teks sumber dijadikan sebagai model, manakala teks sumber juga akan diadaptasi mengikut norma dan konvensi teks sasaran. Bagi penterjemahan instrumental, Nord (1997) mengklasifikasikannya kepada tiga pendekatan terjemahan, iaitu terjemahan sefungsi (equifunctional translation), terjemahan heterofungsian (heterofunctional translation) dan terjemahan homologus (homologous translation). Pertama ialah terjemahan sefungsi yang digunakan pengkaji bagi menganalisis data kajian. Kedua ialah

University

terjemahan heterofungsian dan melalui terjemahan ini, fungsi teks sumber tidak dikekalkan secara keseluruhan disebabkan perbezaan budaya atau masa. Ketiga ialah terjemahan homologus dan bentuk terjemahan ini kebiasaannya digunakan bagi menterjemahkan teks sastera. Kategori kedua ialah terjemahan dokumentari (documentary translation) yang bertujuan bagi menghasilkan dokumen untuk interaksi komunikatif budaya pembaca sumber menerusi budaya sumber yang mendasari teks terjemahan. Teks sumber dianggap sebagai sumber dokumen budaya yang menghasilkan komunikasi antara pengarang asal dengan pembaca sumber. Bagi penterjemahan dokumentari, terdapat empat pendekatan terjemahan yang dibezakan menerusi tujuan terjemahan, iaitu terjemahan perkataan demi perkataan (interlinear translation), terjemahan literal (literal translation), terjemahan filologikal (philological translation) dan terjemahan berunsur eksotik (exoticizing translation).

Terjemahan pertama ialah terjemahan perkataan demi perkataan. Melalui bentuk terjemahan ini, struktur ayat teks sumber dikekalkan dalam teks sasaran dan digunakan apabila penterjemah cuba untuk menunjukkan struktur asal sesuatu bahasa kepada pembaca. Kedua ialah terjemahan literal yang telah dipilih pengkaji untuk menganalisis data. Ketiga ialah terjemahan filologikal yang juga dikenali sebagai learned translation. Menerusi pendekatan terjemahan ini, penterjemah akan menambah maklumat menerusi glosari atau nota kaki. Terjemahan jenis ini juga digunakan bagi menterjemahkan teks agung seperti karya Homer dan Kitab Injil yang mengandungi unsur budaya yang berbeza dengan teks sasaran. Bentuk terjemahan keempat ialah terjemahan berunsur eksotik atau berunsur asing (foreignizing). Bagi terjemahan ini, penterjemah akan mengekalkan budaya dan latar belakang cerita teks sumber bagi memberikan kesan asing kepada pembaca sasaran. Pengekalan unsur asing berperanan untuk menunjukkan perbezaan jarak budaya kepada pembaca sasaran, di samping menukar fungsi komunikatif teks tersebut, misalnya dalam penterjemahan teks prosa sastera moden

University

(Nord, 1997). Sehubungan dengan itu, pembaca teks sasaran akan mendapat maklumat budaya material Barat serta cara hidup masyarakat Barat yang masih dikekalkan dalam teks terjemahan. Rumusannya, pengkaji telah menghuraikan pandangan Torresi (2010), Haugen (1972) dan Nord (1997) dalam usaha untuk membina kerangka pendekatan yang sesuai bagi menganalisis data kajian. Perlu juga ditekankan bahawa pengkaji mengubah suai pandangan ketiga-tiga sarjana dan mengaplikasi pandangan yang sesuai dengan kajian yang dijalankan, misalnya hanya dua pendekatan Nord (1997) yang diaplikasikan dalam menganalisis data. Justifikasi pemilihan berkenaan dilakukan adalah bagi memastikan kerangka pendekatan tidak terlalu padat dengan pelbagai pandangan sarjana dan wujud kemungkinan bahawa tidak semua pandangan berkenaan benar-benar sesuai untuk menganalisis data kajian yang digunakan oleh pengkaji. Akhirnya, pandangan sarjana-sarjana berkenaan juga jelas memberi pencerahan terhadap isu keinggerisan yang berlaku. Faktor seperti ciri-ciri bahasa dalam tajuk utama, pendekatan terjemahan tajuk utama serta faktor perkataan pinjaman jelas membawa impak yang tersendiri terhadap kemunculan isu keinggerisan di Malaysia.

3.3 Bahan Kajian

Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif. Menurut Chua (2006), penyelidikan kualitatif melibatkan penghuraian data dalam bentuk teks, dan secara tidak langsung pengkaji dapat memahami secara mendalam tentang fenomena di bawah kajian serta meramal fenomena yang akan berlaku. Hal ini disebabkan tidak semua situasi dapat difahami sepenuhnya dengan menggunakan angka dan statistik, iaitu kaedah kuantitatif. Kaedah kualitatif diaplikasikan menerusi analisis teks secara deskriptif untuk menganalisis dan mengupas isu ciri-ciri bahasa tajuk utama, pendekatan terjemahan tajuk utama, serta unsur keinggerisan bagi katalog bercetak. Kajian ini memanfaatkan tajuk utama dalam katalog Cosway dan katalog Avon selaku

University

korpus utama. Korpus utama ini digunakan bagi menganalisis terjemahan dengan menjalankan analisis teks secara bandingan. Korpus sekunder pula merupakan penerbitan bercetak dan rujukan elektronik. Bahan ini terdiri daripada penerbitan seperti buku, jurnal, tesis, prosiding, keratan akhbar, laman sesawang, dan sebagainya yang dimanfaatkan dalam penulisan tesis. Dalam konteks kajian ini, pasangan bahasa yang dikaji ialah bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Pemilihan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris selaku medium bahasa kajian berlandaskan faktor (i) bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan di Malaysia, (ii) Asmah Omar (1984) menyatakan terjemahan iklan tempatan ‘berbau’ Inggeris, justeru kajian ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai salah satu medium bahasa kajian, dan (iii) kajian yang dilakukan signifikan bagi mengatasi permasalahan sebenar isu iklan berbahasa Melayu di Malaysia yang wujud unsur keinggerisan dalamnya. Pengumpulan data kajian awal (pilot study) dilakukan menerusi pengumpulan katalog Cosway bagi tempoh lima bulan, iaitu dari Januari hingga Mei 2013. Bagi setiap bulan terdapat satu katalog yang dikumpulkan dan bilangan halaman katalog adalah tidak konsisten, dan kebiasaannya antara 92 (minimum) hingga 100 (maksimum) halaman. Pengkaji memilih untuk menggunakan satu katalog iklan Cosway sahaja sebagai kajian awal dan tajuk utama yang terkandung dalam katalog berkenaan dikumpul dan seterusnya dianalisis.

Terdapat 192 tajuk utama yang digunakan sebagai sampel kajian bagi kajian awal. Pengkaji berpendapat bilangan 192 data adalah memadai berlandaskan hujahan Wimmer & Dominick (2014), iaitu satu data sahaja boleh digunakan dalam kajian kualitatif. Rasional kajian awal dilakukan dalam kajian ini melibatkan dua sebab, iaitu (i) kajian bidang terjemahan melibatkan gabungan pandangan beberapa sarjana (eklektik), justeru kajian awal perlu dilakukan untuk membuktikan gabungan pandangan sarjana yang dimanfaatkan pengkaji sesuai digunakan bagi menganalisis data, seterusnya menjawab persoalan kajian, dan (ii) kajian bidang media mementingkan kajian awal

University

bagi menentukan metodologi kajian yang digunakan pengkaji adalah relevan dan berkesan (Wimmer & Dominick, 2014). Bagi korpus data sebenar, pengkaji mengumpulkan katalog Cosway dan katalog Avon selama tiga bulan, iaitu dari Ogos 2013 hingga Oktober 2013. Asas pemilihan katalog terbitan tahun 2013 adalah disebabkan faktor pengkaji yang cuba untuk mendapatkan data kajian yang terkini. Secara keseluruhannya, terdapat enam katalog Avon dan tiga katalog Cosway yang dikumpulkan dalam tempoh tiga bulan. Pemilihan dua jenis katalog berkenaan adalah disebabkan faktor kesesuaian dan menepati objektif kajian. Selain itu, pemilihan katalog sebagai korpus kajian juga disebabkan oleh faktor katalog merupakan bahan yang sedia ada, iaitu bukan bahan yang direka bagi tujuan penyelidikan. Faktor katalog yang sentiasa wujud dalam persekitaran kehidupan harian, mudah diperoleh, tidak memerlukan transkripsi yang memakan masa dan tenaga (Mautner, 2008) juga mendorong ke arah kajian yang dijalankan oleh pengkaji. Secara keseluruhannya, terdapat 1032 tajuk utama versi bahasa Inggeris dan 1032 tajuk utama versi bahasa Melayu yang digunakan sebagai data kajian. Ringkasan bagi maklumat data kajian adalah seperti Jadual 3.2 dan Jadual 3.3 berikut: