• Tidak ada hasil yang ditemukan

Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, 25350, MALAYSIA

1. Pengenalan

Pembangunan modal insan merupakan suatu pelaburan terpenting serta menjadi teras kepada inovasi dan ekonomi berpendapatan tinggi yang produktif. Kelayakan pendidikan yang tinggi bagi menyokong pembangunan pengetahuan dan inovasi, tahap kemahiran yang tinggi dalam bidang teknikal dan profesional, serta paras produktiviti yang tinggi adalah antara ciri utama modal insan dan sumber tenaga kerja negara berpendapatan tinggi (Muhammad Hazrul Ismail, 2012). Keperluan sumber tenaga kerja yang berpotensi serta mampu berdaya saing sangat diperlukan dalam era globalisasi kini. Namun begitu, untuk menghasilkan sumber tenaga kerja1 yang komprehensif dan bertaraf dunia di Malaysia bukanlah perkara yang mudah dan ini merupakan satu cabaran kepada Malaysia (Nooriah Yusof dan Zakiah Jamaluddin, 2008).

Malaysia merupakan salah satu negara di dunia yang memperuntukkan pelaburan yang besar iaitu hampir 25% untuk memajukan sistem pendidikan (Asmawati, 2011). Bidang pendidikan adalah sumber penjana pengetahuan, latihan, potensi, minat dan semua elemen kualiti bagi manusia yang akhirnya menjadikan mereka sebagai modal insan yang lebih dinamik dan berkualiti bagi menggerakkan kemajuan negara sebagaimana yang telah dibuktikan oleh Jepun dan Korea Selatan. Kedua-dua buah negara ini telah berjaya membuktikan bahawa pembangunan modal insan yang mantap dapat membantu memajukan diri dan negara setanding dengan negara-negara maju yang lain walaupun memiliki aset material yang sangat sedikit. Begitu juga dengan negara seperti Switzerland dan Singapura, walaupun mempunyai khazanah alam semulajadi yang terhad tetapi negara-negara ini mampu berkembang maju dan meningkat disebabkan faktor kekuatan dan kepintaran modal insan yang dimiliki (Hoon Lai Wan, 2008). Ini menunjukkan betapa pentingnya modal insan yang berkualiti dan progresif dalam mencorak hala tuju negara ke arah wawasan yang disasarkan. Namun begitu, persoalannya ialah sejauhmanakah institut latihan kemahiran ataupun institut pengajian tinggi (IPT) di Malaysia berjaya melahirkan modal insan menjadi tenaga kerja yang terlatih sepadan dengan kehendak pasaran buruh semasa.

Fenomena terjadinya masalah pengangguran dalam kalangan graduan bukanlah satu isu yang baru. Melalui laporan yang yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (2016), kadar pengangguran di Malaysia telah meningkat dari 3.2% iaitu pada tahun 2012 hingga 3.7% pada tahun 2014. Selain itu, kadar pengangguran terkini juga menunjukkkan peningkatan daripada 2.8% pada bulan Jun 2018 hingga 3.3% pada bulan Oktober 2018. Keadaan ini amat membimbangkan kerana masalah pengangguran yang terjadi melibatkan golongan graduan dari pelbagai institusi pengajian. Menurut Ahmad Rizal Madar (2008), menyatakan bahawa, penyumbang utama kepada masalah pengangguran

Abstrak: Dasawarsa kini, isu pengangguran dalam kalangan graduan hangat diperdebatkan. Hal ini lebih membimbangkan kerana bukan setakat kebolehpasaran kerja, malah isu kebolehpekerjaan di dalam bidang pengajian turut dipolemikkan. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengetahui kadar kebolehpasaran graduan terhadap program pengajian di samping meninjau sejauh mana pekerjaan graduan adalah mengikut bidang pengajian yang ditawarkan di politeknik. Pendekatan kajian ini adalah berasaskan kuantitatif dengan menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen kepada 1,866 graduan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) yang diedarkan semasa proses pendaftaran konvokesyen kali ke-39 pada tahun 2018. Data dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for Sciences (SPSS) versi 20 untuk mendapatkan kekerapan dan peratusan. Kadar responden yang menjawab adalah 85.4% iaitu seramai 1,593 graduan. Dapatan kajian menunjukkan kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) keseluruhan adalah sebanyak 95.5% dan tahap kebolehpekerjaan di dalam bidang pengajian adalah sebanyak hanya 55.1%. Kebolehpekerjaan di dalam bidang pengajian bagi program Diploma Geomatik adalah yang paling tinggi iaitu sebanyak 73.3% manakala program yang paling rendah kebolehpekerjaan di dalam bidang adalah program Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) iaitu sebanyak 35.3% tetapi kadar GE adalah yang tertinggi iaitu mencapai 100%. Oleh yang demikian, beberapa cadangan diberikan untuk meningkatkan tahap kebolehpekerjaan di dalam bidang dikemukakan kepada pihak pengurusan politeknik. Beberapa cadangan kajian lanjutan bagi pengkaji yang ingin meneruskan kajian ini di masa akan datang juga turut dicadangkan.

Kata Kunci: Kebolehpasaran, kebolehpekerjaan dalam bidang, sumber manusia, graduan politeknik

dalam kalangan graduan ialah kegagalan memastikan sukatan pelajaran atau kurikulum pendidikan memenuhi apa yang dituntut oleh pasaran kerja Fungsi IPT dalam menyediakan kurikulum dan komponen bidang pengajian didapati tidak selari dengan literasi tempat kerja yang diperlukan dalam kalangan graduan oleh industri. Ini menyebabkan para graduan sukar untuk memperolehi pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran dan kebolehan yang dimiliki serta menjadi seorang pekerja yang kompetens.

Justeru itu, penekanan terhadap kemahiran yang penting dan perlu dikuasai oleh graduan serta memenuhi kehendak pasaran pekerjaan haruslah dikenalpasti agar dapat membolehkan pihak institusi pengajian mengambil pelbagai langkah di dalam membangunkan atau menambahbaikan kurikulum yang berupaya melahirkan graduan yang berjaya bukan sahaja dalam konteks hanya mendapat pekerjaan tetapi bekerja di dalam bidang yang sepadan dengan sijil pengajian yang diperolehi dan mampu menjadi pekerja yang berkompetensi tinggi.

2. Pernyataan Masalah Memiliki modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi adalah faktor terpenting bagi Malaysia untuk mentransformasikan ekonominya ke arah mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Menyedari keperluan tersebut, Kerajaan terus berusaha untuk meningkatkan bilangan enrolmen pelajar di IPT awam tempatan di semua bidang dan peringkat pengajian (Abd Hair Awang, 2008).

Sehubungan dengan itu peranan Politeknik Malaysia sebagai sebahagian IPT dalam mengeluarkan modal insan yang berkemahiran terutamanya bidang teknikal dan vokasional sangat releven dengan kehendak dan hala tuju negara. Hali ini adalah senada dengan laporan daripada Mohd Izzatul Izuan (2019) yang menghujahkan bahawa kebolehpasaran graduan politeknik seluruh negara adalah mencapai 96.1 peratus melebihi sasaran di peringkat kebangsaan iaitu 90 peratus.

Namun begitu, terdapat pandangan yang kontradiksi bahawa negara kini menghadapi satu lagi isu yang lebih utama itu keupayaan graduan untuk mendapatkan pekerjaan yang sepadan dengan bidang pengajian. Menurut beliau lagi ketidaksepadanan bidang bukan sahaja menyebabkan gaji yang diterima tidak setimpal malah dari segi kemahiran yang dibekalkan oleh institusi tidak menjurus kepada keperluan industri (Yasmin Ramlan, 2019).

Polemik isu berkenaan ketidaksepadanan bidang pengajian berbanding pasaran kerja graduan telah menimbulkan banyak isu bukan sahaja dari segi peranan institusi pengajian tinggi dan program pengajian yang ditawarkan tetapi juga dari segi kualiti graduan yang dilahirkan. Pasaran kerja para graduan telah mengalami banyak perubahan dari segi permintaan terhadap tenaga kerja dan keperluan ekoran daripada perubahan teknologi yang semakin hebat dan peningkatan secara global. Hal ini telah menyebabkan peranan institusi pendidikan pada masa kini bukan sekadar menjadi gedung ilmu dalam membangunkan sumber manusia berpengetahuan tetapi juga perlu menjadikan kebolehpasaran graduan dalam bidang sebagai satu agenda penting melalui program pengajian yang ingin ditawarkan kepada pelajar (Zaliza Hanapi, et al, 2014).

Justeru itu, kajian ini adalah bertujuan untuk mengetahui kadar kebolehpasaran graduan terhadap program pengajian di samping meninjau sejauh mana pekerjaan graduan adalah mengikut bidang pengajian yang ditawarkan di politeknik.

3. Metodologi Kajian 3.1 Reka Bentuk Kajian

Reka bentuk kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah berbentuk kuantitatif dengan menggunakan instrumen soal selidik bagi meninjau persepsi para graduan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, Pahang. Kutipan data ini dilakukan semasa proses pendaftaran konvokesyen kali ke-39 pada tahun 2018. Jika disorot kembali, berasaskan hujahan Mohd Majid Konting (1990), kajian deskriptif menerangkan fenomena dengan menganalisis data deskriptif yang diperolehi dengan soal selidik atau media-media. Kajian tinjauan secara deskriptif adalah kajian terhadap perkara yang sedang berlaku. Keadaan ini melibatkan pengumpulan data-data, membuat interprestasi (taksiran), perbandingan dan merumus generalisasi (kesimpulan secara umum) (Mohd Najib Abdul Ghafar, 2003).

3.2 Instrumen Kajian

Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah berbentuk borang soal selidik, yang akan diedarkan kepada responden untuk mendapatkan maklumbalas, yang mana ianya merangkumi beberapa item. Menurut Mohd Najib Abdul Ghafar (2003) soal selidik merupakan satu cara paling mudah untuk memperolehi maklumat. Soal selidik mempunyai beberapa kebaikan dibandingkan dengan cara lain dalam usaha penyelidik mendapatkan maklumat kualitatif dan kuantitatif. Di antaranya ialah maklumat dan data-data dari responden dapat diperolehi secara terus daripada responden. Selain itu ianya lebih cepat serta menjimatkan masa dan perbelanjaan.

4. Kepentingan Kajian

Dapatan kajian ini dapat memberikan maklumat baru dan sokongan data kepada Politeknik Malaysia dalam menangani isu graduan tidak bekerja di dalam bidang pengajian. Hasil daripada kajian ini juga boleh dijadikan sebagai rujukan kepada penyelidik yang ingin menjalankan kajian lanjutan terhadap kebolehpasaran dan tahap kebolehpekerjaan di kalangan graduan politeknik. Selain itu, pihak politeknik juga boleh menggunakan dapatan kajian ini sebagai salah satu

sumber rujukan mereka untuk pelaporan audit kepada badan-badan yang berkepentingan.

5. Hasil Kajian 5.1 Profil Responden

Seramai 1,593 daripada 1,866 atau 85.4% graduan telah mengikuti kajian ini. Jadual 1 menunjukkan bilangan jantina mengikut program pengajian yang ditawarkan di POLISAS.

Jadual 1: Bilangan Jantina Mengikut Progam Pengajian

5.2 Kadar Kebolehpasaran Graduan

Berdasarkan istilah yang dikemukakan oleh Unit Kebolehpasaran Graduan Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti Jabatan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kebolehpasaran Graduan (GE) bukan hanya tertakluk kepada graduan yang bekerja sahaja namun adalah ia merangkumi kategori-kategori yang lain iaitu melanjutkan pengajian, meningkatkan kemahiran dan menunggu penempatan pekerjaan. Oleh yang demikian, secara keseluruhan dapatan kajian menunjukkan kebolehpasaran graduan POLISAS bagi tahun 2018 adalah sebanyak 95.5% . Dapatan juga menunjukkan program Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) adalah mendapat GE yang paling tinggi iaitu 100% manakala GE paling rendah adalah bagi program Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) dan Diploma Pengurusan Logistik Dan Rangkaian Bekalan iaitu masing-masing mendapat 92.2%. Jadual 2 juga menunjukkan status kebolehpasaran mengikut kategori terhadap program-program yang ditawarkan di POLISAS

Jadual 2: Status kebolehpasaran graduan

5.3 Tahap Kebolehpekerjaan Di Dalam Pengajian

Berdasarkan Jadual 3 didapati program Diploma Geomatik adalah mendapat tahap kebolehpekerjaan di dalam bidang pengajian yang tertinggi iaitu sebanyak 73.3% manakala program Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) adalah yang paling rendah iaitu sebanyak 35.3%. Selain daripada program Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) Terdapat tiga lagi program mendapat tahap kebolehpekerjaan di dalam bidang kurang daripada 50% iaitu program Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer) sebanyak 38.8%, Diploma Sains Kesetiausahaan sebanyak 39.8 % dan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) sebanyak 42%.

Jadual 3: Tahap kebolehpekerjaan graduan di dalam bidang

6. Perbincangan Dan Cadangan

Secara keseluruhannya, kadar kebolehpasaran bagi keseluruhan program yang ditawarkan adalah melebihi 90% iaitu telah mencapai Kunci Penunjuk Prestasi (KPI) kebangsaan. Namun, terdapat jurang di antara kadar kebolehpasaran dengan kebolehpekerjaan di dalam bidang terhadap program yang ditawarkan di politeknik. Terdapat 9 program yang melebihi peratusan 50% bagi kebolehpekerjaan di dalam bidang pengajian dan 4 program yang gagal mencapai peratusan 50% bagi kebolehpekerjaan di dalam bidang pengajian.

Program Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) adalah mendapat GE yang paling tinggi iaitu 100% tetapi tahap kebolehpekerjaan di dalam bidang pengajian adalah yang paling rendah iaitu hanya mendapat sebanyak 35.3%.

Situasi ini seolah-olah membenarkan dakwaan Yasmin Ramlan di dalam tulisannya yang mengatakan isu yang dihadapi oleh negara adalah bukan hanya isu kebolehpasaran malah yang lebih parah adalah ketidakupayaan graduan untuk mendapatkan pekerjaan di dalam bidang pengajian (Yasmin Ramlan, 2019).

Oleh yang demikin, pihak pengurusan politeknik dicadangkan untuk mengkaji dan menyemak semula program berkenaan kenapa wujudnya jurang yang ketara diantara kebolehpekerjaan di dalam bidang berbanding kadar kebolehpasaran program tersebut. Pihak politeknik juga boleh berkaloborasi dengan pihak industri agar keperluan dapat diselaraskan. Diharapkan dengan wujudnya jaringan kaloborasi dengan pihak industri ini mampu meningkatkan tahap kebolehpekerjaan di dalam bidang pengajian yang telah ditawarkan di politeknik.

Rujukan

Abd Hair Awang (2008). Keberkesanan Kebolehpasaran Pelatih dalam Industri Latihan Vokasional Terpilih Di Malaysia.

Ijazah Doktor Falsafah, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.

Ahmad Rizal Madar. (2008).Kemahiran Employability bagi Memenuhi Keperluan Industri. Prosiding SKIS.

Asmawati Desa (2011). Pelestarian Modal Insan Menangani Cabaran Global. Selangor: Akademi Penyelidikan.

HALUAN.

Hooi, L.W. (2008). Human Capital Management Practices in Malaysia. Universiti Teknologi Malaysia.

Jabatan Perangkaan Malaysia (2016).Perangkaan Tenaga Buruh Siswazah dan Bukan Siswazah. Kementerian Sumber Manusia

Mohd Izzatul Izuan. (2019, Julai 31). Kerjasama politeknik, industri tingkat kebolehpasaran graduan. Sinar Harian.Dicapai daripada https://www.sinarharian.com.my/article/40834/EDISI/Selangor-KL/Kerjasama-politeknik-industri-tingkat-kebolehpasaran-graduan

Mohd Majid Konting (1990). Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur

Mohd Najib Abdul Ghafar (2003). Reka Bentuk Tinjauan Soal Selidik Pendidikan. Penerbit Universiti Teknologi Malaysia, Skudai. Johor.

Muhammad Hazrul Ismail. 2012. Kajian Mengenai Kebolehpasaran Siswazah di Malaysia: Tinjauan dari Perspektif Majikan, Prosiding Perkem VII, Jilid 2 (2012) 906 - 913, ISSN: 2231-962X

Nooriah Yusof dan Zakiah Jamaluddin. 2008. Graduan dan Alam Pekerjaan: Kes Siswazah UKM. Akademika 72 (Januari): 3-24

Yasmin Ramlan. (2019, Mei 03). K'jaan kaji isu kursus graduan tak sepadan pasaran kerja. Malaysiakini. Dicapai daripada https://www.malaysiakini.com/news/474727

Zaliza Hanapi, et al. (2014). Penentuan Kesepadanan Bidang Pengajian-Pekerjaan Dalam Kalangan Graduan Di Kolej Komuniti. International Seminar on Technical and Vocational Education 2014 (TVEIS 2014)

Pengalaman Di Politeknik : Perspektif Dari Alumni Politeknik