• Tidak ada hasil yang ditemukan

Kolej Komuniti Bandar Penawar, Kota Tinggi, 81930, JOHOR [email protected]

1. Pengenalan

Keusahawanan merupakan salah satu bidang yang penting dalam mencapai sasaran sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi, inklusif dan berpaksikan inovasi. Melalui keusahawanan pembangunan masyarakat yang makmur terhasil kerana usahawan bukan sahaja dapat mencipta pekerjaan malah mencipta perniagaan baharu bersesuaian kehendak masyarakat pada masa depan. Perkara ini akhirnya dapat mengurangkan kadar pengangguran seterusnya dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara (Natasha Dora Muridan et al. 2017, Faradillah Iqmar Omar et al. 2015). Keusahawanan juga adalah satu medan dakwah yang penting di dalam Islam. Islam amat menggalakkan umatnya untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan kerana hampir keseluruhan rezeki itu berpunca dari perniagaan. Sebagaimana maksud hadith: “Perniagaan itu adalah sembilan persepuluh dari rezeki...” (Mohd Zain Mubarak et al. 2015). Keusahawanan juga memainkan peranan yang penting bagi menjana Industri 4.0 kerana ia dikaitkan dengan perniagaan yang membabitkan urusan jual beli produk ataupun penawaran perkhidmatan yang ditukar dengan wang. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Zarimah Zakaria (2018), keusahawanan dalam konteks industri 4.0 ialah selain menjalankan perniagaan untuk mencari pendapatan, usahawan sebenar mempunyai visi, misi, dinamik, kreatif dan inovatif untuk meningkatkan ekonomi ke peringkat lebih tinggi.

Kepentingan keusahawanan dalam menyokong pembangunan negara telah lama dikenalpasti dan pelbagai strategi telah dirangka dan diperkukuhkan oleh kerajaan. Melalui Rancangan Malaysia Ke-11, pembangunan modal insan melalui aktiviti keusahawanan terus dititiberatkan kerana keusahawanan telah dikenalpasti sebagai pemboleh penting dalam menyokong peralihan sektor-sektor ekonomi kepada aktiviti berintensif pengetahuan dan inovasi. Kementerian Pengajian Tinggi pula telah menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) dengan mensasarkan matlamat melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang sebagai lonjakan pertama berbanding sembilan lagi lonjakan yang lain. Melalui lonjakan ini matlamat khusus bagi menyemai minda keusahawanan dalam seluruh sistem pendidikan tinggi dan mewujudkan ekosistem pendidikan tinggi yang kondusif bagi melahirkan ‘penjana pekerjaan’ dan bukan sahaja ‘pencari pekerjaan’ dalam kalangan lulusan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) telah disasarkan untuk dicapai.

Pembangunan keusahawanan di Institusi Pengajian Tinggi juga dizahirkan dalam Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2016-2020. Pelan Tindakan ini memberi penekanan terhadap pengukuhan ekosistem dalam melahirkan lulusan IPT yang mempunyai orientasi pemikiran keusahawanan dan graduan yang cenderung terhadap kerjaya sebagai usahawan dan mencipta peluang pekerjaan (Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi 2016-2020).

Bagi melahirkan generasi ‘usahawan’ atau ‘majikan’, Kolej Komuniti juga tidak berkecuali. Kolej Komuniti dianggap sebagai institusi yang berpotensi memberikan impak besar dalam pembangunan keusahawanan. Jabatan

Abstrak: Keusahawanan memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada pembangunan negara kearah industri 4.0. Melalui keusahawanan dapat mewujudkan inovasi, kepelbagaian, peningkatan daya saing, menjana idea – idea baru, peluang pekerjaan, penyesuaian sosial dan pertumbuhan ekonomi di negara perindustrian serta negara – negara membangun. Menyedari pembangunan keusahawanan sebagai satu alat yang kuat untuk mengaktifkan pertumbuhan negara, satu kajian dilaksanakan terhadap graduan Kolej Komuniti yang baru menceburi bidang keusahawanan. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengenalpasti fenomena yang berlaku kepada usahawan dalam kalangan graduan Kolej Komuniti Malaysia. Kajian ini dijalankan secara atas talian dengan menggunakan instrumen Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang diselaraskan diperingkat Kementerian Pengajian Tinggi. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat cabaran dan keperluan bagi graduan Kolej Komuniti yang telah menceburi bidang keusahawanan. Dapatan kajian ini diharapkan dapat menjadi garis panduan kepada semua pihak yang berkaitan dalam merangka pelan pembangunan bagi melahirkan usahawan yang berjaya dalam kalangan alumni Kolej Komuniti di Malaysia.

Kata kunci : keusahawanan, graduan Kolej Komuniti

Pengajian Kolej Komuniti (JPKK) telah merangka pelan pelaksanaan strategik keusahawan yang dinamakan Pelan Pengukuhan Keusahawanan JPKK 2010-2015 (Jabatan Pengajian Kolej Komuniti 2010). Pelan ini dirangka selari dengan Dasar Keusahawanan IPT serta mengambil kira Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara serta lain – lain dasar kearah melahirkan usahawan berprestasi tinggi yang berdaya maju. Antara inisiatif utama dalam pelan ini ialah penubuhan Pusat Usahawan Kolej Komuniti (PUSKOM) (Sarimah et al. 2013, Syaharizad et al. 2014, Zairon Mustapha et al. 2017).

Seterusnya dalam meneruskan hala tuju keusahawanan di Kolej Komuniti dan Politeknik, Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah merangka Pelan Strategik JPPKK 2018 – 2025. Melalui pelan ini teras pertama yang ditetapkan untuk dicapai ialah melahirkan graduan yang boleh bekerja, berciri keusahawanan dan seimbang melalui pembelajaran formal, bukan formal dan tidak formal. Melalui objektif ini, peratusan graduan yang menceburi bidang keusahawanan selepas menamatkan pengajian (6 hingga 12 bulan) diukur untuk memastikan terdapat graduan Kolej Komuniti menceburi bidang keusahawanan. KPI yang ditetapkan bagi mencapai objektif ini ialah sebanyak 4%

daripada jumlah graduan yang menamatkan pengajian pada tahun berkenan.

Pencapaian bilangan usahawan dalam kalangan graduan Kolej Komuniti juga tidak terhenti sehingga graduan tersebut konvokesyen. JPPKK juga telah menekankan penglibatan penjana pekerjaan ‘job creators’ di kalangan alumni bagi memastikan agenda keusahawanan dapat dilaksanakan dengan lebih berstruktur dan mantap. Alumni usahawan diperlukan dalam menyokong memupuk minat dan kecederungan pelajar dalam pengajian untuk menjadi usahawan.

Sebagaimana yang dinyatakan dalam kajian Sarimah et al. (2013) yang menyatakan bahawa selain dari PUSKOM, Kolej Komuniti turut mengadakan jaringan dengan alumni Kolej Komuniti yang menceburi bidang keusahawanan bagi pembangunan usahawan dalam kalangan graduan Kolej Komuniti. Keperluan alumni usahawan juga turut dinyatakan dalam kajian Noorizda Emellia Mohd Aziz et al. (2017) yang menyatakan bahawa setiap alumni yang telah berjaya sebagai usahawan akan dilibatkan bagi mewujudkan ekosistem pendidikan keusahawanan bagi penambahbaikan bidang keusahawanan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran di IPT dalam melahirkan usahawan berjaya dikalangan alumni IPT pada masa akan datang.

2. Latar Belakang dan Pernyataan Masalah

Semua pihak menyedari pentingnya keusahawanan dalam memacu pembangunan negara. Walaubagaimanapun cabaran untuk menjadi usahawan adalah tinggi. Sebagaimana yang dinyatakan dalam kajian Mohd Zamrie Saleh et al. (2017) yang menyatakan bahawa bukan semua orang mampu menjadi seorang usahawan. Hanya mereka yang berjiwa cekal dan berjiwa usahawan sahaja mampu bertahan dalam suasana perniagaan yang sangat mencabar. Keperluan untuk menyokong graduan yang baru memulakan perniagaan/usahawan sangat penting supaya graduan kekal menjadi usahawan. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia yang menyatakan bahawa sesetengahnya siswazah hari ini cuba memasuki dunia keusahawanan tetapi apabila mendapat peluang kerjaya, mereka tinggalkan usaha yang dibuat atas pelbagai alasan. Menurut pendapat beliau siswazah perlu disokong, bukan hanya melalui suntikan modal dan dana, namun yang utama ialah memberikan semangat, pemantauan berterusan, latihan dan nasihat untuk mereka terus bersaing dan berjuang. Anak muda ini perlu mendapat perhatian semua pihak yang bertanggungjawab agar minat mereka tidak terkandas di tengah jalan (Mohamad Abdullah, 2014). Kepentingan menyokong graduan yang menjadi usahawan turut dinyatakan dalam kajian Abdul Shukor Shamsudin et al. (2018) yang turut menyatakan bahawa semua pihak menyedari kepentingan bidang keusahawanan kepada pembangunan negara, jadi mungkin sudah sampai masanya satu model pemerkasaaan keusahawanan (empowering entrepreneurship) yang bersesuaian dengan konteks IPT, terutamanya bagi universiti awam (UA) di Malaysia, perlu dilihat serta dibangunkan agar dapat memberi manfaat kepada usahawan dalam kalangan graduan di negara ini.

Berdasarkan laporan Kajian Pengesanan Graduan IPT Malaysia 2016 dan 2017, mendapati bahawa secara keseluruhannya mengikut IPT, graduan kolej komuniti mencatatkan kadar bekerja sendiri yang tertinggi, berbanding IPT yang lain iaitu sebanyak 11.8% pada tahun 2016 dan 10.0% pada tahun 2017. Namun begitu jika diperhalusi daripada data yang ditunjukkan pada Rajah 1 mendapati bahawa terdapat penurunan kadar graduan bekerja sendiri bagi graduan Kolej Komuniti pada kedua - dua tahun tersebut. Kolej Komuniti menunjukan penurunan daripada 11.8% graduan bekerja sendiri pada tahun 2016 kepada 10.0% pada tahun 2017 iaitu dengan penurunan sebanyak 1.8% berbanding penurunan IPTS sebanyak 0.2% sahaja. Manakala bagi UA, Politeknik dan IPT tiada penurunan kadar graduan bekerja sendiri bagi IPT tersebut. Walaupun penurunan peratusan yang dicatatkan bagi Kolej Komuniti adalah sangat kecil sahaja, namun begitu, permasalahan ini perlulah dikenalpasti bagi melihat ruang kosong yang perlu ditingkatkan bagi memastikan pembangunan usahawan dalam kalangan graduan Kolej Komuniti dapat direalisasikan.

Rajah 1 : Kadar Graduan Yang Bekerja Sendiri Mengikut Jenis IPT Dan Jantina Pada Tahun 2016 Dan 2017 Selain itu, berdasarkan kajian Nor Hidayah Ahmad Mustafa dan Fauziah Hamzah (2017) terhadap alumni Kolej Komuniti Selandar mendapati bahawa subjek keusahawanan yang di ajar kepada alumni semasa mereka dalam pengajian di Kolej Komuniti Selandar dapat mempengaruhi minat mereka terhadap bidang ini. Namun, jumlah alumni Kolej Komuniti Selandar yang menceburi bidang keusahawanan adalah sedikit. Menurut pengkaji tidak ramai alumni Kolej Komuniti Selandar ingin menceburkan diri dalam bidang usahawan disebabkan faktor kekangan seperti takut untuk mengambil risiko, faktor ingin mengumpul wang dahulu dan faktor modal telah menyebabkan mereka masih menangguhkan hasrat untuk menjadi seorang usahawan.

Melalui kajian – kajian lepas, pelbagai pelan tindakan dan program keusahawanan Kolej Komuniti telah dilaksanakan semasa pelajar dalam pengajian. Usaha – usaha ini sangat berkesan bagi memupuk minat graduan menceburi bidang perniagaan/usahawan. Walaubagaimanapun masih belum ada pelan pembangunan keusahawanan bagi graduan/alumni Kolej Komuniti yang baru menceburi bidang usahawan. Pelan pembangunan keusahawanan bagi graduan/alumni Kolej Komuniti yang baru menceburi bidang usahawan juga merupakan satu kepentingan yang amat diperlukan dalam usaha menyokong dan memastikan usahawan dalam kalangan graduan Kolej Komuniti di Malaysia terus bertahan dan tidak terkandas ditengah jalan. Sebagaimana yang dinyatakan dalam kajian Zairon Mustapha et al.

(2017a) yang mencadangkan agar fungsi Kolej Komuniti sebagai pembimbing keusahawanan diteliti dan dikaji dengan lebih mendalam dan satu model yang sesuai perlu dibentuk dengan mengabung jalin semua agen sosialisasi keusahawanan untuk melihat impak kepada pembentukan niat keusahawanan pelajar Kolej Komuniti seterusnya menjadi usahawan yang mampan. Keperluan pelan pembangunan keusahawanan bagi alumni Kolej Komuniti turut dinyatakan dalam kajian Mohd Zamrie Saleh dan Zuraida Osman (2017) yang menyatakan bahawa kajian menunjukkan bahawa terdapat kelompok pelajar Kolej Komuniti Masjid Tanah Melaka yang mempunyai kecenderungan yang tinggi terhadap bidang keusahawanan iaitu sebanyak 30.3%. Pengkaji mencadangkan agar golongan pelajar ini perlu diberi perhatian oleh Bahagian Kolaborasi dan Keusahawanan (BKK) JPKK selepas mereka tamat pengajian untuk terus diasah bakat mereka menjadi usahawan. Menurut pengkaji, pihak BKK haruslah mengambil peluang ini untuk menggilap potensi pelajar-pelajar ini supaya ianya dapat diperkembangkan lagi dan seterusnya memenuhi hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan di kalangan bumiputera menjelang 2020.

Keperluan pembangunan usahawan selepas tamat pengajian turut dinyatakan dalam kajian Zarimah Zakaria (2018). Hasil dapatan kajian terhadap pelajar lepasan Latihan Industri Kolej Komuniti Kuala Langat mendapati bahawa tahap minat pelajar lepasan Latihan Industri adalah pada tahap tinggi terhadap bidang keusahawanan. Lanjutan itu, pengkaji mencadangkan agar pihak Kolej Komuniti Kuala Langat perlu memperbanyakkan seminar dan motivasi berkaitan keusahawanan kepada para pelajar lepasan Latihan Industri yang berminat untuk menjadi seorang usahawan bagi tujuan penambahbaikkan dalam membantu menambah dorongan pelajar lepasan Latihan Industri untuk menjadi seorang usahawan yang berinovatif serta berjaya. Berdasarkan permasalahan yang dinyatakan tersebut, justeru penyelidik merasakan satu kajian perlu dilaksanakan terhadap alumni usahawan dalam kalangan graduan Kolej Komuniti Malaysia bagi memastikan agar pembangunan usahawan dalam kalangan graduan Kolej Komuniti yang mampan dapat dilestarikan.

3. Objektif Kajian:

Berikut dinyatakan objektif kajian:

1. Mengenalpasti faktor graduan Kolej Komuniti untuk menjadi usahawan.

2. Menilai latihan keusahawanan yang pernah dihadiri oleh graduan semasa pengajian.

3. Mengenalpasti cabaran yang dihadapi oleh graduan sebagai usahawan.

4. Mengenalpasti bantuan dan keperluan lanjutan yang diperlukan oleh graduan yang menjadi usahawan.

4. Kepentingan Kajian:

Berikut merupakan kepentingan kajian ini iaitu:

1) Hasil kajian ini diharapkan dapat menjadi sumber rujukan yang berautoriti kepada JPPKK dan semua pihak yang berkaitan dalam merangka pelan pembangunan keusahawanan yang lebih efisyen dan bersifat holistik 5. Metodologi Kajian

Kajian ini dijalankan secara on-line dengan menggunakan instrumen Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang diselaraskan diperingkat Kementerian Pengajian Tinggi menerusi laman web www.//graduat.mohe.gov.my. Graduan yang telah disahkan untuk konvokesyen diwajibkan untuk mengisi borang soal selidik dalam sistem on-line tersebut sebagai syarat layak penganugerahan konvokesyen. Populasi dalam kajian ini adalah graduan Kolej Komuniti Malaysia dan perisian yang digunakan bagi penganalisisan data adalah menggunakan perisian SPSS 23.0. Dalam kajian ini kaedah analisis yang digunakan untuk mendapatkan hasil dapatan kajian adalah peratusan sahaja.

6. Populasi dan persampelan

Persampelan kajian terdiri daripada graduan yang konvokesyen pada tahun 2018 di seluruh Kolej Komuniti Malaysia sahaja. Dalam kajian ini seramai 9871 orang populasi graduan yang berkonvokesyen dari 89 buah kolej komuniti seluruh Malaysia telah mengisi instrumen SKPG yang diselaraskan diperingkat Kementerian Pengajian Tinggi.

7. Taburan Responden

Hasil analisis data SKPG 2018 mendapati bahawa seramai 1077 orang graduan daripada 9871 orang graduan kolej komuniti Malaysia menjadi usahawan. Jadual 1 menunjukkan taburan responden berdasarkan jantina yang menceburi bidang keusahawanan ini. Seramai 492 orang usahawan terdiri daripada graduan lelaki. Manakala 585 orang usahawan graduan kolej komuniti Malaysia terdiri daripada graduan perempuan. Dapatan hasil kajian mendapati bahawa peratus graduan perempuan menjadi usahawan adalah tinggi sebanyak 54.32 peratus berbanding peratus graduan lelaki menjadi usahawan iaitu sebanyak 45.68 sahaja.

Jadual 1: Taburan Responden Berdasarkan Jantina Jantina Berkerja Sendiri/

Freelance

Majikan Jumlah Bilangan Peratus

Lelaki 405 87 492 45.68

Perempuan 499 86 585 54.32

Jumlah 904 173 1077

Profil demografi responden dalam kajian ini dinyatakan dalam Jadual 2. Berdasarkan analisis demografi menunjukkan bahawa tempoh paling tinggi responden berkecimpung dalam bidang perniagaan/usahawan dalam kajian ini adalah dalamtempoh 3-6 bulan. Manakala sumber utama modal yang digunakan oleh responden semasa memulakan perniagaan adalah daripada keluarga sendiri berbanding membuat pinjaman bank. Analisis data mencatatkan peratus paling tinggi perniagaan yang dijalankan oleh responden berdaftar sebagai satu enterprise (Milikan Tunggal) dengan saiz organisasi (bilangan staf) kurang daripada 5 orang. Manakala jumlah modal memulakan perniagaan yang digunakan oleh responden paling tinggi dicatatkan dalam skala RM5,000 dan ke bawah. Pendapatan bulanan graduan yang menjadi usahawan paling tinggi dalam kajian ini dicatatkan dalam skala RM1001 - RM1500 sebulan.

Jadual 2: Profil Demografi Responden

Profil Item peratus paling tinggi Tempoh menceburi bidang keusahawanan 3-6 bulan

Sumber modal memulakan perniagaan Keluarga

Adakah perniagaan anda berdaftar dengan SSM Ya,berdaftar sebagai satu enterprise (Milikan Tunggal)

Saiz organisasi (bilangan staf) Kurang daripada 5 orang Jumlah modal memulakan perniagaan RM5,000 dan ke bawah

Pendapatan bulanan RM1001 - RM1500

8. Dapatan Dan Perbincangan Kajian:

4.1 Senarai Faktor Graduan Kolej Komuniti Menjadi Usahawan

Jadual 3 menunjukkan senarai faktor kecenderungan graduan memilih untuk mejadi usahawan. Berdasarkan jadual tersebut, mendapati bahawa responden cenderung untuk menjadi usahawan kerana ingin berdikari dengan jumlah peratus yang paling tinggi iaitu sebanyak 43.1 peratus. Diikuti senarai faktor yang lain iaitu waktu kerja yang fleksibel dengan jumlah peratusan sebanyak 27.5 peratus dan perniagaan keluarga sebanyak 11.7 peratus. Walaubagaimanapun kecenderungan graduan memilih untuk menjadi usahawan tidak dipengaruhi dengan faktor kerja yang ditawarkan tidak sesuai kerana hasil dapatan menunjukkan peratusan yang paling rendah sekali iaitu sebanyak 3.3 peratus sahaja.

Jadual 3 : Kenapa anda memilih untuk menjadi usahawan?

Senarai Faktor Peratus

Perniagaan keluarga 11.7

Pengaruh rakan 4.4

Kerja yang ditawarkan tidak sesuai 3.3

Ingin berdikari 43.1

Tidak berminat makan gaji 10.0 Waktu kerja yang fleksibel 27.5

Dapatan kajian ini disokong dalam kajian Ahmad Rosli Mohd Nor et al. (2017) mengenai faktor kritikal kejayaan lulusan Kolej Komuniti Melaka yang berpendapatan tinggi. Dimana faktor dalaman iaitu minat dipersepakati sebagai elemen dalaman utama kejayaan alumni mempunyai berpendapatan tinggi tidak mengira sama ada alumni tersebut bekerja dengan majikan ataupun menjadi usahawan. Selain itu dapatan kajian ini turut disokong dalam kajian yang menyatakan bahawa Zairon Mustapha et al. (2017b) nilai-nilai keusahawanan sebenarnya tidak boleh diwarisi dan tidak dipengaruhi oleh faktor latar belakang keluarga. Ia boleh dibentuk dan bergantung kepada kombinasi pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi oleh pelajar itu sendiri.

4.2 Menilai Latihan Keusahawanan Yang Pernah Dihadiri Semasa Pengajian Di Kolej Komuniti

Hasil analisis data yang dicatatkan pada Jadual 4, mendapati bahawa pengalaman pelajar mempelajari mata pelajaran keusahawanan, latihan keusahawanan dan program inkubator yang diikuti oleh graduan semasa pengajian

membantu graduan menguruskan kerjaya sebagai usahawan dengan catatan peratus yang tinggi iaitu sebanyak 55.4 peratus, 54.2 peratus dan 50.4 peratus.

Jadual 4 : Latihan Keusahawanan Semasa Pengajian Di Kolej Komuniti

Perkara Amat tidak

membantu

Tidak membantu

Sederhana Membantu Amat membantu Mata pelajaran keusahawanan

yang diikuti

1.1% 1.0% 7.5% 55.4% 35.0%

Latihan keusahawanan yang diikuti

1.4% 1.1% 10.0% 54.2% 33.2%

Program inkubator yang diikuti

2.5% 1.5% 18.1% 50.4% 27.6%

Dapatan kajian ini disokong dengan kajian Syaharizad et al. (2014) dan Noorizda Emellia Mohd Aziz et al.

(2017) yang menyatakan bahawa pembentukan usahawan tidak hanya bergantung kepada bakat semulajadi tetapi boleh dididik melalui latihan dan program berkaitan keusahawanan. Impak daripada program yang telah dilaksanakan di Kolej Komuniti telah menimbulkan minat graduan dan membantu graduan untuk menjadi usahawan dalam pelbagai bidang.

4.3 Cabaran memulakan perniagaan

Cabaran – cabaran yang dihadapi oleh graduan semasa memulakan perniagaan dalam kajian ini boleh dirujuk dalam Jadual 5. Berdasarkan jadual tersebut, dapatan kajian mencatatkan bahawa sebanyak 32.8 peratus responden berhadapan dengan cabaran dalam bentuk modal semasa memulakan perniagaan. Cabaran seterusnya diikuti dengan keyakinan diri dengan peratusan sebanyak 13.9 peratus. Pasaran dan persaingan dalam perniagaan juga merupakan cabaran yang dihadapi oleh graduan semasa memulakan perniagaan dengan peratusan sebanyak 11.6 peratus dan 11.2 peratus.

Jadual 5 : Cabaran memulakan perniagaan

Perkara Peratus

Modal 32.8

Pasaran 11.6

Persaingan 11.2

Bekalan 8.9

Pelanggan 8.8

Pekerja/buruh 1.0 Keyakinan diri 13.9

Lain-lain 0.1

Cabaran ini turut dinyatakan dalam artikel Fazurawati Che Lah (2019) yang menyatakan bahawa, melalui sokongan pemberian pinjaman mudah menerusi Skim Pinjaman Mikro Pusat Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMKEC) kepada siswa untuk menubuhkan syarikat berjaya meningkatkan statistik bilangan usahawan dan memperkasakan keusahawanan dalam kalangan graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Dimana melalui skim tersebut galakan kepada siswa untuk menubuhkan syarikat, pinjaman RM3,000 sehingga RM5,000 disediakan. Tempoh bayaran balik dilanjutkan sehingga maksimum tiga tahun atau sehingga mereka menamatkan pengajian dengan jayanya serta bergelar alumni UMK.

4.4 Bantuan Dan Keperluan Lanjutan Yang Diperlukan Oleh Graduan Yang Menjadi Usahawan

Berdasarkan Jadual 6, mendapati bahawa bantuan dan keperluan lanjutan yang paling diperlukan oleh graduan yang menjadi usahawan ialah khidmat nasihat. Peratusan keperluan khidmat nasihat mencatatkan peratus yang paling tinggi iaitu sebanyak 42.9 peratus diikuti latihan sebanyak 29.6 peratus dan pembiayaan sebanyak 21.4 peratus.

Walaubagaimanapun masih terdapat keperluan bantuan dalam bentuk ruang niaga walaupun hanya mencatatkan peratusan yang paling rendah iaitu sebanyak 6.0 peratus sahaja.

Jadual 6 : Bantuan dan keperluan lanjutan yang diperlukan oleh usahawan

Perkara Peratus

Pembiayaan 21.4

Khidmat nasihat 42.9

Latihan 29.6

Ruang niaga 6.0

Dapatan kajian ini disokong dengan kajian Zairon Mustapha et al. (2017a) yang menyatakan bahawa Kolej Komuniti merupakan salah satu agensi yang berpontensi besar sebagai pembimbing keusahawanan sama seperti agensi – agensi lain yang dilantik oleh kerajaan, namun peranan pembimbing kurang diberi perhatian dan tumpuan lebih diberikan kepada melaksanakan program keusahawanan sahaja. Justeru itu, keperluan tersebut perlulah diambil perhatian agar dapat melestarikan pembangunan usahawan yang mampan dalam kalangan graduan Kolej Komuniti Malaysia.

9. Cadangan dan Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, faktor paling utama graduan Kolej Komuniti memilih untuk menjadi usahawan adalah kerana ingin berdikari dan tidak dipengaruhi dengan faktor kerja yang ditawarkan tidak sesuai. Pengalaman pelajar mempelajari mata pelajaran keusahawanan, latihan keusahawanan dan program inkubator yang diikuti oleh graduan semasa pengajian membantu graduan menguruskan kerjaya sebagai usahawan dalam pelbagai bidang. Kebanyakan graduan yang menjadi usahawan berhadapan dengan cabaran dalam bentuk modal semasa memulakan perniagaan dan bantuan serta keperluan lanjutan yang paling diperlukan oleh graduan yang menjadi usahawan ialah khidmat nasihat.

Kolej Komuniti mempunyai potensi yang besar dalam memberi impak kepada keusahawanan di negara ini.

Justeru pengkaji mencadangkan agar pembangunan keusahawanan dalam kalangan alumni juga diberi perhatian selain daripada latihan keusahawanan yang dilaksanakan semasa pelajar dalam pengajian sahaja. Pelan pembangunan keusahawanan yang lebih holistik dengan mengambilkira graduan/alumni yang baru menceburi bidang keusahawanan perlu dikaji dan diteliti untuk menyokong graduan yang baru memulakan perniagaan/usahawan supaya graduan kekal menjadi usahawan. Hal ini seterusnya dapat meningkatkan imej Kolej Komuniti di mata masyarakat sebagai hub melahirkan usahawan - usahawan yang berjaya dan unggul.

Rujukan

Abdul Shukor Shamsudin, Abdul Rahim Othman, Khairol Anuar Ishak, Rosshairy Abd Rahman (2018). Kerangka Kajian Penyelidikan Pemerkasaan Keusahawanan Dalam Kalangan Pelajar Universiti Awam. Jurnal Kinabalu 24/2018, 19 - 33.

Ahmad Rosli Mohd Nor, Sahalani Bin Basar dan Zuraidi Bin Md Tahir (2017). Meneroka Faktor Kritikal Kejayaan Lulusan Kolej Komuniti Melaka Yang Berpendapatan Tinggi Politeknik & Kolej Komuniti. Journal of Social Sciences and Humanities, 1(2), 39 – 54.

Ahmad Rosli Mohd Nor, Sahalani Bin Basar dan Zuraidi Bin Md Tahir (2017). Meneroka Faktor Kritikal Kejayaan Lulusan Kolej Komuniti Melaka Yang Berpendapatan Tinggi Politeknik & Kolej Komuniti. Journal of Social Sciences and Humanities, 1(2), 39 – 54.