Katakunci: Kadar gaji, kebolehpasaran graduan, Politeknik,
2. Pengenalan Masalah
Kebolehpasaran merupakan satu konsep yang sukar untuk diukur dan ditakrifkan. Konsep kebolehpasaran terus berkembang selaras dengan perubahan dalam pola pekerjaan dan model sumber manusia. Kebolehpasaran merupakan satu konsep yang agak kabur sedekad yang lalu, namun kini istilah ini telah memainkan peranan penting dalam polisi pasaran buruh di United Kingdom (UK), beberapa negeri di Eropah dan juga di negara yang lain. Konsep kebolehpasaran telah menjadi sasaran utama dalam kebanyakan polisi pasaran buruh dan strategi guna tenaga di kebanyakan negara khususnya berkaitan dengan kebolehpasaran graduan (Nooriah dan Zakiah, 2017). Menurut sumber Berita harian 20 februari 2018 melalui kata bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh ini kadar purata kebolehpasaran graduan meningkat sebanyak 1.8% kepada 79.1% pada tahun lalu, berbanding 77.3% tahun 2016. Graduan latihan teknikal dan pendidikan vokasional (TVET) turut meningkat dengan graduan Politeknik sebanyak 94% tahun lalu, berbanding 88.6% pada tahun 2016. Tarikh kuat kuasa Perintah Gaji Minimum RM1000 (PGM 2016) mulai 1 Julai 2016 ke atas semua majikan, kata Menteri Sumber Manusia (Berita Harian 2 Mei 2016). Berdasarkan kaji selidik jobstreet.com pada 20 Jun 2016, gaji pemegang diploma adalah sekitar RM1200 hingga RM1800 sebulan namun terdapat 37% pemegang diploma menerima gaji kurang dari RM1200 sebulan iaitu paras lebih rendah dari jangkaan. Dengan ini, ingin melihat kadar gaji minimum yang diberikan oleh sektor industri dan sektor kerajaan dalam negara dengan memberikan gaji mengikut kadar yang sepatutnya kepada graduan PTSN yang bekerja dalam bidang atau luar bidang.
3. Objektif Kajian
1) Mengenal pasti kadar gaji graduan terhadap kerjaya.
2) Membandingkan kadar gaji graduan yang bekerja dalam bidang dan luar bidang.
3) Mengenal pasti kadar gaji mengikut ekonomi.
4) Mengenalpasti punca graduan tidak mencapai gaji yang setaraf.
4. Sorotan Kajian
Pada tahun 2002 atas inisiatif dan penyelarasan Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan universiti-universiti tempatan di peringkat nasional telah mula menjalankan Kajian Pengesanan Graduan. Kajian ini dijalankan terhadap graduan yang tamat pengajian pada tahun berkenaan (Kuratko & Hodgett 2005). Pada tahun 1969, Penubuhan Politeknik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah bertujuan untuk melatih bakal pekerja separa professional bagi menampung keperluan sumber manusia dalam perdagangan, perkhidmatan dan jurusan teknikal . Keunggulan Politeknik Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menyediakan pendidikan peringkat sijil dan diploma dalam jurusan tersebut telah terbukti berdasarkan kepada penemuan yang diperolehi melalui projek Kajian Graduan Politeknik Kementerian Pendidikan Malaysia yang mula dijalankan pada Jun 1997 hingga Disember 1999. Pembiayaan peringkat awal kajian ini adalah di bawah Pinjaman Bank Dunia (Loan No. 3571 MA) dengan menggunakan khidmat nasihat perunding IDP Education, Australia dan kepakaran tempatan dan dibantu oleh pegawai-pegawai dari Bahagian Pengesanan Graduan dan Alumni (BPGA) Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti dan Tracer Study Counterparts. Tracer Study Counterparts merupakan para pensyarah di setiap Politeknik yang telah dilatih bagi menjalankan kajian pengesanan graduan di Politeknik masing-masing (Laporan kajian pengesanan graduan Politeknik Port Dickson, 2014).
Menurut Mohd Amiru Rafiq pada 3 Mei 2019 dalam Khazanah Research Institute, aliran pendidikan teknik dan vokasional (TVET) bukanlah satu aliran pendidikan yang asing di Malaysia. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 telah memberikan penekanan yang khusus mengenai keperluan TVET kepada pasaran buruh dan ekonomi negara. Kerajaan melalui pengumuman Bajet 2019 juga memberi perhatian yang khusus terhadap pemerkasaan pendidikan TVET. Peruntukan sebanyak RM30 juta telah diumumkan bagi menggalakkan institusi latihan bersaing untuk menawarkan program latihan yang lebih kompetitif dan memenuhi keperluan industri dan RM20 juta untuk meningkatkan kompetensi belia melalui Program Bootcamp berkaitan TVET. Di samping itu, bagi memperkukuh industri TVET di Malaysia, Malaysia Board of Technologists (MBOT) telah ditubuhkan pada 2015 yang berperanan menyediakan
latihan dan sukatan pengajaran untuk membolehkan seramai 30,000 juruteknik dan mereka yang terlibat dalam industri berkaitan teknologi diiktiraf sebagai profesional. Inisiatif ini dilihat salah satu cara memartabatkan pendidikan TVET melalui pengiktirafan lebih ramai lagi lepasan TVET sebagai profesional di pasaran buruh. Dengan ini, lepasan sekolah yang berminat dalam bidang kemahiran dan teknikal, tetapi tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti, mereka masih boleh meneruskan cita-cita dengan mengikuti pelbagai pengajian yang ditawarkan di politeknik. Terdapat 33 politeknik di seluruh negara yang menawarkan pelbagai kursus menarik sesuai dengan evolusi teknologi apatah lagi keperluan tenaga mahir semasa menjadikan politeknik antara tumpuan lepasan persekolahan kini. Malah, lulusan politeknik mempunyai peluang yang cerah untuk mendapatkan pekerjaan sama ada dengan sektor industri, jabatan kerajaan, swasta dan agensi berkaitan selain boleh memohon untuk bertugas di luar negara dengan gaji yang lebih lumayan (Nasional, Berita Harian, 5 Jun 2015).
Selain itu, penambahan instituisi semakin pesat membangun mengikut kepada polisi pendidikan. Di Johor pusat pendidikan juga semakin bertambah. Menurut Biografi Tun Abdullah Bin Hj Ahmad Badawai pada 30 Julai 2006, koridor ini diumumkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Koridor ini telah bertukar nama kepada Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) pada 4 November 2006 bersempena nama Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail. Pada 11 April 2008, namanya ditukar lagi menjadi Iskandar Malaysia (Berita harian 11 April 2008). Tempoh pembangunan kawasan ini adalah sehingga tahun 2025 dengan perbelanjaan kos lebih RM47 bilion untuk menjana pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus dalam tempoh lima tahun yang pertama.
Iskandar Malaysia juga akan menjadi sebuah pusat pertumbuhan yang terbesar di rantau ini. Dengan ini, berdasarkan pelan pembangunannya, dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, kawasan pertumbuhan ekonomi itu dijangka begitu pesat melalui kepelbagaian bidang. Antaranya ialah bidang elektrik dan elektronik, petrokimia dan oleokimia, pemprosesan makanan dan pertanian, perkhidmatan logistik serta pelancongan di samping perubatan dan kesihatan, pendidikan, kewangan serta industri kreatif. Juteru itu, Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN) telah ditubuhkan pada 1 April 2014, merupakan hasrat dan matlamat negara untuk memenuhi Rancangan Malaysia ke-11 di mana rancangan di selatan Malaysia iaitu Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) ini termasuk dalam perancangan Negara RMK-11.
Walaubagaimanapun, dalam membangunkan pendidikan tinggi di Malaysia, kerajaan telah memperuntukan perbelanjaan yang besar setiap tahun. Selain daripada peruntukan kewangan, peningkatan bilangan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) juga merupakan satu indikator yang penting kepada usaha menyediakan lebih banyak peluang kepada penduduk untuk mendapatkan pendidikan tinggi. Namun demikian, masalah pengangguran dan kesukaran mendapat pekerjaan dalam kalangan graduan telah menjadi satu isu yang telah menimbulkan tanggapan yang negatif terhadap dasar dan polisi pembangunan pendidikan tinggi di negara ini. Dari segi pembangunan modal insan peningkatan peruntukan kewangan dan bilangan institusi pengajian tinggi ini merupakan satu petunjuk yang positif kerana ianya dapat memberi peluang yang lebih besar kepada penduduk untuk mendapatkan pendidikan tertiari dan seterusnya meningkatkan akumulasi modal manusia dalam negara. Namun demikian, sekiranya peningkatkan bilangan graduan tidak disertai dengan peluang pekerjaan yang selaras dengan kelulusan dan bidang pengajian, ianya boleh menimbulkan tanggapan bahawa pendidikan tinggi di sesebuah negara itu kurang berjaya dalam menghasilkan tenaga kerja yang sepadan dengan keperluan pasaran. Ini merupakan dilema yang dihadapi oleh kebanyakan negara membangun termasuk Malaysia apabila peningkatan dalam bilangan pelajar berpendidikan tinggi tidak dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan. (Nooriah dan Zakiah, 2017).
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengatakan penggunaan data kaji selidik oleh Bank Negara Malaysia (BNM) membabitkan gaji permulaan siswazah dan menyesuaikan kepada situasi sebenar telah menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan pekerja dan majikan. Menurut Presiden MEF, Datuk Shamsuddin Bardan analisis BNM mengenai upah sebenar lepasan graduan mungkin berguna untuk penggubalan dasar turut menyebabkan ketidakpercayaan dalam kalangan kedua-dua majikan dan pekerja. Laporan BNM 2018 pada Rabu menyatakan trend gaji permulaan bulanan bagi kebanyakan siswazah semakin mengecil sejak 2010 selepas mengambil kira faktor inflasi, bagaimanapun tinjauan yang dibuat MEF adalah sebaliknya (Hasimi Muhamad, Astro Awani, Diterbitkan pada Mac 29, 2019 16:39 MYT). Manakala, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mempunyai kuasa dalam menentukan gaji permulaan siswazah sebaliknya hanya menyediakan pendidikan yang mampu melahirkan graduan berilmu serta kompetitif bagi pasaran pekerjaan.Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, isu gaji permulaan siswazah yang dilaporkan menurun baru-baru ini perlu diteliti oleh industri yang menyediakan peluang pekerjaan. Dr. Maszlee juga menyatakan KPM akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dan agensi untuk melihat isu dengan lebih mendalam untuk diselesaikan segera. Kenyataan itu menyebut beliau mengambil maklum mengenai Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018 yang dikeluarkan semalam serta laporan media mengenai “Gaji Siswazah Semakin Turun”. Menurut laporan media yang memetik Laporan Tahunan BNM itu, gaji permulaan bulanan benar bagi kebanyakan siswazah baharu di Malaysia menurun sejak 2010 selepas mengambil kira faktor inflasi, di mana siswazah baharu yang berkelulusan diploma mendapat gaji benar RM1,376 pada 2018 berbanding RM1,458 pada 2010 (Utusan Online, Diterbitkan pada 30 Mac 2019 7:17 PM).
Tambahan pula, dalam dalam kajian Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan agensi Kerajaan berkaitan serta pihak industri berperanan penting dalam menganalisis keperluan tenaga kerja mahir negara seiring dengan era ekonomi berasaskan pengetahuan yang menyaksikan peningkatan permintaan bagi tenaga kerja mahir dalam bidang-bidang
tertentu. KSM mendapati kadar gaji yang ditawarkan bagi pekerjaan berasaskan kemahiran kurang setimpal dengan kelayakan yang dimiliki. Menyedari kepentingan memberi nilai kepada kemahiran yang dimiliki oleh bakal pekerja yang memiliki Sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia, KSM mengambil inisiatif untuk menerbitkan Panduan Gaji Permulaan 160 Pekerjaan Terpilih Berasaskan Kemahiran, Edisi Pertama (2016). Panduan ini mengandungi 160 tajuk pekerjaan yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran yang disertakan dengan deskripsi tugas, tahap kemahiran dan gaji pokok permulaan. Di samping itu, ia juga disediakan tanpa mengambil kira faktor-faktor seperti lokasi dan saiz syarikat, jenis industri dan keupayaan kewangan syarikat. Panduan ini juga mengesyorkan supaya lulusan kemahiran yang mempunyai lesen atau sijil kompetensi lain dibayar dengan gaji yang lebih tinggi. Sebelum menerbitkan Panduan ini, KSM telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, termasuklah Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Panduan Gaji Permulaan,2016).
Di dalam buku Panduan Gaji Permulaan 160 Pekerjaan Terpilih Berasaskan Kemahiran, (2016) halaman muka 2 telah menyenaraikan beberapa panduan yang perlu diikuti dan dipatuhi oleh majikan iaitu:
Disenaraikan 160 tajuk pekerjaan kemahiran yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran buruh semasa berserta gaji pokok permulaan mengikut tahap kemahiran. Pemilihan 160 tajuk pekerjaan ini merupakan inisiatif awal KSM dan akan dikemas kini dalam terbitan akan datang.
Dibangunkan khusus untuk lulusan Sijil dan Diploma Kemahiran Malaysia atau setaraf dengannya.
Disertakan dengan ringkasan deskripsi tugas yang mana penjelasan terperinci boleh didapati daripada Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) yang dibangunkan berasaskan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Antarabangsa (International Standard Classification of Occupations - ISCO) dan tahap kemahiran di bawah Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (National Occupational Skills Standard - NOSS).
Sesetengah tajuk pekerjaan melibatkan lebih daripada satu tahap kemahiran.
Disertakan senarai pekerjaan yang dipersijilkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Pensijilan ini diberikan kepada individu yang mempunyai kelayakan, pengalaman, kepakaran dan pengetahuan dalam bidang yang diperlukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139).
5. Metadologi
Kajian ini adalah berbentuk kuantitatif yang bertujuan untuk menjana maklumat mengenai perkembangan graduan diploma PTSN. Populasi kajian terdiri daripada semua graduan PTSN seramai 75 orang responden dan yang telah menamatkan pengajian pada tahun 2018. Data telah dikumpulkan menggunakan temu bual dan borang soal selidik yang diedarkan secara langsung kepada semua graduan semasa mereka menghadiri majlis konvokesyen di Dewan konvensyen Edu Hab Pagoh,Johor pada bulan Mac 2018. Dalam kajian ini, item-item di dalam borang soal selidik adalah berbentuk soalan Kajian Pengesanan Graduan TVET 2018 berdasarkan responden. Borang soal selidik ini dibahagikan kepada 4 bahagian. Bahagian A mengandungi maklumat berkenaan profil graduan. Bahagian B terdiri daripada soalan-soalan yang bertujuan untuk mendapatkan status pekerjaan dan kadar gaji graduan bersesuaian dengan objektif program ini. Bahagian C pula akan mengandungi soalan-soalan yang berkaitan pendapatan bulanan (termasuk elaun), taraf pekerjaan dan taraf jawatan pekerjaan. Bahagian D ialah soalan-soalan untuk mengenalpasti bilangan kehadiran temu duga sebelum menerima pekerjaan pertama dan peratus menjalani latihan industri atau work-based learning. Semua data yang diperolehi melalui borang soal selidik dikod dan dianalisis secara statistik deskriptif yang terdiri daripada frekuansi dan peratusan.