• Tidak ada hasil yang ditemukan

Penguasaan Kemahiran Bahagi Menggunakan Petak Istimewa

MARGRATE PASU¹ ERNIE KHO SIAW NEE²

ABSTRAK

Penyelidikan tindakan ini dijalankan untuk membantu lima orang murid Tahun 2 bagi meningkatkan penguasaan kemahiran dalam menyelesaikan soalan penolakan yang melibatkan pengumpulan semula dengan menggunakan teknik jari. Kajian tindakan ini dibuat berpandukan kepada Model Kurt Lewin (1946). Lima responden telah dipilih berdasarkan pemerhatian dan ujian diagnostik yang dijalankan dalam kalangan murid di sebuah sekolah kebangsaan sekitar bandar Miri yang menghadapi masalah dalam menyelesaikan soalan penolakan melibatkan pengumpulan semula.

Data kajian ini dikumpul dengan menggunakan kaedah pemerhatian, lembaran kerja murid dan temu bual. Data kajian yang diperoleh dibandingkan dan dianalisis dengan menggunakan kaedah peratusan. Hasil analisis data mendapati kelima-lima responden telah menunjukkan peningkatan dalam kemahiran menjawab soalan penolakan dengan pengumpulan semula selepas teknik jari digunakan.

ABSTRACT

This action research was carried out to help five pupils of Year 2 to improve their mastery skill for the basic facts of subtraction through finger-method. This action research uses the Kurt Lewin (1946) Action Research Model. Five respondents among pupils of Year 2 were selected based on an observation and a diagnostic test conducted among pupils at one of the school in Miri City. All five respondents had problems in basic subtraction involving regrouping. The data that was collected through observations, worksheets and interviews was analyzed by finding the percentage. The result of this research based on the analysis of data showed that the finger-method was effective to improve their achievement in solving the subtraction questions involving regrouping.

PENDAHULUAN

Matematik merupakan salah satu daripada mata pelajaran teras yang amat penting dan harus dikuasai oleh murid sejak dari sekolah rendah. Mata pelajaran ini bertujuan untuk melahirkan individu yang berketrampilan mengaplikasikan pengetahuan Matematik dalam kehidupan harian secara berkesan dan bertanggungjawab semasa menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.

Matematik juga merupakan suatu bidang ilmu yang melatih minda supaya berfikir secara mantik dan bersistem dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.

Selain itu, Matematik juga merupakan antara bidang yang terpenting dalam sebarang usaha pembinaan insan perlu dikuasai oleh murid-murid selaras dengan Falsafah

170

Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu melalui pendidikan yang berkualiti,

Menurut Habibah Suid (2004), kajian kelemahan murid terhadap mata pelajaran Matematik di peringkat sekolah rendah adalah berhubungkait dengan sikap dan motivasi diri murid, kesedaran murid terhadap kepentingan mempelajari Matematik, sikap ibu bapa terhadap pelajaran anak-anak dan pendekatan guru dalam membimbing murid melalui proses pengajaran dan pembelajaran Matematik.

Menurut Noraini Idris (2011), antara sebab kemerosotan pencapaian dalam mata pelajaran matematik adalah disebabkan murid-murid menganggap Matematik suatu mata pelajaran yang sukar dan menjemukan. Oleh yang demikian, seseorang guru itu perlu bijak dan kreatif dalam mengaplikasikan pelbagai kaedah, teknik dan strategi pengajaran dan pembelajaran supaya murid dapat memahami sesuatu konsep Matematik dengan mudah serta dapat menarik minat murid untuk mempelajari Matematik.

Guru sebagai pendidik generasi masa kini perlu bersedia untuk menghadapi perubahan dengan mengubah teknik pengajaran dan pembelajaran seiring dengan peredaran zaman era globalisasi dengan menggunakan pelbagai teknik dan strategi yang sesuai serta menarik minat murid dalam mata pelajaran Matematik.

Penyelidikan tindakan bagi subjek Matematik amatlah penting bagi menyemai minat murid terhadap Matematik serta mempertingkatkan mutu pendidikan negara untuk menghasilkan generasi Malaysia yang bukan sahaja kreatif dan inovatif dalam pemikiran mereka, malah berketerampilan dan berintelek tinggi, selaras dengan visi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) iaitu „Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang‟.

REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Pengkaji merupakan seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah kebangsaan yang terletak di sekitar bandar Miri. Pengkaji telah mempunyai pengalaman mengajar Matematik selama 19 tahun di sekolah rendah. Berdasatkan pengalaman mengajar Matematik di sekolah rendah, terdapat pelbagai masalah yang berkaitan dengan pembelajaran Matematik wujud di kalangan murid. Semasa mengajar topik penolakan, pengkaji mendapati kebanyakan murid Tahun 2 belum menguasai dan melakukan pelbagai jenis kesilapan semasa membuat latihan yang seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.

(a) Murid hanya menolak nilai kecil daripada nilai besar.

(c) Murid tidak faham konsep pengumpulan semula.

(b) Murid menulis nombor secara rawak sebagai jawapan.

(d) Murid cuai dalam menolak setelah mengumpul semula.

Rajah 1: Contoh Kesilapan Murid Dalam Topik Penolakan Melibatkan Pengumpulan Semula

171 Pengkaji mendapati teknik pengajaran biasa dalam bentuk lazim yang digunakan oleh pengkaji kurang berkesan dan murid-murid agak sukar untuk menghafal fakta asas tolak yang lebih daripada 10. Pengkaji telah mengambil tindakan untuk menyelesaikan isu ini dengan memilih penggunaan teknik jari untuk membantu lima orang murid Tahun 2 dalam meningkatkan penguasaan kemahiran dalam penolakan yang melibatkan pengumpulan semula.

Menurut Ngan Jia Ing (2011) dalam kajian beliau menyatakan bahawa muridnya berjaya menguasai kemahiran penolakan fakta asas dengan menggunakan teknik jari. Beliau menyatakan penggunaan teknik jari dalam penolakan menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dan secara tidak langsung, prestasi murid dalam penolakan dengan pengumpulan semula juga meningkat.

Kajian Chieng Leh Hui (2011) juga memberikan laporan positif mengenai pencapaian muridnya dalam penggunaan teknik jari untuk menyelesaikan soalan penolakan dengan pengumpulan semula. Beliau menyatakan bahawa, murid melibatkan diri secara aktif dalam setiap aktiviti yang dirancang kerana berasa seronok melakukan aktiviti penolakan dengan pengumpulan semula dengan menggunakan jari.

Kajian Leuhing anak Lawat (2011) juga menunjukkan bahawa penggunaan teknik jari dalam kajian beliau telah berjaya meningkatkan pencapaian responden dalam mengira fakta asas tambah dan tolak. Beliau juga menyatakan penggunaan jari berjaya menarik minat murid terhadap pengajaran beliau terutama dalam tajuk Nombor Bulat.

Saiful Azali Hamdan dan Habibah Marzuki (2012) juga telah menjalankan kajian dengan menggunakan teknik jari dalam penolakan dengan pengumpulan semula. Berdasarkan dapatan kajian tersebut, responden telah menunjukkan peningkatan dalam kemahiran menjawab soalan penolakan dengan pengumpulan semula.

FOKUS KAJIAN

Fokus kajian ini adalah untuk membantu lima orang murid Tahun 2 yang menghadapi masalah dalam menyelesaikan soalan penolakan melibatkan pengumpulan semula. Untuk meningkatkan penguasaan kemahiran penolakan melibatkan pengumpulan semula dalam kalangan murid-murid, pengkaji memperkenalkan penggunaan teknik jari kepada responden yang dipilih.

Menurut Nur Fathiah Mohd Nasir dan Norlia Abd Aziz (2010), operasi penolakan bagi kemahiran mengumpul semula ialah apabila nombor atas lebih kecil dari nombor bawah, maka proses pinjam sebelah akan berlaku. Kajian Julaila Selamat, Rashidah Punawan dan Rosnah Embok Tang (2010) pula menyatakan masalah murid melakukan operasi tolak adalah disebabkan tidak faham langkah pinjam sebelah dan pinjam sebelah dengan nilai 10 tanpa mencampur atau mengumpul semula nombor yang sedia ada.

172

OBJEKTIF KAJIAN DAN SOALAN KAJIAN