• Tidak ada hasil yang ditemukan

Rajah 2.2 ditafsirkan mengikut tiga aspek yang saling berkait rapat. Pertama, fokus kajian ialah kajian penterjemahan dan pemberatan utama diberikan dari perspektif penterjemahan. Kedua, kajian pengkaji melibatkan penterjemahan dalam teks bidang media atau khususnya mengkaji penterjemahan tajuk utama dalam katalog bercetak. Ketiga, pengkaji juga menganalisis isu unsur keinggerisan (anglicism) yang wujud dalam terjemahan katalog bercetak Cosway dan Avon.

University

2.5.3 Aspek Kekangan dalam Penterjemahan Teks Iklan

Berdasarkan tinjauan pembacaan dan perkembangan semasa dalam industri terjemahan, pengkaji merumuskan masih wujud kekangan dalam aktiviti penterjemahan teks iklan secara khususnya, atau aktiviti penterjemahan teks pelbagai bidang secara umumnya. Kekangan pertama dikenal pasti daripada aspek bahasa. Hal ini disebabkan data kajian bagi bidang terjemahan melibatkan bahasa. Sarjana terjemahan seperti Aniswal Abdul Ghani (2000) dan Holzwarth (2009) telah memberikan contoh kekangan bahasa seperti faktor jarak antara bahasa, masalah tatabahasa, masalah ejaan bagi istilah yang dipinjam daripada bahasa Inggeris, ketidakselarasan istilah serta ejaan, aspek kala, bentuk ayat pasif dan aktif, isu gender dan bentuk jamak. Selain itu, keperluan untuk mengkaji aspek bahasa tidak dapat dielakkan kerana terjemahan melibatkan dua teks yang berbeza bahasa dan sistem tatabahasanya.

Kedua, kekangan budaya. Kekangan ini sering dihadapi oleh penterjemah teks iklan dan teks kesusasteraan. Muhammad Haji Salleh (2007) misalnya menggariskan perbezaan kebudayaan antara teks sumber dan teks sasaran telah menghadirkan kesukaran untuk memindahkan konsep budaya tempatan kepada khalayak asing. Kajian Mohamed Zain Sulaiman (2014) juga membuktikan penterjemah melakukan pengubah suaian dalam teks iklan berbahasa Inggeris bagi menyesuaikan dengan budaya masyarakat tempatan. Selain teks iklan, teks sastera juga sering menggunakan elemen budaya bagi memperihalkan nilai dan cara hidup sesuatu masyarakat di sesebuah negara. Faktor sesuatu budaya yang khusus dengan tempat atau bahasa tertentu semestinya menyukarkan penterjemah untuk mencari padanan terjemahan yang tepat.

Ketiga, kekangan dari aspek medium terjemahan. Penterjemahan iklan melibatkan pelbagai medium dan bahan seperti katalog bercetak, televisyen, radio, akhbar, majalah, risalah, dan laman sesawang. Setiap satu daripada medium berkenaan pula mempunyai

University

ruang dan konvensi yang tersendiri, misalnya had bilangan patah perkataan bagi penulisan tajuk utama iklan dalam akhbar. Kajian Kanmani (2007) membuktikan bahawa kekangan ruang menyebabkan terjemahan yang salah berlaku. Oleh hal yang demikian, penterjemah perlu mempertimbangkan faktor medium terjemahan sewaktu menterjemah. Aspek masa juga boleh dikategorikan sebagai kekangan bagi medium terjemahan. Contohnya penulisan Bielsa & Bassnett (2009) memberikan maklumat bahawa elemen masa sentiasa dipentingkan dalam agensi berita. Sesuatu berita yang lewat diterbitkan akan dianggap sebagai berita basi dan tidak mempunyai nilai berita. Penterjemahan teks iklan juga dipengaruhi elemen masa, misalnya klien menggaji penterjemah untuk menyiapkan terjemahan iklan berdasarkan tempoh masa tertentu. Kelewatan pengedaran iklan di media cetak atau elektronik mungkin menyebabkan kerugian kepada sesebuah syarikat atau organisasi.

Keempat, kekangan dari segi kemahiran menterjemah. Berdasarkan tinjauan pembacaan, pengkaji merumuskan kelemahan penterjemah terdiri daripada beberapa faktor. Pertama, penterjemah tidak menguasai kemahiran menterjemah. Permasalahan ini berlaku disebabkan penterjemah tidak menjalani latihan khusus tentang teori dan kaedah terjemahan. Kedua, penterjemah kurang mahir dengan sistem tatabahasa bagi pasangan bahasa yang diterjemah, di samping faktor perbendaharaan kata yang terhad. Faktor berkenaan membuatkan penterjemah bersikap setia dengan bentuk ayat teks sumber sehingga gagal menterjemahkan makna mengikut konteks gaya bahasa sasaran. Ketiga, penterjemah tidak menguasai ilmu bidang. Permasalahan ini lazimnya berlaku dalam penterjemahan teks bidang seperti bidang perundangan dan saintifik. Keempat, penterjemah kurang mahir dengan gaya penulisan sesuatu penerbitan, misalnya penterjemah mengalami masalah dari segi penggunaan simbol, formula dan singkatan, serta masalah untuk melabel rajah dan jadual. Kelima, penterjemah tidak menguasai ilmu dunia. Masalah seperti terjemahan salah, salah terjemah perkataan budaya, tidak

University

memahami makna tersirat, dan gagal menterjemahkan perkataan taksa berlaku disebabkan faktor penterjemah kurang membaca dan tidak menyelidiki sesuatu maklumat sebelum menterjemah.

Kelima, kekangan dari segi industri. Ilmu terjemahan yang dipelajari pada peringkat akademik seharusnya dikembangkan dan dimanfaatkan pada peringkat industri. Pada masa yang sama, pihak industri juga wajar bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi menerusi latihan industri yang lazimnya diikuti oleh para pelajar sewaktu pengajian tahun akhir. Walau bagaimanapun, masih wujud isu berkaitan kesesuaian silibus pengajian terjemahan dengan aplikasi sebenar terjemahan dalam industri terjemahan atau syarikat penerbitan tempatan. Penulisan Wan Nor Hazwani Wan Ramli (2013) misalnya memberikan pendedahan bahawa terdapat teks dan bahan terjemahan sebenar yang sukar untuk diperoleh oleh pengajar penterjemahan. Situasi ini jelas menyukarkan pelajar terjemahan atau penterjemah pelatih untuk mendalami penterjemahan teks sebenar yang dilakukan dalam industri terjemahan di Malaysia. Situasi yang sama juga dihadapi dalam kajian penterjemahan teks iklan. Pengkaji sukar untuk menemukan iklan yang menyediakan versi bahasa sumber dan bahasa sasaran. Rata-rata iklan sekadar disediakan dalam satu versi bahasa sahaja, dan sekiranya wujud versi terjemahan, versi berkenaan diedarkan secara terpisah dengan versi asal.

Kelima-lima kekangan yang digariskan pengkaji mempunyai implikasi yang boleh diteliti dari aspek mikro dan makro. Bagi aspek mikro atau peringkat skala yang kecil, lima kekangan ini mampu mempengaruhi kualiti terjemahan dan menyebabkan masalah bahasa berlaku. Contohnya penterjemah yang kurang mahir akan menghasilkan terjemahan yang tidak berkualiti atau naskhah terjemahan yang dihasilkan akan mengandungi pelbagai kesalahan bahasa. Bagi aspek makro atau peringkat skala yang lebih besar pula, kekangan-kekangan dalam penterjemahan mampu mempengaruhi

University

kelangsungan kerjaya penterjemah, kelangsungan pengamal industri terjemahan, serta perkembangan ilmu. Percambahan kemasukan ilmu luar negara ke dalam Malaysia semestinya akan terbatas apabila pengamal industri terjemahan, iaitu penterjemah semakin berkurangan. Situasi berkenaan semestinya akan merugikan negara Malaysia. Ringkasan bagi aspek kekangan dalam penterjemahan serta implikasinya diringkaskan seperti Rajah 2.3 berikut: